Ribut Pasir Di Malaysia


‘Ribut Pasir di Malaysia’ sejak akhir – akhir ini timbul isu pencemaran yang berlaku disebabkan oleh aktiviti perlombongan pasir sungai. Isu mengenai pengambilan atau perlombongan pasir ini memang sudah berlaku sejak dahulu lagi. Samada ia dilakukan secara haram atau tidak ia banyak memberi implikasi yang besar terhadap alam sekitar. Kebanyakan pasir sungai yang diambil adalah untuk tujuan pembangunaan dan bahan binaan. Pengambilan pasir secara berleluasa di kawasan dasar sungai sudah pasti akan memberi implikasi yang buruk terhadap alam sekitar. Antara kesannya adalah seperti berikut :-
1. Gangguan hidupan akuatik seperti ikan dan udang.
2. Kualiti air terjejas dengan peningkatan pepejal terampai.
3. Hakisan tanah pinggir sungai
4. Perubahan bentuk morfologi sungai.
5. Perubahan arah aliran sungai.
Oleh itu, bagi mengawal aktiviti pengambilan pasir ini langkah – langkah yang lebih cermat haruslah diambil ini termasuklah :-
1. Mengadakan penilaian impak terhadap aktiviti tersebut kepada alam sekitar
2. Mengadakan plan pengurusan biodiversiti bagi memastikan projek ini dapat mengekalkan biodiversiti dikawasan tersebut daripada dimusnahkan.
3. Mengadakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar dikawasan tersebut agar setiap aktiviti yang dilakukan dapat dilakukan dengan cara dan kaedah terbaik bagi mengurangkan impak alam sekitar.
4. Penguatkuasaan terhadap projek perlombongan pasir ini hendaklah dilaksanakan dengan cara dan kaedah yang lebih canggih dan bersistem. Penggunaan sistem GIS dan kawalan jarak penampan dengan menggunakan sensor yang canggih harus diaplikasikan.
Isu – isu alam sekitar seharusnya tidak dijadikan isu sensasi politik ia harus ditangani secara pentadbiran,teknikal dan penguatkuasaan yang lebih baik.

Alam Sekitar Vs Pemaju Yang Bebal



Menyebut tentang Langkawi pastinya tergambar di fikiran kita,tentang sebuah pulau yang indah dan terdiri dari gugusan pulau – pulau berbukit yang amat cantik dan menakjubkan. Keindahan pulau ini menjadi perhatian seluruh dunia. Pada minggu lepas saya telah mengetuai pasukan saya untuk memantau perkembangan projek – projek pembangunan di Langkawi. Pemantauan ini diadakan untuk melihat impak daripada aktiviti projek terhadap kualiti alam sekitar. Berdasarkan pengamatan saya ternyata masih terdapat kelemahan, kecuaian, keculasan dan sikap sambil lewa serta sikap tidak ingin ambil tahu oleh pemaju bagi menguruskan aktiviti projek agar tidak mencemari alam sekitar. Sikap seperti inilah yang agak sukar untuk diatasi. Pengurus projek atau Bos dalam sesebuah syarikat tidak seharusnya mengambil ringan tentang hal ini. Aset yang paling bernilai di pulau Langkawi ialah sumber alam semulajadinya. Keasliaan alam semulajadi di Pulau ini perlu dipulihara dengan cermat dan teliti. Keuntungan yang dicari hanya bermakna dalam tempoh masa yang singkat, manakala kemusnahan alam sekitar akan menambah derita selama – lamanya kepada diri dan anak – anak si pemaju yang bebal itu sendiri!

Sudut Pandang Pengurusan Alam Sekitar








Istilah PENGURUSAN ALAM SEKITAR pada masa kini dilihat hanya terbatas dalam ruang lingkup pengurusan sumber – sumber alam semata - mata. Dalam kebanyakan hal kita sering gagal mengaitkan hubungan alam sekitar dengan factor – factor lain yang banyak merubah keadaan alam sekitar kita. Polisi politik, factor ekonomi dan factor kegiatan social adalah factor yang banyak mempengaruhi alam sekitar. Oleh itu bagi melestarikan pembangunan dunia pada masa ini PENGURUSAN ALAM SEKITAR haruslah dilihat dari pelbagai sudut, negara – negara maju dan negara – negara membangun harus bersedia merubah polisi, melihat untung rugi ekonomi dalam persepektif kelestarian dan membina kegiatan social berasaskan prinsip keadilan sosial – alam sekitar.