Oleh Dr Ibrahim Komoo
Dipetik dari Berita Harian 01Disember 2008
TIDAK dapat dinafikan arus globalisasi yang melanda di seluruh dunia membawa bersamanya bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi. Negara yang bijak seharusnya mempunyai dasar teguh untuk mengharungi arus globalisasi melalui beberapa strategi mantap. Mereka perlu menggembleng sekurang-kurangnya tiga perkara asas untuk berhadapan dengan gelombang besar ini - kekuatan ilmu dan teknologi, nilai kelainan dan keupayaan beradaptasi. Pengetahuan sains dan keupayaan teknologi membolehkan sebuah negara bersifat kurang bergantung kepada negara lain untuk terus membangun. Lebih baik jika kita menjadi negara yang mengeksport teknologi berbanding pengimport teknologi. Negara pengeksport ilmu dan teknologi adalah negara yang menjadi penyumbang utama menentukan trend globalisasi.
Jepun, Jerman dan Korea umpamanya adalah negara yang masih mampu mempertahankan identiti ketika berhadapan dengan globalisasi kerana mereka adalah penyumbang teknologi utama dunia. Pada abad ke-21 ini, negara penyumbang teknologi dilihat sebagai negara peneraju dunia, dihormati dan kukuh aspek ekonominya. Negara paling berjaya dalam arus globalisasi adalah mereka yang menunjukkan sifat kelainan, terutama dari aspek kreativiti dan inovasi. Selain kreativiti bersifat teknologi, ia mempunyai hubungan rapat dengan kepelbagaian budaya, bahasa minda dan pengetahuan serta pengalaman setempat. Sesuatu masyarakat tidak mungkin boleh menjadi peneraju kreativiti jika bangsa tidak bebas menggunakan bahasa minda tersendiri iaitu bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda. Penggunaan bahasa asing sebagai alat berkreativiti hanya akan menyebabkan suatu masyarakat itu menjadi pengikut dan sentiasa mengekori dari belakang. Oleh itu, bahasa kebangsaan perlu dibangunkan secara serius, menjadi bahasa ilmu dan bahasa tamadun sesuatu bangsa yang bermaruah. Bahasa Kebangsaan yang berasaskan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu di rantau Asia Tenggara kerana ia bahasa minda utama kepada ratusan juta penduduknya.
Globalisasi membawa pengaruh yang baik dan buruk. Salah satu pengaruh baiknya ialah keupayaan untuk kita menjangkau dan melebarkan sayap ke serata dunia. Mengenali, mempelajari dan mengambil faedah daripada apa yang ada pada peringkat global dapat mempelbagaikan dan meningkatkan kekuatan negara. Untuk melakukan dengan cekap, kita perlu mampu berkomunikasi menggunakan bahasa global - bahasa Inggeris! Untuk berjaya, kita perlu bijak beradaptasi. Masyarakat harus bersedia untuk berubah tanpa mengabaikan budaya sendiri. Masyarakat yang mampu mengenali budaya lain dan berani menerapkan unsur positif dalam budaya mereka adalah bangsa yang cekap beradaptasi. Penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa global cukup penting yang perlu dikuasai semua bangsa Malaysia! Pada masa sama, kita perlu membina, mengukuh dan memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa tamadun bangsa yang menjadi senjata paling berkesan bagi mengharungi arus globalisasi. Bagi membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan rakyatnya memupuk perasaan cinta kepada negaranya, bahasa kebangsaan perlu diterima sebagai ‘binaan asas’ budaya bangsa. Walaupun lebih 50 tahun negara merdeka, laungan slogan ‘bahasa jiwa bangsa’ masih cukup relevan untuk masa ini. Oleh itu, mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu mampu memberi peluang kepada majoriti rakyat Malaysia, terutama mereka yang berada di luar bandar, menggunakan bahasa minda untuk mencipta kelainan - membina budaya kreatif. Usaha sejak merdeka menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sememangnya berada pada landasan yang betul. Belum pun sempat buahnya dipetik dan dinikmati, kita kelihatan mulai meminggirkan dasar pendidikan berbahasa Kebangsaan melalui memperkenalkan pendekatan pengajaran mata pelajaran sains dan matematik di sekolah dalam bahasa Inggeris.

Pendekatan ini tidak saja mengancam pembinaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan menyekat keupayaan berkreatif sebilangan besar masyarakat Malaysia, tetapi akan menjadi penyumbang utama pemusnahan impian datuk nenek kita yang ingin melihat satu hari nanti bahasa Kebangsaan berjaya menjadi bahasa ilmu yang disegani di rantau ini. Ketika mengharungi globalisasi, negara berhadapan dengan beberapa cabaran asas, salah satu daripadanya ialah meningkatkan keupayaan masyarakat menggunakan bahasa komunikasi global. Negara perlu membina strategi jangka panjang untuk berhadapan dengan cabaran ini. Salah satu pendekatan yang lama diamalkan oleh kebanyakan negara di Eropah, dan kini oleh negara Jepun, Korea dan China ialah bangsa mereka berkemahiran ‘dwi- atau multi-bahasa’. Pendidikan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris dibangunkan secara bersama pada peringkat awal persekolahan. Tumpuan diberikan kepada kemahiran berbahasa melalui pendekatan pendidikan bahasa. Persediaan untuk menyediakan guru berbahasa Inggeris yang cekap dilakukan secara serius - ramai yang di hantar ke luar negara khusus untuk belajar bahasa Inggeris. Bahasa kebangsaan kita berada pada tahap keupayaan sebagai bahasa ilmu yang tinggi. Sejak tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - bahasa kebangsaan dibangunkan dengan bersistem dan bersungguh-sungguh. Pada masa ini hampir semua bidang ilmu di peringkat pengajian tinggi mampu disampaikan dalam bahasa kebangsaan. Puluhan ribu bekas penuntut universiti tempatan yang dididik menggunakan bahasa kebangsaan ke luar negara dan berjaya meraih ijazah sarjana dan doktor falsafah - pendidikan tertinggi dalam penerokaan ilmu. Di UKM sendiri - ratusan pelajar memperoleh ijazah PhD dengan menulis tesisnya dalam bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu tidak mampu disangkal lagi! Di luar sana - sejumlah ahli politik, pembuat dan pelaksana dasar, usahawan dan golongan terpelajar yang berpengaruh - masih mempersoalkan keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu. Mengapa? Persoalan pokok yang perlu diselesaikan bagi membina sebuah negara bangsa yang bermaruah dan bertamadun.
Selagi pemimpin negara tidak mempunyai ‘kekuatan politik’ - negara akan terus berhadapan dengan pelbagai halangan untuk membina sebuah negara bangsa dengan masyarakat yang berbangga, rakyat bersatu padu, dan negara dihormati. Globalisasi bukan penghalang suatu masyarakat membina tamadun bangsa melalui budayanya, tetapi keterbatasan ilmu dan kecekalan diri sendiri adalah penyumbang utama kepada kemusnahan tamadun sedia ada.
Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo ialah Profesor Geologi Kejuruteraan, UKM yang juga profesor pelawat di Universiti Kyoto, Jepun