Melestari Industri Padi Negara Melalui Teknologi Mesra Alam

Melestari Industri Padi Negara Melalui Teknologi Mesra Alam- Utusan Malaysia 21 Mei 2008
Oleh
Abdul Rahman Mahmud

Keluasan ribuan hektar jelapang padi Malaysia pada masa depan, memerlukan kaedah yang lebih sistematik untuk penuaian padi dijalankan. Penggunaan jentera penuai padi dalam jumlah yang banyak mungkin diperlukan. Bahan bakar untuk jentera penuai padi perlu mengambil kira aspek alam sekitar. Penggunaan biodiesel misalnya boleh mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dan monoksida ke udara.

Bahan sampingan seperti jerami padi perlu diurus secara bijaksana, tradisi pembakaran jerami padi harus dihentikan bagi mengelakkan masalah pencemaran udara dan jerebu berlaku. Kes kemalangan jalan raya akibat jerebu pernah berlaku beberapa tahun lepas di Kedah. Ia berlaku disebabkan oleh pembakaran jerami padi secara tidak terkawal.

Pelupusan jerami padi secara kompos yang telah dimulakan oleh beberapa agensi kerajaan dan swasta perlu diperluaskan. Pelupusan jerami padi secara pengkomposan dengan menggunakan cacing bagi menghasilkan baja organik yang bermutu tinggi sesuai untuk kegunaan pertanian.
Malah insentif kepada petani yang mengusahakan kaedah ini secara serius perlu diberikan. Jerami padi dan hampas padi sebenarnya boleh juga digunakan sebagai bahan tambah dalam industri perabot dan fabrik.

Kilang pemprosesan padi perlu dinaik taraf dalam aspek penggunaan teknologi mesra alam. Sebelum ini pelbagai aduan mengenai pelepasan habuk, bunyi bising dan asap hitam dari kilang padi sering diadukan ke Jabatan Alam Sekitar.

Penempatan kilang padi di kawasan-kawasan strategik perlu dirancang. Penggunaan garis panduan penempatan dan penzonan perlu diambil kira. Konsep teknologi bersih cleaner production perlu diterapkan oleh pekilang-pekilang beras. Konsep ini cuba mengurangkan kesan pencemaran yang terhasil daripada aktiviti perkilangan dengan pengunaan teknologi kawalan pencemaran yang lebih efisien, kecekapan pemprosesan dan penggunaan semula bahan sampingan pemprosesan.

Perspektif mesra alam tidak seharusnya dilihat dalam ruang teknikal semata-mata, aspek urus tadbir perlu dimantapkan dalam memastikan kelestarian industri padi negara. Agensi pelaksana, perancang dan institusi penyelidikan perlu merangka pelan jangka panjang yang meliputi strategi dan projek yang berkesan bagi menjamin kelestarian industri padi negara.


Program peningkatan kemahiran dan pengetahuan di kalangan para petani komuniti petani perlu diadakan bagi menguruskan tanaman padi secara mesra alam. Usaha yang serius untuk memantau kualiti alam sekitar di zon penanaman padi amat diharapkan. Pemantauan kualiti udara dan air amat penting bagi melihat trend perubahan alam sekitar terhadap perkembangan aktiviti ini.

Sesungguhnya pembangunan industri padi negara mempunyai manfaat yang besar terhadap alam. Zon penanaman padi berfungsi untuk menyerap gas karbon dioksida, ini sedikit sebanyak dapat membantu terhadap permasalahan pemanasan global. Jelapang padi yang menghijau luas, saujana indah mata memandang sudah tentu mampu memikat setiap mata yang memandang khususnya para pencinta alam. Jelapang padi menyediakan suasana nyaman sesuai untuk kegiatan agro pelancongan.

Akhirnya kita akan dapat menuai seribu manfaat seandainya langkah-langkah pelestarian industri ini dapat diterapkan dengan jayanya. Berbudi pada tanah ertinya berbudi pada alam, cintai alam ini untuk kebaikan semua.

No comments: