Kesedaran Alam Sekitar Kakitangan Awam

Kesedaran Alam Sekitar Kakitangan Awam - Utusan Malaysia 01 Mei 2008

Terdapat lebih kurang 1.2 juta rakyat Malaysia yang bekerja dalam Jabatan dan Agensi kerajaan. Ia mewakili 4.4% keseluruhan penduduk di negara ini, golongan ini dikenali sebagai penjawat awam. Perluasan skop kerja di dalam sektor awam dijangka akan meningkatkan permintaan jumlah guna tenaga di dalam sektor ini. Penjawat awam sering dilihat mempunyai gaya kepengunaan yang tersendiri, sebagai pengguna mereka perlu sedar bahawa sikap dan perilaku mereka boleh menyumbang kepada keharmonian alam sekitar di negara ini.

Penjawat awam merupakan golongan pengguna yang aktif. Tiba sahaja penghujung bulan maka berduyun – duyunlah mereka ke kompleks – kompleks membeli belah. Jalan – jalan awam dipusat bandar akan penuh sesak kerana dibanjiri oleh kenderaan yang mengunjungi pusat – pusat membeli belah. Senario ini lebih ketara di kawasan bandar. Di pusat – pusat membeli belah kelihatan mereka menyorong troli yang memuatkan dengan puluhan barang – barang keperluan.

Kaunter - kaunter dipusat membeli belah kadang kala mengalami kesesakan yang luar biasa. Bermacam jenis barangan yang dibeli termasuklah barangan keperluan makanan dan pelbagai keperluan asas. Bukan saja barang – barang keperluan asas malahan ada yang sanggup berbelanja diluar dari keperluan sebenar, gelagat mereka kadang kala kelihatan sebagai peniaga borong.

Di sebalik keghairahan membeli belah tidak pernah terfikir di dalam hati mereka tentang kesanya terhadap alam sekitar. Seolah – olah tiada kaitan membeli barang keperluan secara berlebihan dengan kesannya terhadap alam sekitar. Malahan mereka tidak merasa bersalah sekiranya terlalu banyak beg plastik yang digunakan untuk membungkus barangan yang telah dibeli. Kemana akhirnya plastik, kertas, tin dan botol kaca selepas di gunakan?

Pembelian barangan secara berlebihan sebenarnya akan menambahkan jumlah penghasilan sisa pepejal seperti plastik, kertas dan kaca. Kawasan perbandaran di Malaysia menghasilkan kira – kira 15,000 tan sisa pepejal sehari yang mana di anggarkan sebanyak 0.9 hingga 1.0 kilogram dijana oleh setiap individu.

Senario di pejabat juga masih belum banyak menunjukan perubahan. Kertas – kertas masih digunakan secara membazir. Kertas putih (bersaiz A4) yang digunakan untuk menaip surat, memo, kertas kerja dan minit mesyuarat masih digunakan secara membazir. Kertas – kertas yang tidak terpakai adakalanya dibuang terus. Ada yang mengunakan sebelah muka surat sahaja dan sebelah lagi dibiarkan kosong. Sikap suka membazir ini dapat dilihat juga dalam penggunaan elektrik, dimana penggunaan alat penghawa dingin, lampu pejabat dan komputer tidak dikawal penggunaanya. Penggunaan air didalam tandas juga dibazirkan. Kadangkala kelihatan air dibiarkan mengalir dari pili air tanpa ditutup dengan sempurna. Hal ini tidak sepatutnya dipandang remeh kerana ia berkaitan dengan pembaziran wang negara secara besar – besaran. Di dalam majlis jamuan makan kadangkala digunakan bekas makanan plastik sebagai pembungkus makanan. Tanpa di sedari amalan ini akan menyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar, ini kerana plastik adalah bahan yang sukar untuk dihuraikan secara biologikal.

