Bencana Alam Jejas Pembangunan



Bencana alam jejas pembangunan - Rencana - Utusan Malaysia 21 jun 2008
Oleh Abdul Rahman Mahmud

SEJAK kebelakangan ini pelbagai krisis bencana alam telah berlaku di serata dunia. Dalam tempoh setengah tahun ini sahaja masyarakat dunia telah digemparkan dengan dua peristiwa bencana alam yang amat dahsyat. Iaitu Taufan Nargis di Myanmar dan gempa bumi di China. Bencana alam yang berlaku ini telah meragut ribuan nyawa manusia, kemusnahan tempat tinggal, kehilangan harta benda dan kerosakan alam sekitar.

Rantau Asia yang kita diami ini juga pernah dikejutkan dengan bencana tsunami yang berpunca dari gempa bumi dasar laut di Lautan Hindi. Akibatnya ratusan ribu nyawa hilang serta terdapat beberapa kawasan kediaman di wilayah Aceh lenyap dalam pandangan mata. Tragedi menyayat hati ini membuktikan betapa bencana alam yang berlaku kadang kala datang tanpa di duga.
Statistik menunjukkan semenjak tahun 1992 hingga tahun 2002 di Asia, kejadian bencana alam telah menjejaskan kehidu- pan 1.7 juta manusia dan telah meragut se- banyak 420,867 nyawa. Ia juga turut menyebabkan kerugian harta benda sebanyak AS 369,362 juta dolar.

Kemunculan bencana di tengah-tengah gelombang pembangunan telah memberikan ancaman besar kepada keselamatan dan ekonomi sesebuah negara. Ini kerana bencana yang berlaku boleh membawa kerugian harta benda dan nyawa.

Tambahan pula langkah-langkah pemulihan selepas bencana mengambil masa yang panjang dan melibatkan kos yang tinggi. Ini termasuklah operasi menyelamatkan mangsa, pemulihan kawasan bencana dan projek pembangunan semula.

Setelah bencana menimpa masyarakat berdepan pula dengan rantaian kesan-kesan sampingan, seperti wabak penyakit berjangkit dan masalah kekurangan bekalan makanan. Di samping itu, bencana alam yang berlaku juga meninggalkan kesan psikologi yang mendalam kepada rakyat. Perasaan fobia tidak mudah luput dalam ingatan mangsa yang mengalami musibah bencana.
Pada awal sejarah kehidupan manusia, bencana alam yang berlaku dianggap sebagai salah satu proses alam semulajadi. Namun jumlah peningkatan bencana alam yang semakin tinggi pada akhir-akhir ini telah menimbulkan persoalan.

Beberapa saintis di Barat mengaitkan peningkatan kejadian bencana alam sejak akhir ini dengan fenomena perubahan cuaca global. Bencana seperti ribut taufan, banjir besar dan kemarau panjang adalah terhasil dari perubahan cuaca yang tidak menentu.
Peristiwa bencana yang berlaku di serata dunia seharusnya menjadi iktibar kepada kita khususnya di Malaysia. Hakikatnya ti- ada satu pun negara yang kebal daripada bencana alam yang menimpa. Kita amat bersyukur kerana di negara kita belum ada lagi kejadian bencana alam yang meragut ribuan nyawa manusia. Walaupun begitu terdapat kejadian bencana alam yang kerap berlaku misalnya banjir kilat, banjir besar dan tanah runtuh.

Bencana alam yang berlaku diseluruh negara memerlukan suatu sistem pengurusan yang berkesan. Pengalaman kita dalam menghadapi bencana banjir di Johor dan Pahang pada tahun 2007, seharusnya dapat mempertingkatkan kesedaran untuk memperbaiki sistem pengurusan bencana alam di Malaysia.

Walaupun bencana alam yang datang tidak mampu dielakan, namun kita masih berpeluang untuk mengurangkan risiko bencana melalui sistem pengurusan bencana yang berkesan.
TindakanKegagalan untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda ketika berlakunya bencana adalah disebabkan oleh beberapa faktor utama. Antaranya ialah ketiadaan sistem amaran awal, kegagalan sistem penyampaian maklumat, kurangnya kesedaran masyarakat dan lemahnya koordinasi antara agensi kerajaan dan orang awam dalam melakukan tindakan semasa bencana berlaku.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) bencana ditakrifkan sebagai kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat.
Pengurusan risiko bencana alam perlu dilihat dalam perspektif yang menyeluruh. Ia perlu merangkumi aspek persediaan menghadapi bencana, mengenal pasti risiko bencana yang hadir, pencegahan dan tebatan, tindakan semasa bencana serta langkah-langkah pemulihan selepas sesuatu bencana itu berlaku.

Risiko sesuatu bencana terhadap alam sekitar sebenarnya boleh dikenal pasti dengan kajian penilaian risiko sebelum sesuatu bencana berlaku. Kajian penilaian risiko bencana dapat memberikan maklumat mengenai sifat bencana, tahap risiko yang diwujudkan dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan ri- siko bencana.
Kajian penilaian risiko juga dapat membantu untuk memberikan maklumat tentang kaedah dan tindakan yang boleh diambil apabila sesuatu bencana berlaku. Maklumat yang diberikan melalui kajian ini amat bermanfaat untuk menghasilkan piawaian operasi kerja dalam menangani sesuatu kejadian bencana.

Selain itu, pembangunan keupayaan melalui latihan dan kerjasama antara agensi amat penting dalam meningkatkan kecekapan pengurusan bencana. Koordinasi yang baik antara agensi kerajaan difikirkan amat penting dalam membentuk suatu tindakan bersepadu. Selain itu juga kewujudan badan bukan kerajaan yang aktif di Malaysia perlu dilibatkan secara bersama dalam pengurusan bencana alam.

Sesungguhnya kejadian bencana alam yang semakin meningkat merupakan suatu bentuk ancaman kepada pembangunan dunia. Bencana alam yang menimpa tidak mengira masa dan tempatnya.

Kesiapsiagaan kita untuk menghadapinya melalui langkah-langkah konkrit dapat mengurangkan risiko bencana alam sekali gus dapat menjamin kelangsungan kehidupan dan kelestarian pembangunan.

No comments: