Buku Fikir dan Zikir - Karya Terbaru Cikgu Sidek




Fikir dan Zikir

Buku ini menghuraikan cara berfikir manusia yang bertunjangkan Islam sebagai landasanya. Buku ini sesuai untuk di baca oleh generasi muda yang kini masih tercari – cari landasan berfikir yang betul . Membaca setiap bab dalam buku ini memberi refleksi kembali kepada diri saya, tentang terdapat kaedah berfikir yang agak kurang tepat yang saya amalkan selama ini. Intipati buku ini cuba mengajak pembaca menggunakan kurniaan akal fikiran manusia sebaiknya untuk tujuan kebaikan dan manfaat kepada seluruh manusia. Kaedah berfikir yang sebenar adalah dengan mengaitkan semua yang ada di alam ini dengan Kekuasaan Allah SWT.
Berfikir sesuatu yang tidak bermanfaat dan tanpa kerdaan Allah SWT adalah sesat,berilmu tanpa mengakui kebesaran Allah SWT adalah musibah, dan pemikiran yang hanya mengagumi kehebatan duniawi tanpa mengaitkanya dengan kepentingan ukhrawi akan memimpin manusia ke arah fasad. Berfikir juga merupakan suatu mekanisme zikir, tadabur dan tafakkur yang mempunyai nilai yang amat tinggi dan mendalam dalam diri manusia. Saya rasa buku ini harus dibaca berkali – kali untuk kita dapat benar – benar menyerap setiap butir hikmah yang pastinya terbit dari hati penulisnya. Buku ini juga amat sesuai sekali dimiliki oleh setiap penjawat awam yang mahu merubah cara berfikir dan bekerja ke arah yang lebih baik.

Hari Bumi Sedunia

Lima puluh tahun akan datang, dunia bakal berhadapan dengan impak pemanasan global yang lebih dahsyat. Ini akan menjadi realiti seandainya tiada sebarang perubahan drastik dilakukan oleh manusia dalam tempoh itu. Laporan yang dikeluarkan dari badan penyelidikan antarabangsa menunjukan peningkatan suhu bumi yang semakin bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Apa yang pasti manusia hanya ada satu tempat untuk tinggal dan hidup yang bernama planet ‘bumi’. Seandainya bumi semakin panas dan tidak selesa untuk dihuni kita tidak mampu untuk berhijrah ke planet yang lain. Perkara yang menjadi awlawiyat untuk dilaksanakan oleh semua manusia adalah dengan mengurangkan penjanaan sisa pepejal.

Mengikut pengiraan saya setiap hari keseluruhan populasi manusia mengeluarkan sampah menyamai 66,700 jumlah buah kapal terbang boeing 747. Tarikh 22hb April setiap tahun di sambut sebagai hari bumi sedunia. Sebagai umat Islam kita harus sentiasa melakukan muhasabah tentang tanggungjawab kekhalifahan yang telah ditaklifkan kepada kita. Renungan mendalam mengenai fenomena alam yang semakin berubah mengingatkan kita tentang hari kiamat yang pasti akan datang.

Hari ini dan semalam saya berada di putrajaya dan cyberjaya bagi menghadiri mesyuarat. Saya agak sibuk sikit dengan projek – projek terbaru, namun masih aktif dalam penulisan artikel, ada beberapa tulisan yang bakal saya keluarkan tidak lama lagi. Kepada rakan –rakan teruskan memimpin perubahan di mana sahaja.

Adil Dalam Pembangunan


Islam merupakan agama yang syumul sentiasa kehadapan dalam memberikan jawapan terhadap persoalan semasa dalam kehidupan manusia. Ini termasuklah dalam hal yang melibatkan pembangunan. Islam amat menekankan konsep pembangunan alam sekitar seimbang dan lestari dengan bertunjangkan rasa kehambaan yang tinggi terhadap Allah SWT yang menciptakan alam ini.

Manusia diberikan tanggungjawab sebagai khalifah yang mempunyai peranan penting dalam membangunkan dan memakmurkan sumber - sumber alam ini secara bijaksana. Komponen alam sekitar seperti lautan, sungai, pantai, hutan dan tanah tinggi perlu dibangunkan secara seimbang tanpa merosakanya.

Dalam konteks pembangunan, Islam amat mementingkan pelaksanaan konsep keadilan bagi memastikan kelestarian alam terus terjamin. Keadilan dalam pembangunan alam bermaksud membangunkan alam sekitar dengan cara terbaik dengan tidak melakukan kezalimanan terhadap manusia, tumbuhan, haiwan serta seluruh ekosistem alam. Dalam erti kata lain pembangunan perlu berupaya memberikan keadilan kepada setiap mahkluk ciptaan Allah. SWT. Islam amat menganjurkan keadilan untuk sentiasa ditegakan ini jelas dinyatakan Allah SWT dalam al Quran :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan, hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”
(Al-Maidah:8).

Untuk melaksanakan keadilan dalam membangunkan alam ini manusia amat memerlukan ilmu tentang mengurus alam. Ilmu mengurus alam untuk pembangunan termasuklah ilmu kejuruteraan, geologi, alam sekitar, ekonomi, sains dan matematik. Ianya amat diperlukan oleh manusia untuk membantu manusia berfikir dan bertindak secara kreatif dan analitikal serta melaksanakan pembangunan secara adil. Tanpa ilmu manusia tidak akan dapat melaksanakan pembangunan secara adil. Sebaliknya banyak kerosakan dan kezaliman akan berlaku seandainya pembangunan diurus tanpa ilmu. Misalnya, seseorang yang ingin memulakan projek menanam anggur ia perlu mempunyai ilmu asas tentang kesuburan tanah, keamatan cahaya dan baja yang sesuai untuk menjayakan projeknya. Ketiadaan ilmu dalam melaksanakan sesuatu pembangunan diibaratkan seperti orang yang berjalan tanpa haluan. Ilmu yang benar adalah ilmu yang dapat melahirkan akhlak yang murni dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.

Prof. Syed Naquib Al Attas menyimpulkan keadilan di dalam Islam kepada lima perkara utama. Pertama ; pengetahuan dan kebolehan untuk menempatkan yang betul dan wajar bagi sesuatu benda atau manusia, kedua; kebenaran yang menentang kesalahan, ketiga; cara atau batasan, keempat; keuntungan kerohanian terhadap kerugian, dan kelima; kebenaran terhadap kepalsuan. Kesimpulan pertama yang diungkapkan oleh Prof. Syed Naquib Al Attas iaitu keadilan adalah pengetahuan dan kebolehan menempatkan yang betul dan wajar bagi sesuatu benda atau manusia, hal ini amat penting untuk diangkat dan dimartabatkan dalam kehidupan manusia seharian khususnya, dalam melaksanakan pembangunan. Keadilan didalam Islam sebenarnya dapat menjamin hak individu (diri sendiri dan orang lain), menghapuskan kezaliman, melaksanakan hukum dengan saksama, dan memastikan amanah disempuranakan sebaiknya.

Sejak dari kecil lagi umat Islam diajar untuk melaksanakan keadilan dalam kehidupan. Dari sekecil perkara seperti mengutip duri di jalanan, meletakan kasut pada rak kasut dan membuang sampah ke dalam tong sampah sudah diajar seawal umur lima tahun. Sifat – sifat adil di dalam diri muslim yang disuburkan diperingkat awal akan memberi menifestasi yang baik terhadap perkembangan dalam masyarakat Islam. Seandainya sifat – sifat adil dan bertangungjawab tidak diterapkan diperingkat awal sudah pasti masyarakat yang terbina pada masa depan akan berhadapan dengan masalah besar.

Pada masa kini konsep keadilan dalam konteks yang lebih luas amat perlu diterapkan dalam membangunkan alam. Di mana pembangunan melalui penerokaan sumber – sumber alam semulajadi hendaklah diurus dengan baik. Ia perlu mengambil kira kesan jangka pendek dan jangka panjang akibat sesuatu pembangunan terhadap keseimbangan ekosistem alam. Sebagai contoh seorang perancang bandar perlu meletakan aspek keadilan sebagai asas pertimbangan dalam merancang pembangunan. Konsep meletakan sesuatu yang betul dan wajar pada tempatnya diperlukan dalam merancang pembangunan.

Dalam merancang kawasan perumahan misalnya, aspek kesesuaian tapak perlu diambil kira. Kawasan penempatan perlu jauh daripada kawasan berisiko seperti tanah runtuh, banjir dan risiko bahaya dari industri. Ini bagi mengelakan daripada kejadian yang tidak diingini berlaku. Kawasan yang mempunyai kesensitifan tinggi perlu dijaga agar tidak dicerobohi dan dimusnahkan. Manakala kawasan yang berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan pertanian dan industri perlu dibangunkan semaksima mungkin dengan pendekatan adil dan mesra alam.

Keadilan dalam pembangunan alam sekitar akan memberikan faedah yang besar terhadap keharmonian kehidupan manusia. Dimana pembangunan yang wujud akan kelihatan indah dan harmoni serta bebas dari segala ancaman pencemaran dan bencana alam sekitar. Sebaliknya ketidakadilan dalam pembangunan alam sekitar akan banyak mendatangkan kemusnahan terhadap nyawa manusia, harta benda dan alam sekitar. Kejadian banjir dan hakisan tanah yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan oleh penerokaan hutan secara berleluasa. Kegagalan menerapkan konsep keadilan dalam pembangunan boleh dianggap suatu kezaliman. Ia bukan sahaja zalim terhadap manusia tetapi terhadap haiwan, tumbuhan dan bukit bukau yang berperanan menyokong fungsi kehidupan sesuatu ekosistem.