Kesemua senario yang disebutkan tadi merupakan realiti yang berlaku di dalam masyarakat pengguna daripada kelompok penjawat awam. Nyata sekali bahawa kesedaran kepenggunaan dikalangan penjawat awam terhadap alam sekitar masih lagi ditahap rendah. Program kesedaran alam sekitar nampak seolah – olah belum merata sepenuhnya dikalangan masyarakat kita. Kempen cintai alam sekitar seharusnya tidak tertumpu kepada golongan pelajar dan belia semata – mata. Malahan kelompok penjawat awam perlu juga diberi kesedaran.

Hakikatnya isu alam sekitar mempunyai hubungan langsung dengan gaya kepenggunaan masa kini. Penjawat awam masih banyak yang berada dalam zon selesa, jauh sekali untuk memahami isu – isu alam sekitar dan melaksanakan amalan kepenggunaan lestari (sustainable consumption). Oleh itu program kesedaran alam sekitar kepada kakitangan awam amat perlu disemarakan. Ia bukan sahaja dapat menyedarkan penjawat awam terhadap alam sekitar tapi dapat membantu dalam penjimatan wang negara.

Program kesedaran alam sekitar perlulah dijadikan antara agenda utama dalam perhimpunan bulanan. Selain daripada itu aktiviti seperti sambutan bulan penghayatan alam sekitar, hari alam sekitar, pertandingan keceriaan dalam pejabat, kempen guna semula kertas terpakai, kempen penjimatan elektrik dan air, kempen penggunaan plastik sifar, ceramah alam sekitar dan gotong royong membersih pejabat adalah antara program yang boleh dianjurkan.

Program kearah kesedaran dan komitmen alam sekitar ini tidak seharusnya dipandang remeh, enteng dan jangal dikalangan penjawat awam. Masih belum terlambat untuk kita melaksanakan program ini. Usaha yang dimainkan oleh jabatan – jabatan kerajaan untuk menjayakan program sebegini perlu dihargai kerana ia dapat menyumbang kepada penjimatan wang negara sekaligus dapat membina sikap penjawat awam
yang bertanggungjawab dan cintakan alam sekitar.

~ Al Fatihah ~ untuk Ayahnda Tercinta

Ayahanda Mahmud bin Othman (meninggal dunia pada 27 januari 2008)


Semasa Hayatmu ......

Di penuhi dengan pengorbanan, perjuangan, amal bakti, manabur budi,

Tidak pernah merasa penat lelah dan jemu,

Untuk masyarakat dan anak – anakmu,

Sebagai pemimpin ... di senangi oleh rakan, kawan, dan saudara,

Sebagai perajurit ... kau berjiwa besar dan bersemangat waja,

Sebagai bapa ... mendidik kami menjadi insan berilmu,

Ayahku seorang berjasa...

Lisanmu penuh dengan adab dan kasih sayang,

Pemergianmu amat aku rindui ....

Hanya doa, tahlil dan ayat – ayat suci yang mampu aku kirimkan ...

Moga Allah Merahmatimu,

Moga Allah Menyayangimu,

Ya Allah kau tempatkan Ayaha ku
di kalangan solehin, mukminin, mutaqin, para ulama dan para syuhada

Peranan Belia Dalam Peristiwa Hijrah

Apabila Allah S.W.T telah mengizinkan umat Islam berhijrah, maka ramailah kaum muslimin telah bertolak menuju ke Yathrib secara rahsia dan tersembuyi. Ini kerana mereka tidak mahu disekat dan ditangkap oleh golongan musyrik Quraisy. Setelah rombongan Islam selamat sampai, barulah Rasulullah s.a.w mengatur rancangan untuk keluar dari bumi Mekah.Dimulai dengan keluarnya Rasulullah s.a.w bersama Saidina Abu Bakar As-Siddiq menuju ke gua Thur dan mereka menetap di sana selama 3 hari seperti yang telah diriwayatkan dalam kitab-kitab sirah. Dalam tempoh tersebut, beberapa individu telah terlibat dalam menjayakan misi hijrah agung ini, antara lain ialah:

