Apa makna kelahiran kita



Mengisi makna kelahiran, dengan erti yang sebenar!

Kehidupan ini perlu diisi dengan segala perkara yang bermanfaat. Kelahiran kita adalah suatu tanda kebesaran Allah. Menciptakan manusia dengan ratusan juta nikmat yang tidak akan mampu kita terhitung oleh kita ...

Bermula saat kelahiran kita bermakna bermulalah rekod catitan amalan hidup. Setiap amalan yang baik dan buruk pada setiap detik dan saat akan dinilai dan direkod dengan tepat. Alat merekodnya amat canggih sekali sudah tentu mengalahkan teknologi PDA, GIS, Video grafik dan kamera digital yang ada pada hari ini.

Tangan – tangan kita akan menerima buku rekod atau catitan amalan di akhirat kelak. Buruk – baik amalan bergantung diatas apa yang kita lakukan pada saat ini! Malah kita akan saksikan apa yang telah kita lakukan disaat ini.

Semakin banyak perkara yang kita kenal dan tahu di alam ini bermakna semakin banyak pulalah tanggunggjawab dan amanah yang kita perlu laksanakan. Hidup ini penuh dengan tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas sebab itu kita dijadikan sebagai khalifah. Juga sebagai hamba yang insaf dan sedar akan kekerdilan diri.Tassawur hidup Islam yang jelas akan membawa kehidupan kita ke arah kesempurnaan.

Mencari hikmah dalam kehidupan



Dalam kehidupan ini mencari hikmah laksana mencari sebutir permata yang amat bernilai. Mencari orang – orang yang berhikmah memang agak sukar. Hikmah banyak di maksudkan sebagai ilmu, kebijaksanaan, kepandaian, kesederhanaan, kepintaran malah hikmah mempunyai makna yang tersirat yang mendorong kepada perubahan besar dalam kehidupan seseorang.

Orang yang memiliki hikmah adalah seorang yang berjaya dalam hidup. Pada hemat saya mencari dan memiliki hikmah adalah suatu proses yang panjang dengan mengutip segala pengajaran di sepanjang jalan kehidupan ini. Pastinya hikmah didasari dengan ilmu yang benar ‘tahu menimbang mana yang baik dan yang buruk. Memberi makna ‘adil’ dalam hidup, tahu mengurus keutamaan, bijaksana mengurus dan menghadapi kehidupan dengan berstrategi.

Apa yang kurang dikalangan kita adalah manusia yang memiliki hikmah.

Pemimpin yang memiliki hikmah ?
Guru yang berhikmah ?
Pelajar yang berhikmah ?
Pegawai yang berhikmah ?
Jurutera yang berhikmah ?
Boss yang berhikmah?
Suami yang berhikmah ?
Isteri yang berhikmah?

Carilah hikmah dengan mata hati, bentuk akhlak yang baik dan teruskan perjuangan dalam kehidupan.

Zarahan nano : suatu kebimbangan baru

Minggu lepas saya memanfaatkan masa untuk membaca beberapa laporan dan kajian mengenai nano partikel. Ternyata, kajian daripada sarjana barat mengenai teknologi nano amat mengkagumkan. Penemuan teknologi nano danggap sebagai ‘titik pertemuan’ pelbagai ilmu termasuk biologi, kimia, fizik, kejuruteraan dan matematik.

Kini teknologi nano digunakan secara meluas dalam banyak bidang, ia mempunyai kelebihan kerana ia bersaiz kecil, mudah bertindak balas dan menggunakan tenaga pada julat yang kecil.

Disebalik kejayaan membina teknologi berskala nano, wujud kebimbangan baru mengenai impaknya terhadap alam sekitar. Ini kerana saiz dan jisim yang amat kecil dibimbangi mampu terserak jauh didalam udara dan boleh menembusi sel badan manusia dan haiwan.

Antara bahan – bahan nano yang dikenalpasti berbahaya terhadap alam sekitar adalah daripada jenis logam seperti TiO2, ZnO dan SWCNT. Beberapa kajian lanjut mengenai partikel nano perlu dilaksanakan seperti berikut : -

Penakrifan yang jelas partikel nano.
Sumber – sumber penghasilan partikel nano .
Pengkelasan partikel nano.
Kaedah Pengesanan Partikel nano.
Perundangan bagi mengawal partikel nano.
Menggunakan kaedah penilaian risiko bagi menilai impaknya.

