Jalan Taubat Terbuka

Oleh: DR. SIDEK BABA

SETIAP manusia biasa melakukan dosa. Para remaja juga melakukan dosa. Ada yang sifatnya dosa besar dan ada yang bentuknya dosa kecil. Sifat manusia itu ialah nisyan atau lupa dan ghaflah atau lalai. Di peringkat umur remaja kelalaian dan kelupaan lebih ketara. Mereka perlu diingatkan selalu. Kadang-kadang leteran juga berlaku. Kelemahan-kelemahan ini menyebabkan remaja silap dan salah. Kelupaan menyebabkan remaja melanggar pedoman Allah. Kelalaian menyebabkan remaja melampaui batas.

Mengulangi melakukan dosa ia ibarat titik-titik hitam di hati. Terlalu banyak titik hitam menyebabkan warna hati bertukar. Secara rohaniahnya, titik-titik hitam yang tidak dibersihkan akan menyebabkan lebih banyak kelupaan dan kelalaian. Ia boleh mendorong ke arah tabiat keji dan mungkar. Hati remaja diibaratkan seperti cermin. Cermin yang baik ialah cermin yang ada kilauan. Cermin yang jernih memantulkan imej wajah yang jernih. Bila cermin terkandung banyak titik hitam, titik itu ada melitupi cermin dan cermin akan kehilangan daya pantulan. Cermin yang hilang daya pantulan ibarat hati yang hilang sensitivitinya terhadap perkara baik dan mungkar. Bila hati tidak lagi ada daya pantulan remaja akan mengalami penyakit mati rasa. Penyakit mati rasa menyebabkan perlanggaran dosa dianggap perkara biasa. Melakukan kesalahan dan kemungkaran dianggap lazim. Dan akhirnya apabila dosa terus dilakukan cermin hati akan dilitupi ibarat hijab menutup wajah.

Sifat ibadah khusus dalam Islam dilakukan berulang-ulang. Tujuan dihantarkan Nabi dan Rasul pun antaranya ialah membawa khabar gembira dan peringatan. Perulangan dalam ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, zikir dan lain adalah proses tazkiah an nafs iaitu latihan rohaniah untuk membentuk nilai-nilai baik dan murni supaya jiwa kehambaan yang tinggi wujud pada diri insan. Jiwa kehambaan yang membawa sifat patuh, taat, akur dan tunduk boleh membentuk watak remaja menjadi orang-orang yang sentiasa berfikir untuk mendapat reda Allah.

Manifestasi ibadah khusus boleh menjadi jalur pengembangan maksud ibadah yang lebih luas. Ketundukan kepada pedoman Allah iaitu bersifat jujur kerana-Nya, ikhlas kerana-Nya, amanah kerana-Nya, adil kerana-Nya, tulus dan telus kerana-Nya membimbing manusia melihat seluruh pekerti dalam hidupnya terkandung sifat-sifat rohaniah yang tinggi. Bercakap benar dan tidak berdusta adalah gambaran sifat rohaniah yang tinggi. Memimpin dengan amanah dan jujur adalah gambaran sifat orang-orang yang beriman. Takut akan azab Allah dan insaf keTuhanan yang tinggi God-conciousness adalah gambaran orang-orang yang berjiwa muttaqin. Kualiti ini apabila menjadi amalan remaja ia akan berhikmah atau berpulang kembali kepada dirinya atau kepada orang lain.

Seseorang remaja yang jujur dan amanah, bila sifat itu diamalkan dalam hidupnya, tidak saja kebaikan itu dirasakannya tetapi kebaikan itu juga dirasakan oleh orang lain. Seseorang remaja yang cintakan ilmu, kebaikan ilmu itu tidak saja memberikan suluh kepada jalan hidupnya tetapi akan menerangi orang lain. Seseorang remaja, sabar dalam menghadapi ragam hidup, kesabarannya itu akan menyebabkannya terelak daripada kegelojohan kerana kesabaran adalah mutiara kebijaksanaan.

Mengapa remaja melakukan dosa?
Pertama, remaja mungkin tidak memiliki kesedaran rohaniah yang meyakini bahawa Allah itu Maha Perkasa dan Maha Mengetahui. Konsep berTuhan hanya sekadar percaya. Percaya yang tidak ditunjangi oleh ilmu boleh berubah-ubah kadang-kadang berada dalam kesamaran. Kesamaran boleh menyebabkan remaja ragu-ragu. Ragu-ragu dalam keyakinan dan pendirian boleh menyebabkan perlanggaran. Perlanggaran dalam amal dan perbuatan boleh menyebabkan dosa.