• Saidina Ali bin Abi Talib yang menggantikan baginda di tempat tidurnya.
• Asma` binti Abu Bakar (kakak saidatina Aisyah) yang menghantar bekalan makanan.
• Abdullah bin Abu Bakar sebagai pengintip dan pembekal maklumat kepada Rasulullah s.a.w.
• `Amir bin Fuhairah, hamba Abu Bakar r.a yang menghilangkan kesan-kesan perjalanan

Abdullah dan Asma` dengan menjadi pengembala kambing.Hijrah telah menunjukkan kepentingan dan keberkesanan peranan dan sumbangan golongan belia dalam sesuatu usaha. Apabila golongan muda menggunakan potensi akal dan kekuatan untuk tujuan kebaikan, sebesar mana perancangan sekalipun akan dapat menjadi realiti. Lihatlah keberanian saidina Ali. Beliau menggantikan Rasulullah s.w.t di tempat pembaringan pada malam rumah baginda dikepung oleh belia-belia. Berikutan dari mesyuarat tergempar di Dar An-Nadwah (parlimen Quraisy), pihak Quraisy telah memutuskan bahawa insan bernama Muhammad bin Abdullah wajib dibunuh setelah usaha-usaha lain untuk menyekat dakwahnya menemui kegagalan. Setiap etnik dan kabilah telah diminta untuk menghantar pemuda mereka yang gagah perkasa untuk membunuh Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan di dalam kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum bahawa pada malam tersebut, pihak kuffar sering mengintai-intai baginda melalui celah-celah lubang pintu dan tingkap sewaktu kepungan dibuat. Ini kerana mereka mahu memastikan Rasulullah benar-benar sedang tidur di atas katilnya.

Memang benar mereka telah melihat sebatang tubuh di sebalik selimut baginda, tetapi manusia sebenar yang berada di bawah selimut itu adalah pemuda bernama Ali bin Abi Talib. Sebaliknya Rasulullah s.a.w telah berjaya keluar dari kepungan mereka dengan bantuan dan pertolongan Allah s.w.t. Peranan Abdulllah bin Abu Bakar tidak kurang hebatnya. Dalam tempoh 3 hari Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di dalam gua Thur, beliau mengambil risiko menjadi pembekal maklumat-maklumat terkini tentang perancangan musyrik Mekah. Di waktu siang beliau berada di sekitar Mekah sambil merisik maklumat. Kemudian beliau pergi ke gua Thur ketika hari hampir gelap untuk membentangkan laporan risikannya. Pada keesokkan harinya, beliau pulang semula ke Mekah sebelum fajar terbit supaya pergerakkannya tidak dilihat oleh Abu Jahal dan konco-konconya.Peristiwa hijrah juga turut merakamkan peranan beliawanis. Anak-anak perempuan saidina Abu Bakar iaitu Asma` dan Aisyah bertungkus lumus menyediakan makanan di rumah kemudian menghantarnya ke Gua Thur pada setiap malam. Mungkin ada yang tertanya-tanya tidakkah kesan-kesan tapak kaki Abdullah dan Asma` boleh membongkar rahsia tempat persembunyian baginda dan Abu Bakar? Ketika ini peranan `Amir bin Fuhairah diperlukan. Beliau diarah untuk membawa kambing-kambing gembalaannya di sekitar gua Thur untuk menghilangkan kesan-kesan tapak kaki perisik dan pembekal makanan Rasulullah s.a.w yang sentiasa berulang alik antara Mekah-Gua Thur.


Dr. Mustafa As-Siba`ei telah berkata bahawa Hijrah adalah antara peristiwa besar yang telah merobah perjalanan hidup manusia dan tamadun kehidupan. Jika idea Hijrah tidak tercetus, berkemungkinan cahaya Islam tidak dapat menerangi dunia hingga ke hari ini. Dan apa yang menariknya di sini ialah kejayaan Hijrah adalah hasil bantuan, sokongan dan pengorbanan dari golongan belia!Selain itu, sejarah juga telah merakamkan sumbangan belia-belia dalam mencipta kegemilangan ilmu pengetahuan, keamanan, perpaduan dan reformasi atau islah. Lihatlah insan-insan seperti Muhammad Al-Qasim, pemuda yang telah menerangi tanah India dengan nur Islam di zaman khilafah Umawiyah, Imam Asy-Syafe`i menjadi ilmuan ulung ketika mudanya, bahkan telah menjadi mufti ketika usia 9 tahun!, Muaz bin Jabal, komendar perang yang menawan Kota Andalus daripada Kristian dan banyak lagi belia-belia Islam yang telah mamahat kejayaan besar dalam lipatan sejarah manusia. Sewajarnya umat Islam di semua peringkat pada hari ini menyedari bahawa jatuh bangun agama, tamadun serta identiti umat banyak bergantung kepada potensi belia. Dengan sokongan dan pengorbanan mereka, banyak berlaku peristiwa-peristiwa yang telah mengubah perjalanan masa depan dunia dan tamadun kemanusiaan. Itulah hasilnya jika belia dididik dengan akidah dan akhlak yang mantap.


Krisis moral belia yang tidak kunjung padam pada hari ini sepatutnya menimbulkan rasa insaf dan resah dari pelbagai pihak. Golongan ini jika tidak digilap potensi akal dan kekuatannya dengan nilai-nilai keagamaan, gejala-gejala rosak tidak akan berkurangan. Bahkan ianya bertambah banyak dan akan muncul pula kerosakan-kerosakan baru. Isu dadah, seks bebas, pelacuran, pembuangan anak, budaya samseng dan black metal antara penyakit lama yang belum diubati sepenuhnya. Belum pun sempat negara keluar dari kemelut lama, datang pula masalah baru seperti mat rempit, budaya gothik, isu murtad, ajaran-ajaran sesat dan pelbagai isu lagi yang cukup memeningkan kepala. Ibu bapa sewajarnya memberikan penekanan pendidikan agama dan akhlak dalam diri anak-anak. Jiwa mereka mesti dibekalkan dengan elemen-elemen positif sebagai pembimbing minda di masa hadapan. Namun apa yang menyedihkan ialah pendidikan agama untuk anak-anak hanya menjadi agenda menengah. Sekolah-sekolah agama hanya menjadi tumpuan jika anak-anak sudah tidak mampu meraih keputusan baik di sekolah-sekolah konvesional. Lantaran itu, mulalah masyarakat menuduh institusi SAR tidak praktikal dan produktif kerana pelajar-pelajarnya ketinggalan! Perspesi ini wajib dibuang jauh-jauh jika ingin melihat golongan belia memberi sumbangan positif kepada negara dan umat. Pendidikan agama dan akademik mestilah seiring dalam merangka kejayaan dunia dan akhirat. Islam tidak membuang dunia dan tidak pula semata-mata menumpukan akhirat. Tetapi Islam adalah anutan yang mengimbangi tuntutan hidup sekarang dan akan datang. Sebab itu ianya cukup sesuai dan relevan pada setiap masa dan tempat.

Kerajaan mestilah memantau agenda pembangunan belia dan beliawanis. Hiburan-hiburan melampau harus dibanteras dan digantikan dengan program berfaedah yang mesra belia dan kanak-kanak. Media cetak dan elektronik perlu berfikir dua kali sebelum memaparkan filem dan rancangan harian. Program berunsurkan pengajaran, pembinaan jatidiri, penghayatan agama, pencerdasan minda perlu diperbanyakkan dan unsur-unsur ‘lagho’, lucah dan negatif wajib dikurangkan sehingga menjadi sifar. Apalah gunanya jika ekonomi dan pembangunan negara bertambah pesat, tetapi manusia hidup berada dalam ketakutan, hilang kepercayaan dan keamanan sosial semakin terhakis. Tiada guna negara berbangga dengan pencapaian sains dan teknologi maklumat, tetapi rakyat merasa terasing dalam negara sendiri. Sudah tentu negara dan rakyat sedang menuju ke arah kehancuran fizikal dan spritual.