Rasullulah Pemimpin Reformasi Akhlak Manusia


12 hb Mac yang lalu saya berkesempatan ke majlis forum sambutan maulidur rasul bertempat di Masjid Sultanah Alor, Star Kedah. Majlis di mulakan dengan bacaan Yassin, Solat Hajat dan Jamuan Makan. Forum yang bermula pada pukul 10.00 malam berakhir lebih kurang pukul 12.00 mlm. Antara ahli panel forum adalah Dr. Jamnul Azhar Mulkan dan Ustaz Hazlen. Ustaz Hazlen menekankan tetang prasyarat bagi kejayaan umat muslim hari ini adalah dengan menjelmakan kehidupan Sunnah Ar Rasul dalam kehidupan. Perkara asas yang penting adalah penekanan terhadap penguasaan Ilmu sebagai usaha untuk kita mengenali Rasullulah SAW dan mengamalkan sunnahnya. Kita perlu membuktikan rasa kecintaan kita kepada Rasullulah secara realiti bukan sekadar dalam tulisan dan ungkapan semata – mata.

Dr. Jamnul Azhar pula memberi penekanan terhadap kepentingan pembangunan yang di sertai dengan akhlak yang baik. Ini kerana kejatuhan sesuatu tamadun dan negara adalah disebabkan oleh ketiadaan akhlak sebagai teras utama dalam pembangunan. Beliau mengambil contoh mengenai kekejaman, rakus, gila, buas kaum yahudi zionis yang membunuh Umat Islam di Gaza. Mereka menguasai ilmu sains, teknologi, dan ketenteraan untuk membangun tetapi tidak mempunyai akhlak hatta sanggup membunuh nabi. Dr. Jamnul Azhar mengisahkan pengalaman peribadi beliau di Gaza.


Melihat paparan di layar skrin gambar anak – anak palestin, belia, wanita yang gugur syahid amat menghibakan. Saya agak sebak melihat gambar anak - anak kecil yang ditembak dengan peluru dari senjata yahudi yang terbenam ditubuh kecil anak – anak muslim. Sudah tiba masanya kita perlu bangkit dari tidur yang lena. Kenalkan anak muda kita tentang realiti hidup, dalam kehidupan tidak semuanya indah, malah tidak akan kekal selamanya kita sedang berhadapan dengan peperangan yang besar. Kita perlu siap menghadapinya.

Daripada majlis sambutan maulidurasul ini saya mengambil pengajaran begini :

Sebagai muslim kita harus muslim dari segi akhlak .
Menguasai ilmu yang diwariskan oleh nabi kita (Al Quran , Hadis, Tauhid, Syariah, Akhlak, Akidah, Ibadah)
Melaksanakan pembangunan mesti berteraskan akhlak.
Prihatin sesama Islam (Saudara, Jiran, teman dan rakan – rakan).
Berjuang menyedarkan umat Islam tentang isu – isu umat antarabangsa termasuk penderitaan Umat Islam Palestin.

Ya, Allah ampunkan dosa – dosa kami semoga kami tergolong dari hamba – hamba yang soleh.

Dakwah penuh kasih, bijaksana paling berkesan


Empat strategi sebar Islam dalam masyarakat majmuk perlu berlandaskan keharmonian



Prof.Dr. Sidek baba

PELBAGAI orientasi dakwah digerakkan hari ini dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penghayatan Islam. Ada memilih orientasi heararki (gerakan), siasi (politik), orientasi tabligh dan sufi bagi mencapai keberkesanan dalam kefahaman dan amal Islam. Di samping jemaah sukarela, peranan lembaga kerajaan juga aktif menghidupkan suasana dakwah di samping menghasilkan institusi seperti bank, kewangan, takaful, institusi pengajian tinggi, menengah dan rendah.

