E - buku



Ini merupakan satu percubaan saya untuk menghasilkan kompilasi penulisan saya melalui e-buku. Teruskan untuk mengikuti perkembangan baharu dalam rangkaian blog paparian.blogspot.com. Ia merupakan suatu sumbangan ke arah menyebar luaskan kefahaman masyarakat mengenai isu – isu terkini mengenai alam sekitar secara local dan global. Isu alam sekitar kini mutli – dimensi memerlukan penyelesaian dan penjelasan yang berstrategi. Tiada cara lain untuk menyelesaikan problematik ini melainkan dengan pengangkatan kesedaran masyarakat ke tahap tinggi. Ia pastinya memerlukan usaha yang luar biasa hebatnya.

Ulasan Buku 'Blue Ocean Strategy'


Dipetik dari :




Abstrak : Strategi Laut Biru (Blue Ocean Strategy) merupakan suatu revolusi didalam strategi perniagaan dan inisiatif global bagi mengabungkan kreativiti dan inovasi di dalam perancangan perniagaan dan operasi bagi menguasai pasaran yang tidak terbatas. Suatu keusahawanan pada kelas dunia masa hadapan amat perlu bergerak jauh daripada pendekatan tradisi yang berorientasikan pendekatan meningkatkan produktiviti dan insentif kepada pelanggan – pelanggan untuk terus mengekalkan kedudukan teratas melalui persaingan yang menjerat leher.

Berdasarkan kajian yang mendalam terhadap sejumlah industri- industri pendahulu, penulis mengingatkan kita dalam senario perkembangan perniagaan tiada mana – mana syarikat atau pasaran atau gagasan perniagaan ulung akan kekal, sebaliknya kejayaan datang daripada keadaan proaktif dan bertentangan budaya, sosioekonomi, alam sekitar, kemajuan teknologi dan mengadaptasi rangka kerja baru dan perniagaan berasaskan alatan analatikal bagi membangunkan “Strategi Laut Biru”.

Dengan berkembangnya populariti Strategi Laut Biru, kesemua syarikat – syarikat kelas dunia akan meminggirkan kaedah tradisi yang mengambil pendekatan memaksimakan produktiviti atau merendahkan harga bagi melestarikan perkembangan yang boleh menguntungkan. Bagi menguasai peluang – peluang perniagaan, mereka perlu menganjak dari pendekatan peningkatan kemajuan dan mempunyai kuantum kejatuhan, melalui inovasi dengan utiliti pelanggan, harga dan kos yang menciptakan kesan paksaan kepada segmen pengguna yang tidak terhad. Strategi- strategi Laut Biru memerlukan fokus perniagaan yang jelas, bercambah dan merentasi pelbagai industri/perkhidmatan, kumpulan strategik didalam industri, rantaian pembeli – pembeli dan fungsi/emosi yang dipaparkan oleh pembeli-pembeli.

Suatu kes Curves; sebuah syarikat kelangsingan wanita di Taxes, di mana ia sangat Berjaya dalam menciptakan ruang Laut Biru dengan memotong dan memintas kelab – kelab kesihatan yang telah lama ditubuhkan dan senaman di rumah berkos rendah. Strategi perniagaan masa depan diumpamakan sebagai suatu peta lakaran yang dilukiskan di kain kanvas dan meletakan gambaran besar dalam fokus, mengiktiraf keperluan untuk berubah, meneroka opsyen-opsyen perniagaan, melakarkan nilai lingkungan melalui perspektif membuat keputusan dan mengekalkan dan hubungan efektif komunikasi.

Revolusi teknologi maklumat, globalisasi perniagaan dan peranan WTO, secara antarabangsanya terhadap alam sekitar, ketiadaan zon – zon masa dengan 24 x 7 operasi , telah memberikan impak yang besar terhadap strategi – strategi perniagaan keusahawanan.

