Malaysia dan pengisian kemerdekaan penuh makna.


Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun. Tidak dapat dinafikan kestabilan politik dan keharmonian hidup masyarakat Malaysia yang multietnik adalah faktor terpenting dalam memacu perkembangan ekonomi negara.

Dalam tempoh 52 tahun ini negara telah berjaya menciptakan pembangunan infrastruktur yang cukup mengkagumkan. Tahniah dan terima kasih kepada para pejuang Agama Islam, bangsa dan negara ini yang telah memperjuangkan kemerdekaan dan membangunakan negara dengan baik sekali !!

Syukur kehadrat Allah swt yang tidak terhingga kerana Allah melindungi rakyat dan pemimpin kita dari segala kemudaratan serta bebas daripada belenggu penjajahan. Malah negara kita jauh sekali dari penindasan kuasa asing seperti mana yang berlaku terhadap umat Islam di Gaza.

Mereka ditindas, didera, dibom, diserang dan diusir seperti binatang oleh Yahudi – Zionis yang berhati durjana. Sebelum ini Umat Islam di Bosnia juga pernah mengalami penghapusan etnik secara besar – besaran. Darah – darah sembelihan manusia mengalir di sana – sini. Ibu yang tengah mengandung disembeli perutnya. Anak kecil kehilangan kedua kaki. Bayi baharu dilahirkan mati dalam rempuhan peluru berpandu.

Syukur kita panjatkan ke hadrat Allah dan kita memohon di jauhkan dari segala penindasan kuasa asing yang boleh menggugat keamanan negara ini.

Sejak pertengahan tahun 1980an hingga tahun pertengahan tahun 1990an Malaysia telah mengalami pembangunan pesat dalam sektor perdagangan dan perindustrian. Pelbagai dasar telah diwujudkan termasuklah dasar penswastaan negara. Ia sedikit sebanyak memberikan kesan positif dalam memacu perkembangan sektor ekonomi negara. Kesanya ramai pelabur asing melabur dalam negara dan Malaysia muncul sebagai antara kuasa ekonomi di rantau asia.

Dalam konteks pendidikan pertumbuhan pesat kampus dan universiti baru menyerlahkan kemampuan negara sebagai sebuah negara yang cemerlang dalam bidang pendidikan. Kita menawarkan pelbagai bidang pengajian yang berasaskan teknologi tinggi.

Sungguhpun begitu, sebagai rakyat yang cintakan negara kita perlu bersikap jujur dan menyatakan kebenaran. Kita wajar mempunyai sikap kritis dalam menilai setiap aktiviti pembangunan yang dilakukan dinegara kita. Sikap kritis yang ada pada setiap rakyat akan menjadikan negara kita lebih maju. Pemimpin yang bersedia di kritik dan menerima kritikan secara konstruktif adalah pemimpin yang berjiwa besar.

Dalam menilai pembangunan kita tidak seharusnya melihat pembangunan dalam konteks material semata – mata. Paling penting perlu dilihat ialah dalam konteks pembangunan ’sahsiah rakyat’ yang menjadi agen utama dalam membangunkan negara ini.

Selama 52 tahun merdeka kita wajar bertanya apakah indeks prestasi sahsiah rakyat Malaysia ?

Antara persoalan lain yang perlu kita lontarkan ialah :-

Sejauh mana akhlak rakyatnya ?
Sikap golongan muda terhadap golongan tua ?
Amalan terhadap alam sekitar masyarakat malaysia?
Sikap pemanduan rakyat Malaysia
Pembasmian golongan penagih dadah ?
Budaya ilmu masyarakat Malaysia sudahkah ia berjaya ?

Pada hemat saya ia memerlukan suatu jawapan yang panjang untuk difikirkan bersama. Kita mungkin telah merdeka dari sudut kemunduran dari segala kemudahan bekalan asas untuk kehidupan tapi kita masih terbelenggu dalam penjajahan mental, sikap, pemikiran, psikologi, hiburan, bahasa dan budaya asing yang mengelirukan.

Kerana kita bukan sekadar mahu membangunkan negara ini. Tetapi kita mempunyai misi dan visi yang besar iaitu untuk membina suatu tamadun manusia yang kuat, tahan, ampuh dan beriman kepada Allah swt.

Dalam konteks Islam kemerdekaan yang sebenar ialah apabila kita bebas dari segala belenggu kegelapan yang memenjara hati, akal, iman dan perasaan kita. Kita memerlukan perubahan yang radikal dalam pandangan hidup kita. Memurnikan hati dengan zikir, dan mencerahkan minda dengan fikir.

Jiwa merdeka adalah jiwa yang mengalami pencerahan!

11.54 malam 31.Ogos.2009.

Puasa Terap Amalan Hidup Sederhana


Puasa Ramadhan merupakan suatu kewajipan bagi setiap umat Islam. Ia mempunyai hikmah yang tersirat dan tersurat bagi mereka yang ingin memahaminya. Ia datang dalam suatu pakej yang menarik untuk kita semua. Puasa telah dibuktikan secara saintifik memberi kebaikan kepada tubuh badan manusia. Puasa mendidik sifat sabar dan sederhana di dalam diri. Berjimat cermat, sederhana dalam pembelian, bersedekah dan menunaikan ibadah zakat.

Mengajar hati dan fikiran kita untuk sentiasa mengamalkan kesederhana dalam kehidupan ini. Amalan ini dapat membersihkan hati dari bersikap tamak, haloba, kikir dan kedekut. Renungan terhadap kemusnahan alam yang berlaku juga di sebabkan sifat manusia yang mementingkan hawa nafsu mengaut dan memunggah khazanah alam dengan rakus dan haloba. Puasa sebulan mendidik manusia memahami interaksinya dengan alam ini. Di dalam dunia ini ada yang perlu di hormati, ada yang perlu di dahulukan, ada yang perlu ditinggalkan dan ada yang perlu dipulihkan.

Tarbiyah Ramadhan mengajak manusia menanam sikap kesederhanaan. Semoga kita menjadi insan yang sentiasa bersederhana di dalam hidup dan mencapai ketaqwaan yang sebenar.

Ramadhan yang berlalu


Hari ini 4 Ramadhan 2009, teringat aku tentang arwah Bapa apabila tiba bulan Ramadhan. Arwah cukup sibuk dengan aktiviti di suraunya. Kami akan berbuka puasa bersama, solat maghrib berjemaah di rumah. Selepas sahaja solat maghrib arwah akan bergegas ke suraunya di kg kuala laut. Bulan ramadhan adalah bulan paling ceria baginya. Selepas sahaja sahur arwah bapa akan ke masjid untuk melaungkan azan subuh. Orangnya sentiasa berjiwa besar dalam semua keadaan. Moga Allah tempatkan arwah bapa dikalangan orang – orang yang Soleh.

Berdamai dengan alam


Alam ini akan terus berdamai, andai kita tidak melakukan kedurjanaan terhadapnya. Kedamaian alam sebeginilah adalah keinginan pada semua insan.

Semoga Ramadhan yang akan kita tempuhi memberi ketenangan kepada kita. Alam ini semakin tua, wabak penyakit, taufan, gempa bumi, tsunami dan kepanasan melampau memberi isyarat kepada manusia untuk sedar dan insaf.