Kedua, remaja tidak dititipkan ilmu-ilmu yang berguna dan bermanfaat dan tidak mempunyai kesempatan yang berkesan untuk melalui proses didik dan hadir dalam persekitaran yang membantu ke arah pembentukan akhlak yang baik. Akibatnya remaja tidak memiliki perasaan peka nilai. Ia menyebabkan remaja tidak menjadikan nilai-nilai murni sebagai jalan hidup keremajaan sebaliknya menjadikan naluri dan nafsu sebagai jalur memenuhi niat dan hajat.
Ketiga, ramai remaja yang tidak memiliki qudwah atau contoh yang baik dan cemerlang dalam hidup. Ia menyebabkan remaja kekosongan dalam mencari contoh yang fitrah untuk diteladani dan diikuti. Atas dorongan naluri dan nafsu-nafsi remaja boleh terdorong untuk membina idola dan diva yang akhirnya menjerumuskan remaja kepada ‘pemujaan’ terhadap selebriti seperti artis, pelakon dan juga personaliti-personaliti lain.

Keempat, sesetengah remaja tidak ada rasa berdosa terhadap apa dan terhadap sesiapa pun. Dorongan naluri dijadikan pedoman dan gesaan nafsu dijadikan turutan. Akhirnya dosa-dosa kecil berlaku secara berterusan dan dosa besar semacam suatu kebiasaan. Dalam Islam ruang untuk bertaubat dan mohon keampunan sentiasa terbuka. Sebab itu para remaja yang insaf tentang hubungannya dengan Allah akan sentiasa melakukan istighfar bila berlaku sesuatu kesilapan, merenung ke dalam diri, mencari sebab-musabab kejadian dan berazam tidak mengulangi lagi.

Kesilapan yang dilakukan oleh remaja tidak bermakna itulah akhirnya hidup. Dalam sejarah sahabat-sahabat Nabi baik di Mekah mahupun di Madinah, ramai yang melakukan pelbagai dosa kecil dan besar tetapi apabila keinsafan timbul, hidayah diberikan dan kembali kepada diri yang fitrah bertukar menjadi pejuang-pejuang di barisan depan Islam. Saidina Omar, sebagai contoh, pada zaman jahiliahnya melakukan pembunuhan anak perempuan tetapi bila mendengar ayat-ayat Allah digemakan, timbul keinsafan yang amat mendalam untuk kembali kepada fitrah. Dan apabila menerima akidah tauhid, beliau menjadi benteng utama perjuangan Islam yang amat digeruni oleh musuh.

Di Malaysia, remaja Melayu dibesarkan dalam keluarga orang-orang Islam. Paling tidak secara keturunan mereka adalah orang-orang Islam. Harus ada didikan di peringkat keluarga, sekolah dan masyarakat tentang kesedaran rasa bersalah dan rasa berdosa di kalangan mereka. Kesedaran ini amat penting wujud dalam diri remaja supaya ada perisai dalam diri remaja untuk mengenal dan membentengi diri supaya mengetahui yang salah itu salah dan yang benar itu tetap benar.

Remaja Islam harus insaf bahawa kumpulan mereka ini sedang dijadikan sasaran oleh musuh-musuh umat khususnya para pendakwah yang menguasai media cetak dan elektronik, melabur dengan kos yang tinggi terhadap acara-acara yang bersifat festival dan hiburan yang berterusan dengan harapan apabila para remajanya asyik dengan hiburan dan festival yang melampau ia akan memesongkan perhatian remaja untuk cemerlang dalam bidang ilmu dan pendidikan. Bila hiburan, muzik, festival dan bahan-bahan lucah dalam internet menjadi ketagihan, para remaja mula alpa tentang tanggungjawab kepada Allah dan akhirnya mudah terjebak dalam perangkap dosa yang kadang-kadang menyebabkan remaja hilang jalan kembali.

Oleh itu kembali kepada Allah ialah dengan melakukan taubat. Melakukan taubat mesti ada keikhlasan dan kejujuran pada diri. Keikhlasan yang diikuti untuk tidak mengulanginya lagi bakal memimpin remaja ke jalan yang direda. Dosa remaja dengan dengan remaja lain atau sesama manusia harus diselesaikan sesama manusia dan dosa remaja terhadap Allah harus langsung dengan-Nya.

Remaja yang melakukan taubat dan berazam untuk melakukan kebaikan dan amal yang bermanfaat dalam hidup, ibarat seorang anak yang lahir semula. Sebagai anak yang baru lahir, para remaja hendaklah mendedahkan diri dalam suasana dan persekitaran yang baik supaya kebaikan persekitaran boleh membantu remaja yang kekal dalam kebaikan. Sekiranya berlaku dosa kecil kembali mohon keampunan kepada Allah dan apabila amalan yang baik sebati pada diri remaja, ia akan memberikan rasa kekebalan remaja untuk menghadapi cabaran yang lebih besar. Bertaubatlah sebelum terlambat kerana Allah s.w.t. Maha penerima taubat dari hamba-Nya.

* PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

No comments: