Posted on 12:06 AM, under
Hari ini 11 Julai 2009, merupakan sambutan hari populasi sedunia pada tahun ini tema yang dipilih adalah membasmi kemiskinan : mendidik wanita (Fight Poverty : Educate Girls).
Populasi merujuk kepada bilangan penduduk dunia. Kini penduduk dunia telah mencapai jumlah sebanyak 6 bilion lebih. Benua Asia mempunyai kepadatan populasi yang tinggi. Dalam pada itu populasi di dunia kini di ambang risiko. Risiko dihadirkan oleh perbuatan manusia sendiri. Disini saya senaraikan risiko yang kini mengancam kehidupan populasi manusia :-
- Kesihatan manusia yang kian terancam- kewujudan penyakit baharu seperti selsema babi H1N1 telah mengacam ratusan ribu manusia di seluruh dunia.
- Pencemaran alam sekitar yang memusnahkan keseimbangan alam - pemanasan global, bencana alam, pencemaran sumber air telah menyebabkan krisis – krisis baru terhadap kehidupan manusia.
- Peperangan – menyebabkan kematian dan kemusnahan harta benda setelah peperangan berlaku usaha untuk memulihkan sesebuah negara yang menjadi mangsa peperangan amat sukar dan mengambil tempoh masa yang lama.
- Kemiskinan – sebahagian daripada penduduk dunia hidup dalam keadaan dhaif tanpa sebarang kemudahan asas seperti air minuman, tempat tinggal dan pekerjaan yang baik.
Jesteru itu, kita harus bersyukur dan sentiasa berhati – hati dalam mengatur kehidupan dengan baik. Kita juga harus berusaha membantu orang lain dan meningkatkan pencapaian hidup kita untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Semalam kerajaan memansuhkan PPSMI setelah menerima laporan yang menyatakan kegagalan PPSMI dalam meningkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris serta merencatkan penguasaan bidang sains dan matematik dikalangan pelajar. Langkah mengembalikan bahasa melayu dalam pengajaran sains dan matematik pada hemat saya sebagai ’Menghidupkan Jiwa Bangsa’.
Tapi yang menjadi persoalan mengapa menunggu sehingga tahun 2012. Mungkin ia perlu disegerakan sehingga akhir tahun ini. Tahniah juga buat rakan – rakan PKPIM yang cukup lantang membangkang dasar ini. Saya masih ingat sewaktu konvensyen isu- isu pendidikan nasional yang telah dianjurkan oleh PKPIM beberapa tahun lepas. Ramai daripada guru yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan pada ketika itu.
Walau apa pun bagi pejuang bahasa, ilmuan dan aktivis masyarakat, mereka tidak seharusnya berhenti berjuang bagi mendaulatkan bahasa melayu tercinta ini.
Kita harus melipat gandakan usaha pemantapan Bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi. Usaha penterjemahan karya ilmiah perlu digerakan dengan sekuat mungkin. Sebagaimana zaman kegemilangan Islam dahulu pelbagai karya tamadun rom dan parsi di terjemahkan ke dalam bahasa-bahasa umat Islam pada ketika itu. Sehingga munculnya tamadun Ilmu yang kuat dan mantap.
Dalam masa yang sama karya ilmuan Islam juga telah diterjemahkan oleh pihak barat sehingga mereka terhutang budi dengan peradaban Islam. Ilmuan Islam dianggap telah mempelopori banyak bidang – bidang ilmu di dunia ini. Ini termasuklah astronomi, kimia, fizik, matematik, perubatan dan kejuruteraan. Dalam bidang alam sekitar Laporan Impak Alam Sekitar, garis panduan berkenaan dengan hal – hal teknikal masih ditulis atau di ambil bulat – bulat dari bahasa inggeris. Hal ini harus diubah langkah – langkah memperkayakan bahasa Melayu harus dipertingkatkan dalam semua peringkat.
Kini, usaha bagi menterjemahkan karya ilmuan barat kedalam bahasa melayu harus dimanfaatkan dengan baik. Ayuh kita cetuskan revolusi Ilmu dalam bahasa melayu bermula dari sekarang!

Pada masa kini, kesedaran untuk memulihara sumber air seperti sungai, tasik dan kolam menjadi perhatian dikalangan masyarakat dunia. Pelbagai usaha telah dimainkan oleh agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (BBK). Namun usaha – usaha untuk memelihara Air Bawah Tanah masih kurang diambil perhatian.
Air Bawah Tanah sebenarnya merupakan simpanan air tawar yang paling banyak jika dibandingkan dengan air permukaan seperti sungai, tasik dan kolam. Pencemaran tanah melalui aktiviti pertanian, pembinaan, perlombongan dan pelupusan haram sisa toksik boleh menjejaskan kualiti air bawah tanah.
Isu ini perlu diberikan perhatian, kerana mungkin air bawah tanah bakal menjadi sumber bekalan air utama untuk negara ini pada masa akan datang.

Sudah menjadi fitrah manusia mencintai keindahan. Apa sahaja yang cantik, indah, lawa dan menawan menjadi keinginan setiap manusia. Apatah lagi apabila suatu yang indah itu menjadi kenyataan di dalam hidup. Allah mengurniakan manusia dengan nikmat dan kurnia yang banyak. Adakalanya ia sebagai nikmat dan berupa ujian kepada kita hamba NYA. Namun tidak semua manusia ingat apa yang dikurniakan itu sebagai ujian. Manusia gagal menafsirkan antara kurnia, nikmat dan pesona duniawi.
Sesungguhnya keindahan alam yang diciptakan ini mempunyai makna yang mendalam untuk dihayati. Langit yang membiru, pantai yang memutih serta ombak yang sentiasa berirama menghempas ke jasad pantai adalah tanda dan bukti kekuasaan Allah.
Semua keindahan ini boleh bertukar dengan sekelip mata menjadi ’pemangsa’ kepada manusia yang lalai dan alpa. Ombak yang menghempas badan pantai boleh bertukar menjadi gelombang tsunami yang tidak terjangkau tinggi menghempas manusia dan alam bina buatan manusia. Bayu laut yang bertiup boleh bertukar menjadi ribut taufan nargis dan kartina yang mampu melambungkan rumah dan binaan di pinggiran laut.
Dicelah – celah kesibukan bandaraya Kota Kinabalu, saya menyaksikan seolah – olah setiap inci pingggiran laut di Bandaraya ini dijadikan modal untuk dikomersilkan oleh penguasa.

Bermula pada 20 jun 2009 sehingga 3 Julai 2009, saya telah bercuti ke kampung halaman di Papar, Sabah bersama isteri dan putera muadz. Semasa bercuti berapa daerah telah yang dikunjungi iaitu daerah Papar, Beufort, Sipitang, Kota Kinabalu dan Tuaran. Ada catatan menarik yang bakal saya kongsikan bersama. Keindahan alam negeri di bawah bayu ini amat bernilai harganya. Ia lebih mahal dan bernilai jika hendak dibandingkan dengan kompleks membeli belah, resort dan hotel yang dibina di pinggiran laut, di puncak gunung mahupun dilereng bukit.