Sistem pengurusan berkesan mampu kurangkan risiko bencana


Sistem pengurusan berkesan mampu kurangkan risiko bencana - Rencana Berita Harian 20 Jun 2008 (jumaat)

SEJAK kebelakangan ini pelbagai bencana alam berlaku di serata dunia. Dalam tempoh enam bulan tahun ini saja masyarakat dunia digemparkan dengan dua peristiwa bencana alam yang amat dahsyat iaitu taufan Nargis di Myanmar dan gempa di China. Bencana alam itu meragut ribuan nyawa manusia, kemusnahan tempat tinggal, kehilangan dan kerosakan harta benda serta kemusnahan alam sekitar. Rantau Asia juga pernah dikejutkan dengan bencana tsunami. Akibatnya ratusan ribu nyawa terkorban terutama di utara Sumatera dan beberapa kawasan kediaman di wilayah Aceh, lenyap dalam pandangan mata. Tragedi menyayat hati ini membuktikan betapa bencana alam yang berlaku kadang kala datang tanpa diduga. Statistik menunjukkan sejak 1992 hingga 2002, di Asia saja kejadian bencana alam menjejaskan kehidupan 1.7 juta manusia dan meragut 420,867 nyawa. Ia juga turut menyebabkan kerugian harta benda sebanyak AS$369 bilion.

Kemunculan bencana di tengah-tengah gelombang pembangunan memberikan ancaman besar kepada keselamatan dan ekonomi sesebuah negara. Bencana yang berlaku boleh membawa kerugian harta benda dan nyawa. Tambahan pula langkah pemulihan selepas bencana mengambil masa panjang dan membabitkan kos yang tinggi. Selepas bencana menimpa, masyarakat berdepan pula dengan rantaian kesan sampingan, seperti wabak penyakit berjangkit dan masalah kekurangan bekalan makanan. Disamping itu, bencana alam yang berlaku juga meninggalkan kesan psikologi yang mendalam kepada rakyat. Peristiwa bencana di serata dunia seharusnya menjadi iktibar kepada kita khususnya di Malaysia. Hakikatnya tiada satu pun negara yang kebal daripada bencana alam yang menimpa. Kita amat bersyukur kerana di negara kita belum ada lagi ditimpa kejadian bencana alam yang meragut ribuan nyawa manusia.

Bencana alam yang berlaku di seluruh negara memerlukan suatu sistem pengurusan yang berkesan. Pengalaman kita dalam menghadapi bencana banjir di Johor dan Pahang pada 2007, seharusnya dapat mempertingkatkan kesedaran untuk memperbaiki sistem pengurusan bencana alam di Malaysia. Walaupun bencana alam yang datang tidak mampu dielakkan, kita masih berpeluang untuk mengurangkan risiko bencana melalui sistem pengurusan bencana yang berkesan. Kegagalan untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda ketika berlakunya bencana adalah disebabkan oleh beberapa faktor utama.

Antaranya, ketiadaan sistem amaran awal, kegagalan sistem penyampaian maklumat, kurangnya kesedaran masyarakat dan lemahnya koordinasi antara agensi kerajaan dan orang awam dalam melakukan tindakan ketika bencana berlaku. Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) bencana ditakrifkan sebagai kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat.

Pengurusan risiko bencana alam perlu dilihat dalam perspektif menyeluruh, merangkumi aspek persediaan menghadapi bencana, mengenalpasti risiko bencana yang hadir, pencegahan dan tebatan, tindakan ketika bencana serta langkah pemulihan selepas sesuatu bencana itu berlaku. Risiko sesuatu bencana terhadap alam sekitar sebenarnya boleh dikenal pasti dengan kajian penilaian risiko sebelum sesuatu bencana berlaku. Kajian penilaian risiko bencana dapat memberikan maklumat mengenai sifat bencana, tahap risiko dan langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko bencana. Kajian penilaian risiko juga dapat membantu memberikan maklumat mengenai kaedah dan tindakan yang boleh diambil apabila sesuatu bencana berlaku. Maklumat yang diberikan melalui kajian ini amat bermanfaat untuk menghasilkan piawaian operasi kerja dalam menangani sesuatu kejadian bencana.

Selain itu, pembangunan keupayaan melalui latihan dan kerjasama antara agensi amat penting dalam meningkatkan kecekapan pengurusan bencana. Koordinasi yang baik antara agensi kerajaan difikirkan amat penting dalam membentuk suatu tindakan bersepadu. Selain itu juga kewujudan badan bukan kerajaan yang aktif di Malaysia perlu dilibatkan secara bersama dalam pengurusan bencana alam. Kurangnya kesedaran masyarakat untuk melakukan persiapan awal sebelum bencana alam berlaku sering kali menjadi isu setiap kali bencana melanda. Sikap sambil lewa segelintir masyarakat sering mengundang padah apabila sesuatu bencana berlaku.

Di samping itu, sistem amaran awal (SAA) yang berkesan perlu dilihat sebagai satu daripada mekanisme terpenting dalam mengurangkan risiko bencana. Sistem amaran awal yang disokong dengan penggunaan teknologi terkini seperti ICT dapat memberikan maklumat awal kepada masyarakat untuk bertindak serta-merta. Usaha bagi mengawasi tren perubahan bencana alam memerlukan suatu kaedah pengawasan yang sistematik. Perkongsian bijak pelbagai agensi kerajaan dan institusi penyelidikan bagi membangunkan sistem pangkalan data maklumat bencana amat perlu diadakan.

No comments: