Pada 1 september 2009 yang lalu saya berkesempatan ke majlis ‘excutive talk’ anjuran INSPIN Kedah. Syarahan di sampaikan oleh Prof. Dr Sidek Baba pensyarah UIA. Antara intipati syarahan beliau adalah berkisar mengenai konsep taqwa dan konsep I (Islam Ihsan, Ikhlas).
Puasa merupakan madrasah tarbiyah untuk membentuk jiwa mutaqqin. Jiwa mutaqqin terbentuk melalui usaha yang bersunggguh – sungguh. Taqwa adalah tingkat tertinggi bagi orang – orang beriman . Jiwa mutaqqin dapat dibentuk oleh umat islam melalui 5 perkara penting yang perlu dihayati dengan baik.
Sebagai hamba kita perlu faham tentang status kita sebagai hamba di atas muka bumi ini. Hamba Allah, berjiwa hamba merasa kerdil terhadap pencapaian diri. Hanya Allah yang maha berkuasa. Oleh itu kita tidak perlu takabur, angkuh dan sombong tentang apa yang kita capai kerana semuanya datang dari Allah SWT. Kita hanya menumpang diatas muka bumi ini. Kita tidak memiliki apa – apa kekuatan sebenarnya. Sampai masanya kita kan dijemput pulang ke tempat yang abadi. ‘Hamba’ dalam erti kata menunaikan ibadah dengan sepenuh penghayatan bahawa kita akan selama-lamanya berstatus hamba. Melakukan ibadah dengan ikhlas dan ihsan.
Faham status sebagai khalifah, kita merupakan pengurus alam diatas muka bumi ini. Kerana kita dikurniakan kelebihan berbanding dengan makhluk lain. Kurniaan akal dan pancaindera yang lengkap membezakan kita dengan haiwan. Ia memberi kemudahan dan kebijaksanaan kepada manusia untuk mengurus alam secara lestari. Sebagai khalifah manusia perlu mengurus alam ini secara berakhlak dan beradab. Manusia yang beradab dan berakhlak mampu membina peradaban yang unggul.
Ilmu, manusia mempu mencapai tingkat taqwa yang tinggi denganya. Ilmu yang benar bersumberkan Al Quran, Hadis, lalu dikembangkan dalam konteks ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem. Yang mana ilmu mengurus diri – fardu ain menjadi akar tunjang yang kukuh membina batang pohon yang kuat, manakala ilmu mengurus alat adalah sebagai bunga, dahan dan daunnya. Seandainya akar tunjang dan btang pohon tidak subur dan rapuh maka pohon tidak akan berbuah lebat dan hanya akan menjadi toksik dan racun kepada dunia.
Tauladan, umat Islam diberi tauladan terbaik yakni Rasullulah SAW. Sebagai sumber ikutan. Rasullulah meninggalkan kita dengan sumber ilmu, sistem muamalah, sistem sosial dan sistem pentadbiran dengan baik. Ia perlu ditelusuri oleh kita semua dengan mengambil hikmah daripadanya. Kita juga mempunyai teladan baik seperti para sahabat, ulama – ulama, pejuang dan aktivis islam dari dahulu sehinga kini. Sekiranya kita tidak berusaha mengali, mencari, mengkaji dan mempelajari tinggalan yang cukup bernilai ini dikhuatiri kita akan menerima sistem asing yang kini ditaja oleh pihak barat.
Rahmat dan nikmat, yang dikurniakan oleh umat Islam cukup besar sekali. Di Negara – Negara Islam terlalu banyak sumber – sumber asli yang dikurniakan. Sebagai contoh simpanan minyak terbesar didunia, uranium untuk janakuasa tenaga, dan kesuburan muka bumi untuk pertanian. Namun ia kelihatan tidak dimanfaatkan dengan baik, tidak diurus dengan cemerlang oleh orang Islam. Sehingga orang bukan Islam melalui syarikat multi nasional mengambi dan mengurus sumber – sumber ini akhirnya, umat Islam ketinggalan dalam segala bidang ilmu dan orang bukan Islam menguasai umat Islam. Umat Islam harus memanfaatkan rahmat dan nikmat ini untuk meningkatkan kemajuan dan membina tamadun yang diasaskan dengan ketaqwaan.
1 comment:
"kita tidak perlu takabur, angkuh dan sombong tentang apa yang kita capai kerana semuanya datang dari Allah SWT. Kita hanya menumpang diatas muka bumi ini. Kita tidak memiliki apa – apa kekuatan sebenarnya. Sampai masanya kita kan dijemput pulang ke tempat yang abadi"..
benar,
kita tidak punya apa di bumi ini, semua yg ada hanya dipinjamkanNya pada kita. Pinjaman berupa amanah utk dijaga dan dipelihara sebagaimana asalnya dan perlu dikembalikan...patut malu pada Allah jika amanah itu tidak dijaga...
Post a Comment