
Ini disebabkan oleh beberapa faktor :
2. Tiada usaha yang dijalankan bagi mengutip sisa buangan terjadual dari rumah ke rumah dijalankan.
3. Kurangnya kesedaran masyarakat mengenai buangan terjadual yang terhasil dari rumah.
ketika ini kita sedang menyaksikan gejala ironis, kemarau intelektual di tengah banjir graduan. Rupa - rupanya yang namanya intelektual adalah dunia idea, dialog dan wacana yang kritis, cerdas dan bebas...




Ilmuwan harus sahut cabaran hasilkan karya ilmiah bermutu tinggi untuk rujukan
CABARAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar ilmuwan Malaysia menghasilkan karya ilmiah bermutu tinggi (Berita Harian, 7 Oktober), kena pada masa dan wajar disambut. Bola kini berada di gelanggang ribuan ilmuwan yang berada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta, institusi penyelidikan dan pengembangan, serta yang bergerak sendirian.
Kuantiti dan kualiti penerbitan ilmiah dan penerbitan untuk bacaan umum di sesebuah negara selalunya dijadikan petunjuk tamadun sesuatu bangsa. Masyarakat hari ini tidak saja 'melihat' tamadun masa lampau berdasarkan tinggalan sejarah. Memang masyarakat hari ini akur wujudnya tamadun Romawi kerana sisa Roman Forum dan Colosseum; tamadun India kerana seni bina di Lembah Indus atas pendewaan Hindu, Buddha dan Jain; tamadun China kerana Tembok Besar; tamadun Mesir kerana Piramid dan tamadun Maya kerana Chichen Itza di Semenanjung Yucatan. Akan tetapi yang lebih penting daripada itu ialah tinggalan dalam bentuk teks persuratan dalam pelbagai jenis tulisan, termasuk pictographs dan ideograms.
Cabaran Timbalan Perdana Menteri itu ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 tentulah ada kaitannya dengan karya ilmiah bermutu tinggi dalam bahasa Melayu. Pastilah beliau secara yakin menyedari tamadun rantau ini amnya dan Malaysia khasnya, yang berpaksi pada bahasa dan kebudayaan Melayu. Mutakhir juga beliau sering berbicara mengenai usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, termasuk menghapuskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012. Dapat juga diduga beliau meyakini bahawa bahasa Melayu akan menjadi lebih dinamik, relevan dan bermartabat sekiranya menjadi bahasa ilmu tinggi. Dalam konteks inilah cabaran itu dizahirkan dan sewajarnya disambut oleh ilmuwan. Ciri bahasa moden, termasuk bahasa Melayu, ialah kemampuannya untuk menjadi bahasa ilmu.
Ada empat elemen yang biasanya dikaitkan dengan bahasa. Elemen itu ialah bahasa yang didengar, bahasa yang dituturkan, bahasa yang ditulis dan bahasa yang dibaca. Ketika zaman primitif, dan pada ketika sesuatu bahasa dituturkan oleh kelompok terpencil, hanya dua elemen bahasa saja yang hidup � iaitu bahasa dituturkan dan bahasa yang didengar. Keperluan ilmu pengetahuan yang lebih canggih, yang mendorong kemunculan sesuatu tamadun, memerlukan dua elemen bahasa lagi iaitu bahasa yang ditulis, dan bahasa dibaca.
Tulisan kuno, pictograph, ideograms, rumi, jawi dan sebagainya sudah mentransformasi sesuatu idea yang abstrak dan berada dalam dunia fikiran, menjelma sebagai aksara dan wacana yang boleh dibaca dan difahami. Pangkal tamadun memerlukan pemikir yang boleh mencipta aksara, guru yang mengajar dan murid yang mempelajarinya. Aksara dan wacana sudah berperanan meluahkan sesuatu catatan atau pemikiran yang mudah, hinggalah kepada penzahiran idea serta pemikiran yang kompleks. Demikianlah proses tamadun itu berkembang dan menjadi perkasa.
Tamadun Malaysia kini terus memerlukan keempat-empat elemen itu bagi bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa kebangsaan. Sehubungan itu, mutu bahasa Melayu yang didengar, dituturkan, ditulis dan dibaca mestilah memperlihatkan peningkatan. Hal ini, lebih mendesak dewasa ini, ketika perkembangan bahasa Melayu sedang menghadapi ancaman. Akan tetapi kesungguhan pihak kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu mutakhir ini harus juga dilihat sebagai suatu peluang keemasan, terutama oleh institusi yang dipertanggungjawabkan mengembangkan bahasa Melayu.
Sebelum membicarakan aspek penerbitan dalam bahasa Melayu yang menjadi petunjuk tamadun, yakni merujuk bahasa Melayu yang ditulis dan yang dibaca, wajar juga disentuh mengenai bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar. Seperti dinyatakan, bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar, terutama dalam situasi rasmi, wajar memperlihatkan peningkatan mutu. Harapan ini sejajar dengar taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan.
Akan tetapi mutakhir ini, lebih-lebih lagi dalam situasi tidak rasmi, mutu bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar, amatlah mengecewakan. Timbullah istilah 'bahasa rojak' dan sebagainya. 'Bahasa rojak' ini turut dipindahkan ke atas pentas, di rostrum ucapan dan diudarakan dalam penyiaran elektronik seperti radio dan televisyen. Akibatnya, bahasa Melayu tidak ditampilkan dengan citra yang baik dan yang sepatutnya. 'Bahasa rojak' terjadi kerana kelemahan penuturnya menguasai kosa kata, diksi dan aturan berbahasa dengan baik, bukan kelemahan bahasa Melayu itu sendiri.
Bahasa Melayu juga kerap kali dipinggirkan dalam ucapan atau acara yang sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan ini. Tokoh pemimpin pernah melakukannya. Agensi kerajaan pernah melakukannya. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pernah melakukannya. Pihak swasta pula memang tampaknya agak tidak menghiraukan bahasa kebangsaan kerana kurangnya peraturan serta pengawalan, serta tidak diberi contoh teladan yang boleh ditiru. Gejala ini wajar diperbaiki dan dihindari, bagi menjaga taraf dan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Lebih daripada bahasa yang dituturkan dengan baik dan didengar, bahasa Melayu memerlukan kepustakaan ilmu yang luas. Dalam hubungan inilah cabaran Timbalan Perdana Menteri itu dilontarkan ke tengah gelanggang ilmuwan.