Perkembangan ini menjadi lebih baik jika wujud penyelarasan pada setiap peringkat dan pihak bahawa skop dakwah tidak sekadar seruan dan ajakan secara lisan, sebaliknya dakwah juga pada lembaga serta institusi yang menyalurkan nilai serta etika Islam. Namun, ada orientasi sukarela menyandarkan dakwah kepada jemaah atau gerakan di luar negara yang cabaran serta masalah tidak sama di negara kita. Malaysia adalah negara unik yang memerlukan kaedah sesuai dengan latar belakang sejarah, sosioekonomi dan pentadbirannya.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada persamaan antara Mesir dan Indo-Pakistan dengan Malaysia tetapi mengambil pendekatan ala Malaysia dalam dakwah perlu kerana orientasi masyarakat majmuk, kebebasan serta pengaruh Islam dalam system. Pendekatan dakwah ala Malaysia mengambil kira peruntukan Islam dalam perlembagaan khususnya yang ada dalam bidang kuasa negeri di samping ruang untuk melaksanakan kegiatan dakwah secara bijaksana. Sejarah perkembangan dakwah Islam sejak zaman Melaka hingga kini dan pendekatan dinamik yang perlu ada bagi badan dakwah melihat kepada potensi umat Melayu serta bukan Melayu atau bukan Islam. Rasulullah SAW menganjurkan suatu dustur (kaedah) dakwah yang terbaik iaitu: "Serulah ke jalan Tuhanmu secara bijaksana dengan pekerti teladan yang baik, hujah terbaik dan meyakinkan". Dustur dakwah itu sesuai dalam realiti Malaysia. Sebagai dai dan murabbi, di depannya ada potensi orang yang hendak didakwahkan pada segala peringkat dan latar belakang. Harus diteroka jalan bijaksana supaya risalah kebenaran dapat disampaikan di samping kehidupan rohaniah dijadikan pedoman.

Pertama, perlu ada sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi terhadap orang yang hendak di dakwah. Berdakwah dengan memberikan label dan sindiran boleh menyebabkan sasaran lari dan tidak tertarik dengan cara diambil. Kita harus menginsafi tidak semua orang memiliki latar pendidikan dan binaan keluarga yang baik. Sesetengah yang ingin didakwah adalah orang yang cicir dalam keluarga, mengalami kelompangan hati serta kekeliruan minda. Orang seperti ini mudah terdedah kepada kemungkaran kerana tidak memiliki kesedaran rohaniah. Kedua, apabila melihat kemungkaran atau perkara tidak baik dilakukan seseorang, perbuatan itu tidak kita sertai. Namun, jauh dalam lubuk hati kita terpancar rasa belas kasihan terhadap apa yang berlaku. Lalu datang gerak hati untuk mendekatinya dengan bijaksana.

Jika pendekatan itu dilakukan bagi mengajaknya kembali ke jalan yang benar, kemungkinan ia akan kembali kepada fitrah hidup semula. Jika kejayaan ini ada, bermakna ia tidak lagi terus melakukan kemungkaran, sebaliknya sudah bersama dengan kita hidup dalam makruf. Ketiga, berdakwah perlu ada persiapan. Faham akan sasaran, tingkat pemikiran, rasa kesabaran dan kebijaksanaan seperti teladan diri yang baik dan tidak mudah berputus asa. Harus ada sikap setiap yang ingin didakwah ada potensi untuk berubah.

Keempat, kuasai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang khususnya ilmu Islam kerana cabaran yang menghadapi masyarakat kini tidak saja rohaniah sifatnya, malah perkembangan ilmu yang menjangkau ke daerah sains dan teknologi. Ilmu ini harus diolah dengan bijaksana bermula dengan mengukuhkan akidah dan iman, ibadat dan syariah supaya terhasil akhlak yang baik. Pendekatan dakwah Malaysia bukan sekadar menimbulkan keinsafan pentingnya akhlak mulia disuburkan tetapi dengan kekuatan ilmu dan ketrampilan, ia mungkin memberikan arah pemahaman yang betul mengenai seni dan budaya supaya kemajuan berlaku sentiasa dalam acuan yang makruf.