Pimpinan global masa depan perlu melihat kewujudan permintaan, melakarkan pasaran baharu, meletakkan urutan strategik pembeli utiliti, harga, kos, pengangkatan dan masalah serta halangan organisasi. Penulis juga menegaskan dengan membina dan mengadaptasi Strategi Laut Biru ini ia bukan semudah dibentuk dengan hanya sehelai kertas tetapi ia memerlukan lakaran dinamik proses permintaan berterusan komitmen, integriti, kepercayaan, sikap positif pada tahap yang tinggi dan tenaga bagi mengekalkan tekanan – tekanan daripada pelbagai daya dan bergerak serta membina kepada pasaran tanpa persaingan ruang pasaran.

Jambatan Runtuh , Keselamatan Awam Terabai


Semalam berlaku kejadian jambatan runtuh, yang sekaligus mengakibatkan kehilangan nyawa seorang pelajar sekolah. Pelbagai reaksi ditunjukkan oleh rang ramai. Ada yang marah, geram dan rasa tidak puas hati dengan apa yang berlaku. Ada yang menyalahkan agensi kerajaan kerana tidak memantau projek ini, ada yang memarahi guru – guru kerana dikatakan cuai tidak mengawal para pelajar.

Saya mempunyai sedikit pengalaman mengendalikan kem bersama dengan pelajar – pelajar. Bagi saya aspek keselamatan amat penting dan perlu dititik beratkan dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan. Pada hemat saya dalam hal ini ada beberapa pengajaran yang perlu diambil ;

1. Pembinaan jambatan gantung memang tidak sesuai untuk di gunakan di Malaysia lagi, ini kerana sudah banyak teknologi baharu untuk membina jambatan yang kukuh dan mantap dengan kos yang berpatutan ada di negara ini.

2. Para guru yang mengendalikan program perlu mengambil perhatian penting mengenai aspek keselamatan; jangan mudah mengambil ringan terhadap sesuatu perkara.

3. Masyarakat harus memberikan pandangan dan teguran secara berhikmah menuduh agensi kerajaan tidak melakukan pemantauan merupakan persepsi yang tidak baik. Dalam kebanyakan hal pemaju yang melaksanakan projek selalunya gagal melaksanakan pembinaan yang baik.

4. Pemaju yang melaksanakan projek perlu jujur dan tidak hanya melihat aspek keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan awam.

Pengurusan Sisa Buangan Terjadual di Rumah


Sejauh manakah masyarakat kita sedar tentang Buangan Terjadual di Malaysia ? Buangan Terjadual merupakan istilah perundangan yang digunakan bagi bahan – bahan yang berpotensi mencemarkan alam sekitar. Ia di senaraikan didalam Peraturan – Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Tahukah anda buangan terjadual tidak hanya dihasilkan oleh aktiviti industri dan bengkel – bengkel kenderaan malahan di rumah sendiri pun kita menghasilkan bahan – bahan yang boleh diklasifikasikan sebagai buangan terjadual di Malaysia. Pengurusan buangan terjadual dari pihak industri boleh dikawal dan diuruskan melalui perundangan alam sekitar sedia ada. Namun bagi buangan terjadual yang dihasilkan dari rumah – rumah amat sukar dilakukan.


Ini disebabkan oleh beberapa faktor :


1. Ramai masyarakat masih tidak mengetahui jenis – jenis buangan terjadual yang dihasilkan di rumah .
2. Tiada usaha yang dijalankan bagi mengutip sisa buangan terjadual dari rumah ke rumah dijalankan.
3. Kurangnya kesedaran masyarakat mengenai buangan terjadual yang terhasil dari rumah.


Bagi merangsang kesedaran masyarakat mengenai hal ini, perkara yang paling utama perlu diberikan penekanan adalah pendidikan dari masyarakat. Kedua pihak pengeluar barangan kegunaan di rumah perlu memberikan maklumat mengenai setiap barangan yang bakal menjadi sisa buangan terjadual setelah tidak digunakan.