Kegilaan manusia terhadap kekayaan duniawi seringkali menjadikan manusia lupa kepada Allah swt. Mereka mengaut dan mengali kekayaan di perut bumi untuk mengumpul harta sebanyak mungkin sehingga menjadikan dirinya hamba kepada kebendaan. Mereka menggangap apa yang dilakukan sebagai pembangunan tetapi sebenarnya adalah kerosakan. Hal ini memperingatkan kita terhadap firman Allah swt :

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan". "Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya".
(Al Baqarah 11-12 )

Pembangunan di dalam Islam mempunyai dimensi yang cukup luas, manusia yang ditaklifkan sebagai khalifah perlu menghubungkan dirinya dengan matlamat jangka panjang di dunia dan di akhirat. Semua yang dilakukan di atas dunia ini akan dipersoalkan di akhirat kelak. Setiap inci tanah yang kita pijak akan menjadi saksi tentang apa yang kita pernah lakukan di atas muka bumi ini. Alam ini secara keseluruhanya akan menjadi saksi terhadap tanggugjwab melaksanakan keadilan dalam pembangunan.

Jesteru itu komitmen kita untuk melaksanakan keadilan perlu diteruskan dalam segenap pekerjaan yang kita laksanakan. Sifat adil dan bertanggungjawab seharusnya disemai dikalangan kita untuk memastikan bahawa ianya terus menjadi teras nilai yang dalam masyarakat kita. Dalam Islam seseorang yang melaksanakan dan menegakan keadilan dapat menghampirkan sifat dirinya terhadap ketaqwaan kepada Allah SWT.

“...hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada
takwa, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (Al-Maidah:8).

Menerapkan konsep keadilan dalam pembangunan alam sekitar perlu dijadikan dasar oleh setiap masyarakat Islam. Sesuai dengan pengertian Islam itu sendiri sejahtera, selamat dan membawa rahmat keseluruh alam. Mereka yang menjalankan tugas sebagai penguasa, perancang dan pemaju perlu menzahirkan rasa perhambaan yang tinggi terhadap Allah swt dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah dengan adil dan bijaksana. Semoga dengan sifat adil dan bertanggungjawab dalam membangunkan alam sekitar akan dapat meningkatkan rasa ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu ( dengan suruhan dan larangannya ini ), supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya.

(Surah An Nahl Ayat 90).

KLIA


Pagi ini saya berada di KLIA, untuk menghadiri mesyuarat di Putrajaya pada sebelah petang. Kelmarin telah sempurna satu program berkenaan Cleaner Production, banyak yang saya pelajari berkenaan dengan modification process, reducing waste and minimization of energy consumption. Minggu ini saya menerima pelbagai surat jemputan ceramah, seminar, kursus, pemohonan latihan industri daripada pelbagai agensi kerajaan, NGO, Sekolah, IPT dan Individu. Surat rasmi seharusnya ditulis mengikut format rasmi, bertarikh dan ada tandatangan, maklumat yang jelas dan terperinci.
Yang menulis surat pula adalah orang – orang berjawatan dan berijazah tapi terlalu rendah mutu penulisan yang dipamerkan. Ada jugak yang menulis surat macam surat cinta, ada yang tiada tandatangan, tak tahu siapa yang menulisnya.Masih terlalu banyak kelemahan dalam penulisan surat rasmi. Ini mengingatkan saya kepada Pendita Za’Ba yang begitu teliti dalam penulisan surat. Mana – mana surat yang silap dari segi penulisanya. Surat akan dihantar kembali kepada pengirimnya semula. Selamat bekerja !!

Rupa Bangsa ....


Seperti biasa setiap kali ke KL aku memerhatikan pelbagai ragam manusia di sekitar ku. Di celahahan kesibukan kota masih ada golongan daif yang hidup kais pagi makan pagi. Gejala sosial dan pergaulan bebas pula kelihatan dimana -mana sahaja. Yang paling aku bimbangi adalah kewujudan warga asing yang amat banyak sekali bangladesh,myanmar,negro,arab,indonesia dan tak kurang jugak mat saleh terus berlegaran di pingir-pingir jalan.

Apakah ini cerminan rupa bangsa anak anak kota metropolitan kuala lumpur. 10 tahun lagi apakah ia akan terus belarutan. Yang pastinya usaha untuk mengusir pendatang asing bukan mudah. Ada sahaja akal mereka untuk lari dari penguasa apabila diserbu. Sampai panjat kren setinggi 20 TINGKAT !

Di Sabah keberadaan orang – orang Filipina sudah semakin diterima sebati di kalangan masyarakat tempatan. Apa nasib orang tempatan adakah mereka terus mimpi di dalam mimpi, fikirkan ?

Ini juga faktor penghambat kearah kelestarian pembangunan.