Satu Malaysia Satu Bahasa


Bulan Bahasa Kebangsaan tengah berlangsung ketika ini. Ia membawa aspirasi besar untuk rakyat malaysia memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ini bererti bahasa melayu menjadi bahasa kebangsaan kepada semua rakyat berlainan bangsa di Malaysia. Ini termasuklah cina, india, iban, kadazan, bajau, penan, murut dan lain – lain bangsa yang menjadi warganegara.

Kini tahap pencemaran bahasa semakin terserlah didalam papan iklan, iklan TV, dan penggunaan bahasa oleh penyampai radio dan tv di negara kita. Dalam kalangan pencinta dan pejuang bahasa mereka menginginkan bahasa melayu dipertingkatkan dari segi laras, leksis, kota kasa, istilah dan tatabahasa. Ada yang berpandangan bahawa bahasa melayu hanya penting diperingkat SPM sahaja. Selepas itu bahasa melayu dilihat terus dicampak ke tepi. Bahasa inggeris digunakan secara aktif diperingkat pengajian tinggi.

Malahan disesetengah sektor awam, dalam konteks penulisan garis panduan teknikal bahasa inggeris terus digunakan. Nampaknya fenomena ‘minda tertawan’ dengan bahasa inggeris ini masih berlarutan dan akan berterusan sama ada diperingkat tinggi kakitangan awam dan juga para sarjana di peringkat pengajian tinggi. Hal ini melihatkan suatu paradoks dan kejanggalan.

Pada hemat saya, bahasa melayu perlu dimartabatkan sebagai bahasa penyampai pemikiran masyarakat malaysia. Kita sering mendengar orang melayu yang masih mencampur adukan bahasa melayu dan bahasa inggeris dalam perbualan, pengucapan dan percakapan. Kita masih mendengar masih terlalu ramai mereka dari bangsa – bangsa lain selain melayu tidak fasih berbahasa melayu walau sudah hampir 45 tahun hidup di negara berbahasa melayu. Bahasa melayu yang digunakan masih ditahap budak sekolah tadika yang baharu belajar membaca dan menulis.

Jesteru itu saya menyeru kepada rakan – rakan di semua peringkat untuk meneruskan ketekalan dalam memperjuangkan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi, ilmu, sains dan teknologi. Bahasa melayu merupakan aset yang amat bernilai. Rata – rata bangsa yang menggunakan bahasa asal mereka adalah bangsa yang berjaya.

No comments: