Cabaran urus alam sekitar guna ICT


Cabaran Urus Alam Sekitar Guna ICT - Utusan malaysia 28 mei 2008
Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD


MUNGKIN ada yang tertanya-tanya bagaimana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat membantu meningkatkan kecekapan pengurusan alam sekitar di Malaysia.
Sebenarnya penggunaan ICT dalam pengurusan alam sekitar telah lama digunakan di negara-negara maju. Ia ternyata berkesan dalam mendepani pelbagai masalah alam sekitar yang semakin bertambah.

Pengurusan alam sekitar meliputi pengurusan sumber alam, perlindungan kawasan sensitif alam sekitar, pengawalan pencemaran dan pemantauan kualiti alam sekitar. Dunia hari ini amat memerlukan pengunaan teknologi yang lebih pantas dan mudah untuk meningkatkan sistem penyampaian kepada masyarakat.

Pembangunan teknologi ICT dalam pengurusan alam sekitar memberi banyak manfaat kepada agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar. Secara umumnya penggunaan ICT dalam pengurusan alam sekitar di Malaysia semakin rancak dimajukan, namun ia masih ditahap permulaan.

Penggunaan Internet misalnya boleh memudahkan urusan aduan pencemaran alam sekitar kepada agensi yang terlibat dalam penguatkuasaan alam sekitar. Pengurusan kawasan-kawasan sensitif alam sekitar di negara ini secara bersepadu perlu dimantapkan. Kawasan sensitif alam sekitar di negara ini yang kaya dengan biodiversiti merupakan warisan alam yang perlu dikekalkan. Penggunaan ICT seperti sistem maklumat geografi (Geographical Information Systems) dapat membantu dalam usaha perlindungan kawasan sensitif alam sekitar di negara ini.

Pemantauan kualiti alam sekitar secara berterusan amat penting bagi melihat sebarang perubahan yang berlaku terhadap kualiti alam sekitar di sesuatu kawasan. Penggunaan ICT adalah amat sesuai bagi memantau dan memberikan maklumat terkini mengenai status kualiti alam sekitar di sesuatu kawasan kepada orang ramai. Selain itu, pengawasan terhadap punca-punca pencemaran dari kawasan perindustrian dapat dipantau dengan lebih efektif melalui penggunaan ICT.

Isu perubahan cuaca global sejak akhir - akhir ini telah menarik minat masyarakat untuk mengetahui perkembangan cuaca semasa ditempat mereka. Penggunaan ICT dapat memberi maklumat mengenai keadaan cuaca yang bakal berlaku kepada masyarakat. Maklumat melalui Internet di kalangan rakyat khususnya para petani dan nelayan dapat membantu mereka merancang aktiviti harian. Ramalan mengenai bencana alam yang bakal melanda seperti hujan lebat, banjir dan ribut petir dapat membantu masyarakat untuk menguruskan alam dengan lebih efektif. Usaha-usaha pencegahan bagi mengelak daripada bencana yang memusnahkan harta benda dapat dirancang dengan lebih awal oleh pihak berkuasa. Pengunaan ICT dalam memberi maklumat keadaan cuaca, dapat membantu kerajaan dalam menyediakan langkah - langkah bertindak untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang berlaku. Di samping itu masyarakat dapat sama melakukan persediaan bagi menghadapinya.

Sesungguhnya penggunaan ICT dalam pengurusan alam sekitar mempunyai manfaat yang amat besar. Namun sehingga kini terdapat beberapa halangan yang menyebabkan penggunaanya belum dapat diperluaskan dalam konteks pengurusan alam sekitar. Promosi terhadap kemudahan sesuatu sistem pengurusan alam sekitar dengan menggunakan ICT tidak dilakukan secara meluas. Ini menyebabkan masyarakat kurang terdedah untuk memanfaatkanya. Akhirnya pembangunan sistem itu hanya dimanfaatkan oleh segolongan masyarakat sahaja.

Selain itu pembangunan sistem ICT dalam pengurusan alam sekitar melibatkan kos yang tinggi. Ini menyebabkan pertumbuhan aplikasi ICT dalam pengurusan alam sekitar masih ditahap yang rendah. Di kawasan zon perindustrian pula keupayaan penghantaran maklumat ke server pusat masih tidak memuaskan. Ini kerana data dan maklumat yang dihantar kadang kala mempunyai saiz yang besar, hal ini memberikan gangguan terhadap kelajuan transmisi maklumat ke server pengawasan alam sekitar pusat.

Usaha-usaha untuk meningkatkan kemudahan teknologi ICT dalam pengurusan alam sekitar perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Kekurangan tenaga pakar dalam bidang ini perlu ditampung dengan memperkayakan program pembangunan modal insan dalam bidang ini. Peningkatan tenaga pakar dalam negara boleh mengurangkan pergantungan kita terhadap teknologi daripada luar negara.

Melestari Industri Padi Negara Melalui Teknologi Mesra Alam

Melestari Industri Padi Negara Melalui Teknologi Mesra Alam- Utusan Malaysia 21 Mei 2008
Oleh
Abdul Rahman Mahmud

Keluasan ribuan hektar jelapang padi Malaysia pada masa depan, memerlukan kaedah yang lebih sistematik untuk penuaian padi dijalankan. Penggunaan jentera penuai padi dalam jumlah yang banyak mungkin diperlukan. Bahan bakar untuk jentera penuai padi perlu mengambil kira aspek alam sekitar. Penggunaan biodiesel misalnya boleh mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dan monoksida ke udara.

Bahan sampingan seperti jerami padi perlu diurus secara bijaksana, tradisi pembakaran jerami padi harus dihentikan bagi mengelakkan masalah pencemaran udara dan jerebu berlaku. Kes kemalangan jalan raya akibat jerebu pernah berlaku beberapa tahun lepas di Kedah. Ia berlaku disebabkan oleh pembakaran jerami padi secara tidak terkawal.

Pelupusan jerami padi secara kompos yang telah dimulakan oleh beberapa agensi kerajaan dan swasta perlu diperluaskan. Pelupusan jerami padi secara pengkomposan dengan menggunakan cacing bagi menghasilkan baja organik yang bermutu tinggi sesuai untuk kegunaan pertanian.
Malah insentif kepada petani yang mengusahakan kaedah ini secara serius perlu diberikan. Jerami padi dan hampas padi sebenarnya boleh juga digunakan sebagai bahan tambah dalam industri perabot dan fabrik.

Kilang pemprosesan padi perlu dinaik taraf dalam aspek penggunaan teknologi mesra alam. Sebelum ini pelbagai aduan mengenai pelepasan habuk, bunyi bising dan asap hitam dari kilang padi sering diadukan ke Jabatan Alam Sekitar.

Penempatan kilang padi di kawasan-kawasan strategik perlu dirancang. Penggunaan garis panduan penempatan dan penzonan perlu diambil kira. Konsep teknologi bersih cleaner production perlu diterapkan oleh pekilang-pekilang beras. Konsep ini cuba mengurangkan kesan pencemaran yang terhasil daripada aktiviti perkilangan dengan pengunaan teknologi kawalan pencemaran yang lebih efisien, kecekapan pemprosesan dan penggunaan semula bahan sampingan pemprosesan.

Perspektif mesra alam tidak seharusnya dilihat dalam ruang teknikal semata-mata, aspek urus tadbir perlu dimantapkan dalam memastikan kelestarian industri padi negara. Agensi pelaksana, perancang dan institusi penyelidikan perlu merangka pelan jangka panjang yang meliputi strategi dan projek yang berkesan bagi menjamin kelestarian industri padi negara.


Program peningkatan kemahiran dan pengetahuan di kalangan para petani komuniti petani perlu diadakan bagi menguruskan tanaman padi secara mesra alam. Usaha yang serius untuk memantau kualiti alam sekitar di zon penanaman padi amat diharapkan. Pemantauan kualiti udara dan air amat penting bagi melihat trend perubahan alam sekitar terhadap perkembangan aktiviti ini.

Sesungguhnya pembangunan industri padi negara mempunyai manfaat yang besar terhadap alam. Zon penanaman padi berfungsi untuk menyerap gas karbon dioksida, ini sedikit sebanyak dapat membantu terhadap permasalahan pemanasan global. Jelapang padi yang menghijau luas, saujana indah mata memandang sudah tentu mampu memikat setiap mata yang memandang khususnya para pencinta alam. Jelapang padi menyediakan suasana nyaman sesuai untuk kegiatan agro pelancongan.

Akhirnya kita akan dapat menuai seribu manfaat seandainya langkah-langkah pelestarian industri ini dapat diterapkan dengan jayanya. Berbudi pada tanah ertinya berbudi pada alam, cintai alam ini untuk kebaikan semua.