Ulasan Buku : Sains, Masyarakat dan Agama .

Penerbit : Utusan Publiciation & Distributors Sdn Bhd

Tulisan : Prof. Dr. Yusuf Othman

Buku ini menampilkan gugusan tulisan penulis yang gigih untuk menjelaskan tema – tema penting dalam islam mengenai sains, masyarakat bertamadun dan perbandingan pemikiran antara tamadun . Penulis mengatakan bahawa amat penting sarjana sains Islam membezakan pandangan Islam mengenai sesuatu fenomena sains dengan pandangan secular barat mengenainya. Sains barat hanya ‘merasionalkan akal’ dalam membentuk wacana sains.

Namun dalam Islam proses alam tabii ini amat bergantung kepada kuasa Allah SWT. Manusia cuma diberikan sedikit ilmu untuk mengkaji, menilai dan membuat hipotesis tentang teori dan ilmu sains. Dan ia seharusnya dilandaskan dengan kecintaan terhadap Allah SWT Yang Maha Kuasa buku ini pada hemat saya Berjaya mengupas isu – isu penting dalam wacana sains barat yang sehingga kini rapuh. Implikasi dari ketempangan pandangan hidup secular dan liberal barat telah menatijahkan kemusnahan alam sekitar yang amat dahsyat pada mutakhir ini. Buku ini merupakan teks wajib untuk professional muslim yang bergiat dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi .

Kelestarian Pendidikan Islam Di Malaysia



Pendidikan Islam kepada generasi muda merupakan perkara yang amat penting untuk dijayakan. Pendidikan Islam boleh dilaksanakan secara formal dan tidak formal. Secara formal di sekolah para pelajar di ajar mengenai akidah, ibadah, syariat dan akhlak. Dan ia perlu juga berlaku dalam pendidikan tidak formal. Ibubapa memainkan peranan penting dalam hal ini. Di sebalik krisis yang berlaku kini, pada hemat saya sukatan pendidikan Islam secara formal kini perlu juga memberikan fokus tentang Islam di Malaysia. Iaitu mengenai hubungan berbilang kaum dan agama lingkungan dan budaya ke Malaysiaan.


Menyentuh isu kalimah Allah, generasi muda Islam perlu diberikan kefahaman kenapa dan mengapa kalimah ini eksklusif untuk umat Islam di Malaysia. Hujah – hujah yang kuat perlu didedahkan kepada mereka. Menjadi kegusaran kita jika perkara ini tidak di berikan pendedahan dalam kalangan generasi muda sudah tentu mereka akan terpedaya dan terpesong dengan hujah yang mengelirukan dan gerakan liberalisasi yang mahu melumpuhkan kekuatan umat Islam. Jihad keilmuan harus menjadi awlawiyat gerakan Islam pada saat ini !

Kelestarian Dalam Perancangan Bandar



Jumlah penduduk negara ini dijangka akan terus meningkat saban tahun. Pada ketika ini penduduk Malaysia ialah 27 juta. Dengan pertambahan jumlah penduduk pada masa akan datang sudah pastilah, ia akan mewujudkan permintaan terhadap guna tanah bagi pelbagai tujuan. Antaranya ialah untuk penempatan, komersial, pentadbiran, pertanian dan perindustrian. Ke semua ini memerlukan pengurusan dan perancangan pembandaran yang strategik. Di sinilah kepakaran dan kebijaksanaan harus digunakan dengan cermat oleh perancang Bandar. Ini kerana kalau ia tidak diurus dengan bijaksana, sudah tentu akan berlaku pelbagai masalah dan cabaran dalam mencapai kelestarianya. Lestari bukan hanya bermakna pokok dan bukit bukau dijaga dan dipelihara. Namun ia lebih dari itu semua ekosistem alam sekitar yang meliputi manusia dan segala aktivitinya, segmen air, segmen udara, dan segmen tanah perlu diurus dengan penuh perancangan rapi.

Kini timbul masalah pencemaran alam sekitar apabila kawasan perumahan hanya bersebelahan dengan industri. Tanpa ada jarak penampan yang boleh memanimakan pencemaran. Akibatnya ramai yang mengadu tentang masalah pencemaran ini. Isu – isu ini kerap kali berlaku dalam kalangan negara membangun. Namun ia bukanlah satu penghalang utama masih ada ruang – ruang yang perlu diperbaiki. Antara langkah penting bagi mengatasi isu ini pada hemat saya ialah:-

1. Perlu adanya kesepakatan yang erat antara agensi perancang dan badan kerajaan untuk memastikan pengzonan kawasan – kawasan.

2. Perlu adanya AKTA yang dapat memantau dan menguruskan isu perancangan guna tanah dengan baik.

3. Pihak NGO dan individu yang berkepakaran menyumbangkan buah fikiran yang bernas dalam hal yang membabitkan perancangan guna tanah.

Semasa di Universiti dahulu saya amat teruja dengan teknologi kawalan pencemaran yang serba canggih, namun kini saya kembali sedar bahawa teknologi juga mempunyai kelemahan yang banyak dalam mengurus alam sekitar. Sesuai dengan kelemahan yang ada pada diri manusia yang seringcuai dan alpa. Oleh itu pengurusan perancangan Bandar, desa dan kampong secara lestari harus menjadi perkara pokok yang mesti diurus dengan penuh hikmah pada masa kini.

Hujah Yang Bernas

Kontroversi Pemakaian Kalimat Allah: Suatu Pernyataan Keprihatinan


Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)


Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States) ini durujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”. Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan.

Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya. Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusik atau diganggu.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka. Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.

Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.

Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius. Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, “Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”. Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “...a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.

Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.

Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya? Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katolitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa. Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif. Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini. Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam.

Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:

What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution. Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.

Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries. Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss. Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values. It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.

In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision. It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts. The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority (http://takemon.wordpress.com/about/).

Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya. Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat pribumi Melayu. Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S. Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”. Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”.

Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi “perkara masa lalu” yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian. Provokasi-provokasi keagamaan sehausnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual. Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira `uruf ahl al-balad (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari.

Motivasi – Inovasi dan Kreativiti

Hari ini merupakan hari ke lima kita memasuki tahun baharu 2010. Tahun ini sudah pasti menjanjikan cabaran dan ujian yang semakin mencabar bagi umat Islam. Awal tahun ini adalah tempoh yang paling baik untuk kita memperbaiki persiapan minda kita untuk melaksanakan ibadah dengan lebih lancar.

Penggunaan masa secara maksimum dan efektif adalah kunci kejayaan seorang muslim. Menghayati Surah Al – Asr sebagai pedoman dalam meniti hari – hari yang mendatang adalah prinsip seorang profesional muslim.

Cara dan budaya kerja yang diamalkan mungkin memerlukan inovasi. Rasullulah SAW amat mementingkan persoalan motivasi, inovasi dan kreativiti dalam usaha yang dilaksanakan.

Model ’motivasi, inovasi dan kreativiti’ harus diterapkan dalam budaya kerja seorang profesional muslim. Isu – isu berkaitan pengurusan alam sekitar juga memerlukan inovasi dan kreativiti.