Pendakwah dan pendidik harus sentiasa memiliki sikap berlapang dada menerima kritik serta teguran. Jangan mengambil pendekatan radikal yang tidak serasi dengan resam budaya masyarakat dan boleh menyebabkan gerak kerja dakwah menjadi fitnah. Al-Quran memberikan asas yang mantap mengenai jenis manusia yang ingin kita suburkan. Firman Allah bermaksud: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Surah al-Imran, ayat 110) Ada tiga asas penting dalam ayat ini memberikan pedoman dakwah iaitu pertama, harus diwujudkan kebaikan dalam hidup ini ibarat pohon yang tumbuh dalam kehijauan daun dan kelebatan buah supaya manfaatnya dirasakan yang lain. Makruf tidak hanya terpancar dalam pekerti diri yang memiliki teladan boleh dicontohi, tetapi mampu tegak dengan kekuatan ilmu yang dapat mengaturkan sistem. Memiliki ilmu muamalah didukung prinsip syariah bakal menjauhkan umat terbabit riba. Ia menuntut tekad politik dan keusahawanan yang tinggi supaya umat terus berada dalam keadaan makruf.

Kedua, tentangan terhadap makruf dilakukan dengan menyuburkan perkara makruf sebanyak mungkin. Jika generasi muda kini ketagih dengan budaya popular Barat, tekad yang tinggi dan kreatif di kalangan ulama, ilmuwan, seniman dan karyawan Islam memberikan alternatif, kemungkinan kecenderungan terhadap kemungkaran dapat dikurangkan. Bagaimana genre pantun, syair, nazam, qitah, gurindam dan seloka dengan bijaksana dan kreatif disuburkan dan menjadi minat generasi muda membawa mesej mengembalikan mereka ke arah yang lebih fitrah.

Ketiga, maksud beriman kepada Allah tidak hanya membina rasa percaya tetapi keyakinan dan kepercayaan yang didukung oleh ilmu. Tidak dinamakan seseorang itu beriman jika asas percaya yang menyebabkan niat dan perbuatannya menyimpang daripada yang diniatkan. Syahadahnya lain tetapi pancaran syahadah tidak membayangkan ia percaya mengenai kewujudan dan keperkasaan Allah. Lebih-lebih lagi jika menganut Islam dengan sentimen atau emosi semata-mata. Orang beriman bukan saja percaya tetapi asas kepercayaan kepada Allah mendorongnya untuk berfikir dan memerhati, mengkaji dan mengakui bahawa Maha Besar dan Perkasa Allah menjadikan alam ini dengan limpahan rahmat dan nikmat. Dalam keadaan kini amat penting kefahaman pendakwah digilap dan kecerdasan strategi dilakukan supaya umat Islam sentiasa bertindak balas kepada keunggulan tamadun silam dan futuristik terhadap kemajuan serta perubahan yang berlangsung.

Ia bukan perjuangan mudah kerana kehebatan Islam tidak saja dilihat pada ajarannya, malah diukur daripada kecemerlangan diri dan gerak kerja penganutnya yang sentiasa mempamerkan teladan tinggi dan mampu menjadi sumber ikutan terhadap yang lain. Inilah sebenar risalah nubuwwah supaya Islam mampu dicernakan sebagai agama mendukung maksud rahmat untuk sekalian alam.

Penulis ialah penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah

Aku, reket dan motivasi ..

Sejak kecil lagi kami amat meminati badminton. Berbekalkan 3 batang reket untuk bermain kami terus bermain dan bermain tanpa henti. Dengan semangat dan minat yang tinggi kami membuat gelangan badminton di tepi rumah dengan menggunakan tali rapia. Apatah lagi bila adanya musim badminton di TV kami teramat teruja untuk bermain badminton.

Bermain badminton tidak kira apa jua waktu pagi, petang, siang dan malam (pasang lampu tepi tingkap). Selalu juga reket yang diguna untuk bermain putus talinya, terpaksalah kami membeli tangsi untuk menyambungnya sendiri. Tangsi – tali pancing jadi tali reket kami pada waktu itu. Selalu juga di undang bermain badminton oleh jiran kami (cina) walaupun ada masanya kami menang tapi ada fight jugalah.

Kami tidak mampu membeli reket yang mahal, reket yang ada pun sudah mencecah 3 tahun umurnya. Maklumlah untuk membeli sebatang reket memerlukan sekurang – kurangnya RM 40. Setiap kali melintas kedai yun seng (kedai buku + peralatan sukan) di pekan Papar, saya selalu mengintai-intai reket – rekat yang menjadi idaman di hati. Sambil menanam azam untuk membeli reket baru bila dapat biasiswa nanti. Bila dapat biasiswa barulah dapat beli reket baru yang diidamkan.