Manfaatkan tenaga dan masa yang ada


Dalam bidang kejuruteraan tenaga E dan masa T merupakan dua perkara yang penting dan boleh dikaitkan antara satu sama yang lain. Tenaga boleh wujud dalam pelbagai bentuk dan ia tidak boleh dimusnahkan. Di sekeliling kita terdapat tenaga yang sedang bergerak, bertambah dan berubah mengikut masa ruang dan waktu.

Dalam diri insan Allah menganugerahkan kita tenaga E dan masa T. Untuk dimanfaatkan, manusia mempunyai suatu bentuk keajaiban tenaga ‘E’ yang di berikan oleh Allah SWT iaitu tenaga keupayaan EU. Kita sendiri tidak menyedari tentang hakikat tenaga keupayaan EU yang diberikan kepada kita.

Yang pastinya masa T yang ada perlu dimanfaatkan dengan baik. Kita harus berupaya menggunakan tenaga E dan tenaga keupayaan EU, (E+EU) dan masa T dengan baik. Kita tidak seharusnya membazirkan tenaga –(E +EU) yang ada.

Saya merumuskan tenaga dan masa dalam kehidupan kita dalam persamaan ini :

E = (E + EU) * T

Pengajaran

Orang muda kena bekerja bersungguh – sungguh sebagai suatu jihad yang murni
Manfaatkan setiap masa yang ada untuk menambah ilmu,pengalaman dan mengembangkan potensi diri.
Jangan malas ! setiap detik masa berlalu masa dan tenaga terus mengalir manfaatkan dengan baik

Pembinaan Empangan Di Papar


Kebimbangan sesetengah penduduk mengenai impak alam sekitar melalui projek pembinaan empangan di Papar di suarakan melalui tindakan demonstrasi. Ini menunjukkan isu - isu yang melibatkan pengurusan alam sekitar menjadi perkara penting yang menarik minat masyarakat. Pada hemat saya orang kampung harus diberi peluang menyatakan pandangan dan kebimbangan mereka melalui ruang yang betul. Hal ini demikian kerana dalam isu yang melibatkan pembangunan tanah kawasan sensitif alam sekitar ramai dalam kalangan masyarakat tidak diberikan maklumat yang secukupnya. Penguasa pula perlu bersikap terbuka tanpa menafikan hak masyarakat untuk bersuara. Dalam menyelesaikan kemelut ini, pendekatan menang – menang harus diambil. Pembinaan masyarakat berminda lestari akan mampu dipupuk seandainya semua pihak melihat kepentingan ekosistem alam sebagai faktor penentu masa depan

Ramai Ilmuan Di Menara Gading Tidak Menulis !


Bahasa Melayu sebagai petunjuk tamadun

Oleh Anwar Ridhwan

Ilmuwan harus sahut cabaran hasilkan karya ilmiah bermutu tinggi untuk rujukan

CABARAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar ilmuwan Malaysia menghasilkan karya ilmiah bermutu tinggi (Berita Harian, 7 Oktober), kena pada masa dan wajar disambut. Bola kini berada di gelanggang ribuan ilmuwan yang berada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta, institusi penyelidikan dan pengembangan, serta yang bergerak sendirian.

Kuantiti dan kualiti penerbitan ilmiah dan penerbitan untuk bacaan umum di sesebuah negara selalunya dijadikan petunjuk tamadun sesuatu bangsa. Masyarakat hari ini tidak saja 'melihat' tamadun masa lampau berdasarkan tinggalan sejarah. Memang masyarakat hari ini akur wujudnya tamadun Romawi kerana sisa Roman Forum dan Colosseum; tamadun India kerana seni bina di Lembah Indus atas pendewaan Hindu, Buddha dan Jain; tamadun China kerana Tembok Besar; tamadun Mesir kerana Piramid dan tamadun Maya kerana Chichen Itza di Semenanjung Yucatan. Akan tetapi yang lebih penting daripada itu ialah tinggalan dalam bentuk teks persuratan dalam pelbagai jenis tulisan, termasuk pictographs dan ideograms.

Cabaran Timbalan Perdana Menteri itu ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 tentulah ada kaitannya dengan karya ilmiah bermutu tinggi dalam bahasa Melayu. Pastilah beliau secara yakin menyedari tamadun rantau ini amnya dan Malaysia khasnya, yang berpaksi pada bahasa dan kebudayaan Melayu. Mutakhir juga beliau sering berbicara mengenai usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, termasuk menghapuskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012. Dapat juga diduga beliau meyakini bahawa bahasa Melayu akan menjadi lebih dinamik, relevan dan bermartabat sekiranya menjadi bahasa ilmu tinggi. Dalam konteks inilah cabaran itu dizahirkan dan sewajarnya disambut oleh ilmuwan. Ciri bahasa moden, termasuk bahasa Melayu, ialah kemampuannya untuk menjadi bahasa ilmu.

Ada empat elemen yang biasanya dikaitkan dengan bahasa. Elemen itu ialah bahasa yang didengar, bahasa yang dituturkan, bahasa yang ditulis dan bahasa yang dibaca. Ketika zaman primitif, dan pada ketika sesuatu bahasa dituturkan oleh kelompok terpencil, hanya dua elemen bahasa saja yang hidup � iaitu bahasa dituturkan dan bahasa yang didengar. Keperluan ilmu pengetahuan yang lebih canggih, yang mendorong kemunculan sesuatu tamadun, memerlukan dua elemen bahasa lagi iaitu bahasa yang ditulis, dan bahasa dibaca.

Tulisan kuno, pictograph, ideograms, rumi, jawi dan sebagainya sudah mentransformasi sesuatu idea yang abstrak dan berada dalam dunia fikiran, menjelma sebagai aksara dan wacana yang boleh dibaca dan difahami. Pangkal tamadun memerlukan pemikir yang boleh mencipta aksara, guru yang mengajar dan murid yang mempelajarinya. Aksara dan wacana sudah berperanan meluahkan sesuatu catatan atau pemikiran yang mudah, hinggalah kepada penzahiran idea serta pemikiran yang kompleks. Demikianlah proses tamadun itu berkembang dan menjadi perkasa.

Tamadun Malaysia kini terus memerlukan keempat-empat elemen itu bagi bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa kebangsaan. Sehubungan itu, mutu bahasa Melayu yang didengar, dituturkan, ditulis dan dibaca mestilah memperlihatkan peningkatan. Hal ini, lebih mendesak dewasa ini, ketika perkembangan bahasa Melayu sedang menghadapi ancaman. Akan tetapi kesungguhan pihak kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu mutakhir ini harus juga dilihat sebagai suatu peluang keemasan, terutama oleh institusi yang dipertanggungjawabkan mengembangkan bahasa Melayu.

Sebelum membicarakan aspek penerbitan dalam bahasa Melayu yang menjadi petunjuk tamadun, yakni merujuk bahasa Melayu yang ditulis dan yang dibaca, wajar juga disentuh mengenai bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar. Seperti dinyatakan, bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar, terutama dalam situasi rasmi, wajar memperlihatkan peningkatan mutu. Harapan ini sejajar dengar taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan.

Akan tetapi mutakhir ini, lebih-lebih lagi dalam situasi tidak rasmi, mutu bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar, amatlah mengecewakan. Timbullah istilah 'bahasa rojak' dan sebagainya. 'Bahasa rojak' ini turut dipindahkan ke atas pentas, di rostrum ucapan dan diudarakan dalam penyiaran elektronik seperti radio dan televisyen. Akibatnya, bahasa Melayu tidak ditampilkan dengan citra yang baik dan yang sepatutnya. 'Bahasa rojak' terjadi kerana kelemahan penuturnya menguasai kosa kata, diksi dan aturan berbahasa dengan baik, bukan kelemahan bahasa Melayu itu sendiri.