Kini badminton tetap menjadi permainan kegemaran. Kalau dulu nak beli satu reket bukan main susah, sekarang harga tidak menjadi persoalan yang penting bisa bermaion dengan mantap. Setiap minggu 2 kali sekali turun bermain badminton.

Badminton mengajar ketangkasan fizikal dan akal. Menyerang, bertahan, taktik dan kekuatan stamina di uji sepenuhnya semasa bermain badminton. Hilang juga tension bekerja di pejabat.

Sebagai seorang jurutera saya membuat formula penting yang menjamin ketepatan pukulan smash. Kedudukan bulu tangkis mestilah dalam kedudukan 25 -35 darjah dari sudut angkatan tangan–reket bagi memastikan smash yang terhasil tepat dan kemas pada sasaranya.

Bermain apa jua pun boleh memberi kesan kepada cara kita berfikir dan berkerja, bukan sekadar bermain tetapi ada manfaatnya pada cara hidup, kerja dan bersosial... kita akan mampu melakukan pukulan lintang, smash, drop, taktik dan fokus yang berkesan kiranya kita bersedia mengkajinya ...

Falsafahnya, kita bisa menghasilkan sesuatu yang terbaik andainya kita mampu mencari pendekatan di samping mempunyai fokus yang jelas untuk mencapainya ...

Berjiwa besar vs Berhati Kuman


Hidup ini merupakan suatu gelangang perjuangan, manusia yang tidak pernah menerima cabaran sebenarnya manusia yang telah lama ‘mati’ . Mati pada jiwa, akal, perasaan dan fikiranya. Cabaran sebenarnya suatu peluang untuk mematangkan diri. Ada yang menyatakan buat apa bersusah – susah untuk melakukan sesuatu perkara yang tiada hasilnya ….’buat penat je’….

Itulah tanggapan dan pandangan orang yang berhati kuman atau lebih kecil dari mikroorganisma. Orang yang berjiwa besr sentiasa memfokuskan kerja dan dirinya dalam konteks ibadah dan berusaha melaksanakan agenda besar dalam hidupnya.

Sesuatu kebaikan yang kita lakukan sebenarnya akan dinilai oleh Allah swt begitu jualah sebaliknya. Lakukanlah kebaikan sebanyak mana yang engkau mampu , jangan bazirkan masa untuk lakukan yang mengheret kita ke lembah hawa nafsu yang menyesatkan….

Setiap saat masa berlalu …. Apa yang sudah kita lakukan untuk diri, keluarga, ummah dan masa hadapan.

Mesej untuk intelektual aktivis...


Setiap jam yang berlalu mempunyai makna dalam hidup. Kita harus memanfaatkanya untuk kebaikan. Berusaha mempertingkatkan ilmu, menyebarkan ilmu, mengemukakan pandangan serta idea dan gagasan baru untuk perubahan.

Motivasi tertinggi kita adalah pahala syurga dari ALLAH SWT. Untuk berubah kita tidak perlu menunggu – nunggu masa yang sesuai. Kerana masa yang dikatakan ‘sesuai’ memang tidak akan muncul andainya kita tidak menyesuaikanya sendiri dengan ‘kekuatan’ diri. Mulakan dengan memperbanyakan bacaan dan menjadi rakus untuk membaca.

Sentiasa dalam keadaan dahaga keilmuaan. Kelompok pembaca yang rakus memang amat kurang di negara kita. Apatah lagi siapa yang suka membaca di berikan jolokan sebagai ‘si ulat buku’. Ini memberi persepsi negatif kepada sesetengah orang dengan melabel kelompok minat membaca sebagai golongan yang pasif dan tidak mahu bergaul.

Persepsi seperti ini menjadi arus yang dominan dalam masyarakat. Kebanyakan tokoh – tokoh ilmuan masa kini lahir dari kalangan pembaca yang aktif atau boleh digolongkan sebagai ‘rakus membaca’. Sehari tidak membaca bagaikan kerugian besar dalam hidupnya. Pembaca rakus biasanya golongan aktivis intelektual yang tidak sekadar berteori tetapi sentiasa berusaha menjadikan ideanya sebagai realiti.

Kepada mereka intelektual aktivis teruskan usaha menjernihkan masyarakat kita yang kini kian rabun membaca dan buta menulis.