Bahasa Melayu juga kerap kali dipinggirkan dalam ucapan atau acara yang sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan ini. Tokoh pemimpin pernah melakukannya. Agensi kerajaan pernah melakukannya. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pernah melakukannya. Pihak swasta pula memang tampaknya agak tidak menghiraukan bahasa kebangsaan kerana kurangnya peraturan serta pengawalan, serta tidak diberi contoh teladan yang boleh ditiru. Gejala ini wajar diperbaiki dan dihindari, bagi menjaga taraf dan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Lebih daripada bahasa yang dituturkan dengan baik dan didengar, bahasa Melayu memerlukan kepustakaan ilmu yang luas. Dalam hubungan inilah cabaran Timbalan Perdana Menteri itu dilontarkan ke tengah gelanggang ilmuwan.

Menurut perangkaan Perpustakaan Negara Malaysia, kebelakangan ini jumlah buku judul baru yang diterbitkan di Malaysia ialah antara 8,000 hingga 10,000 judul setahun, mengalami tahun pasang-surutnya. Jumlah ini meliputi semua buku untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa serta buku ilmiah dan bacaan umum. Daripada jumlah itu, jumlah buku ilmiah bermutu tinggi amat kecil bilangannya. Dalam penilaian memilih buku ilmiah terbaik, termasuk Anugerah Akademik Negara yang dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi, saingan karya ilmiah terbaik amat kecil dan tidak pernah sengit.

Jumlah penerbitan buku negara ini sewajarnya mencapai panduan umum sejagat, iaitu sekurang-kurangnya pada nisbah 0.01 peratus daripada jumlah penduduk. Dengan penduduk Malaysia dianggarkan 26 juta jiwa, maka judul buku baru setahun wajar mencapai 26,000 judul, bukan 10,000 judul seperti sekarang.

Dari manakah jumlah 26,000 judul baru itu, yang setengah daripadanya patut menjadi buku ilmiah boleh diperoleh? Dengan ada 20

IPTA, puluhan pusat penyelidikan dan pengembangan bidang tertentu dan ratusan IPTS peringkat kolej, kolej universiti dan universiti, jumlah 26,000 judul baru itu boleh dicapai sekiranya kebanyakan staf akademik dan penyelidik menerbitkan karya ilmiah mereka, setiap satu atau dua tahun. Malangnya kebanyakan mereka tidak menulis!

Gejala ini sewajarnya menggerakkan suatu kebangkitan kolektif bagi menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri itu. Sepatutnya pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, penerbit universiti, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), pusat penyelidikan dan pengembangan bidang tertentu, penerbit swasta dan pihak berkepentingan lain, segera duduk semeja menentukan strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi menerbitkan karya ilmiah bermutu tinggi. Sebelum tahun ini berakhir, pelan strategik penerbitan ilmiah wajar diumumkan untuk pengetahuan ramai.

Hal ini penting kerana massa perlu melihat kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi. Jika selama ini mereka boleh membaca buku ilmiah mengenai pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Inggeris, maka hasil pelan strategik itu nanti mestilah membolehkan mereka membaca pelbagai buku ilmiah pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Melayu.

DBP sering mencanangkan bahawa mereka sudah mencipta kira-kira sejuta istilah pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Melayu. Akan tetapi peristilahan saja belum mencukupi bagi menyuburkan penulisan dan penerbitan karya ilmiah bermutu tinggi. Justeru, pelan strategiknya wajar turut mengambil kira latihan yang sistematik dan tekal dalam usaha memberi kursus bahasa dan laras bahasa, melatih penulis, editor umum dan editor bidang, pereka, ilustrator dan sebagainya.

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sedang berada dalam kedudukan genting dan mencemaskan. Kerajaan melalui Timbalan Perdana Menteri bukan saja melontarkan cabaran, malah memberi 'peluang kedua' untuk bahasa Melayu bangkit mengisi kepustakaan ilmu moden. Harapannya, karya ilmiah bermutu tinggi terus menjadi petunjuk kepada pengembangan tamadun dan dinamika bahasa Melayu itu sendiri.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara)

Bedah Buku


Bulan ini saya membaca 3 buku yang saya kira bagus untuk dibaca dan diteliti. Pertama buku Minda Lestari tulisan Zaini Ujang. Buku ini menampilkan koleksi tulisan beliau didalam berita harian ia mengupas banyak isu berkaitan pengurusan alam sekitar terutama sekali berkaitan dengan pengurusan air negara, falsafah dan dasar alam sekitar. Ia juga mengajak masyarakat untuk berfikir dan mengamalkan gaya hidup lestari.

Buku kedua yang dibaca ialah tulisan Dr. Jeniri Amir buku terbitan DBP berjudul Bahasa Negara dan Bangsa. Buku ini mengupas topik – topik berkisar pemerkasaan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan. Nasib bahasa melayu semakin terpinggir, kewujudan golongan yang disebut sebagai ‘minda tertawan’ kerana menyangka bahasa Inggeris sahaja membawa kemajuan perlu dibenteras di negara ini. Selain itu, beliau juga cuba menyarankan beberapa langkah pengukuhan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa pencetus perpaduan dan bahasa ilmu, sains dan teknologi.

Buku ketiga berjudul International Environmental Risk Management, ISO 14000 and the Systems Approach, atau dalam bahasa melayu sebagai Pengurusan Risiko Alam Sekitar Antarabangsa; ISO 14000 dan Sistem – Sistem Pendekatan. Buku ini cuba memperihalkan bagaimana pengurusan risiko alam sekitar seperti tumpahan minyak, sisa toksik dan bahan berbahaya, letupan, pelepasan gas dan asap industri mampu dikawal secara sistematik dengan menggunakan kedah Sistem Pengurusan Alam Sekitar (Environmental Management System). Ini kerana pendekatan secara perundangan dengan memperketatkan had pelepasan bahan pencemar dilihat masih tidak mampu meningkatkan kualiti pengurusan alam sekitar. Bahkan ada yang cuba memanipulasi dengan pelbagai helah dan cara. Penggunaan ISO 14000 dengan gabungan beberapa pendekatan lain bagi mengurangkan risiko alam sekitar adalah salah satu langkah terbaik yang boleh dilaksanakan. Buku ini juga menampilkan beberapa contoh pengurusan risiko alam sekitar yang berjaya diimplementasi dengan baik di beberapa negara oleh syarikat – syarikat antarabangsa.

Ada beberapa buah buku masih tertangguh untuk dibaca kerana kesibukan kerja yang tidak dapat dielakan antaranya ialah :

Falsafah sains dari persepektif Islam
Iskandar atau Zulkarnain
Yakjuj & Makjuj

Merancang Kejayaan


KEJAYAAN atau mencapai sesuatu yang dinginkan merupakan buruan setiap manusia. Lawan kepada KEJAYAAN adalah KEGAGALAN. Matlamat yang jelas dalam kehidupan mampu mendorong kita ke arah KEJAYAAN yang diinginkan. Antara ciri – ciri penting bagi orang yang berjaya adalah mereka yang bijak ‘merancang’ apa yang ingin dicapai dalam kehidupan. Persoalanya bagaimana ingin merancang untuk berjaya ?

Banyak tokoh – tokoh perniagaan yang berjaya, ahli koporat, jurutera, professor, motivator dan pemikir mempunyai satu formula yang sama. Formula pertama adalah dengan menulis matlamat yang ingin dicapai dengan jelas. Di turuti dengan langkah – langkah strategik untuk mencapai matlamat.

Ada orang yang berangan – angan untuk mencapai KEJAYAAN tapi tidak ‘merancang’ sesuatu untuk mencapainya. Akhirnya dia terus tengelam dalam angan – angan. Orang lain telah mencipta KEJAYAAN. Dia terus mencipta KEGAGALAN.

Dalam konteks Islam, merancang sesuatu amat penting. Ia terserlah dalam aspek peperangan, pentadbiran, perniagaan dan hubungan luar. Untuk mencipta sesuatu yang luar biasa, kita perlu melakukan usaha yang luar biasa hebatnya, dan kita perlu keluar dari kebiasaan.

Bencana Pemusnah Kelestarian Alam


Bencana Pemusnah Kelestarian Alam

Bagaikan tiada apa yang tinggal lagi.

Rumah – rumah hancur musnah, bangunan runtuh, jalan raya retak terbelah, manusia digilis di perut bumi, tertimbus, dihempap batu – batu bangunan, lanskap fizikal kampung, bandar dan didesa punah dalam pandangan mata. Gegaran dan gempa bumi tidak mengenal anak kecil, wanita, orang tua , pemimpin besar atau siapa sahaja.

Begitulah gambaran kemarahan alam terhadap penduduk bumi pasti ada sebab mengapa alam begitu marah dengan penduduk bumi ini. Menjadi iktibar bagi kita yang masih diberi nikmat yang besar. Juga menjadi peringatan kepada kita agar menjaga tatatertib dan kelakuan di atas muka bumi.

Manusia sering sombong dengan kuasa dan pencapaiannya. Sesungguhnya alam ini masih menanti untuk melanyak manusia lagi pada bila – bila masa. Benarlah apa yang di maksudkan oleh shahnon dalam revolusi yang ditangguhkan.

Ya Allah Ampunkan Dosa – Dosa Kami. Jauhkan Kami Dari Azab Siksa Di Dunia Dan Akhirat

Satu Malaysia Satu Bahasa


Bulan Bahasa Kebangsaan tengah berlangsung ketika ini. Ia membawa aspirasi besar untuk rakyat malaysia memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ini bererti bahasa melayu menjadi bahasa kebangsaan kepada semua rakyat berlainan bangsa di Malaysia. Ini termasuklah cina, india, iban, kadazan, bajau, penan, murut dan lain – lain bangsa yang menjadi warganegara.

Kini tahap pencemaran bahasa semakin terserlah didalam papan iklan, iklan TV, dan penggunaan bahasa oleh penyampai radio dan tv di negara kita. Dalam kalangan pencinta dan pejuang bahasa mereka menginginkan bahasa melayu dipertingkatkan dari segi laras, leksis, kota kasa, istilah dan tatabahasa. Ada yang berpandangan bahawa bahasa melayu hanya penting diperingkat SPM sahaja. Selepas itu bahasa melayu dilihat terus dicampak ke tepi. Bahasa inggeris digunakan secara aktif diperingkat pengajian tinggi.

Malahan disesetengah sektor awam, dalam konteks penulisan garis panduan teknikal bahasa inggeris terus digunakan. Nampaknya fenomena ‘minda tertawan’ dengan bahasa inggeris ini masih berlarutan dan akan berterusan sama ada diperingkat tinggi kakitangan awam dan juga para sarjana di peringkat pengajian tinggi. Hal ini melihatkan suatu paradoks dan kejanggalan.

Pada hemat saya, bahasa melayu perlu dimartabatkan sebagai bahasa penyampai pemikiran masyarakat malaysia. Kita sering mendengar orang melayu yang masih mencampur adukan bahasa melayu dan bahasa inggeris dalam perbualan, pengucapan dan percakapan. Kita masih mendengar masih terlalu ramai mereka dari bangsa – bangsa lain selain melayu tidak fasih berbahasa melayu walau sudah hampir 45 tahun hidup di negara berbahasa melayu. Bahasa melayu yang digunakan masih ditahap budak sekolah tadika yang baharu belajar membaca dan menulis.

Jesteru itu saya menyeru kepada rakan – rakan di semua peringkat untuk meneruskan ketekalan dalam memperjuangkan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi, ilmu, sains dan teknologi. Bahasa melayu merupakan aset yang amat bernilai. Rata – rata bangsa yang menggunakan bahasa asal mereka adalah bangsa yang berjaya.