Kesimpulannaya, pihak kerajaan, NGO, institusi masjid, ibubapa dan guru haruslah peka terhadap isu belia. Pengajaran dari Hijrah Rasul mesti diaplikasikan dengan sebaik mungkin. Jika belia di zaman dahulu telah membuktikan kemampuan mereka dalam menjayakan misi-misi gergasi, sudah tentu belia sekarang juga memiliki kemampuan untuk mencipta pembaharuan dan menjayakan agenda islah umat. Semua ini bukanlah suatu misi mustahil jika semua pihak benar-benar sedar dan peka dalam pembetukan belia positif.

Ilmu yang bermanfaat perlu dicari

Al-Quran memberikan asas tentang ilman nafia atau ilmu yang bermanfaat dan yanfaunnas atau sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia. Sejarah pertumbuhan ilmu dan tamadun Islam telah menyebabkan ia tidak tertutup untuk memanfaatkan faedah berbanding dari tradisi keilmuan orang lain.Ada asas-asas universal yang terdapat pada ilmu yang berkenaan yang tidak bercanggah dengan faktor akidah dan syarak.Kunjungan al Biruni ke India, pengembaraan Ibn Battuta ke serata ceruk dunia, penguasaan al Farabi, Ibn Sina terhadap ilmu-ilmu falsafah Greek-Yunani, anjuran Rasulullah supaya ilmu dituntut hingga ke negeri China.

Begitu juga kaedah menebus diri tawanan perang dengan mengajarkan anak-anak Islam kemahiran membaca dan menulis pada zaman Rasulullah. Semuanya adalah asas sandaran bahawa di samping pemerkasaan ilmu-ilmu Islam, ilmu yang bermanfaat dari tradisi dan tamadun lain harus dicari selagi ia tidak bercanggah.Lebih-lebih lagi dewasa ini umat Islam menjadi pengguna kepada ilmu-ilmu sains dan teknologi dari Barat dan Timur. Hasil kekuatan sains dan teknologi ini kuasa-kuasa Barat memiliki upaya menakluk dan menjajah dan kuasa-kuasa sedang muncul sebagai negara maju dan bakal menjadi kuasa besar.Penaklukan dan penjajahan kini tidak seperti dulu. Kehebatan teknologi langit terbuka, rangkaian teknologi maklumat dan komunikasi, kesuburan media cetak dan elektronik, rangkaian Internet dan sistem komputer yang canggih telah memberikan bentuk ‘penjajahan’ baru kepada umat Islam.Cabaran untuk mengetahui aspek-aspek teknologi amat dituntut supaya umat Islam tidak selamanya menjadi pengguna kepada keunggulan ilmu dan teknologi Barat umpamanya sehingga Barat dijadikan indikator maju, moden, membangun dan berubah secara mutlak.Mempelajari teknologi atau ilmu alat tidaklah salah.

Teknologi dari sudut Islam selamanya alat. Ia bukan matlamat. Matlamat dalam komputer dan Internet umpamanya ialah untuk memperkaya, mempercepat dan mempelbagaikan maklumat supaya pemikiran manusia menjadi lebih luas.Secara mekanistiknya tidaklah salah. Tetapi terdapat sesetengah maklumat, perisian, input dan program dalam komputer dan Internet mengandungi hal-hal yang sifatnya menyalahi. Ia memerlukan daya saring yang tinggi di kalangan pengguna supaya pengguna dapat membezakan yang baik dengan yang buruk dan yang bermanfaat atau sebaliknya.Adalah menjadi cabaran remaja untuk memahami keadaan ini supaya para remaja tidak terjebak dalam perangkap Barat atau yang boleh merosakkan minda remaja. Persoalan maklumat berkait rapat dengan pemikiran. Orientasi maklumat yang datang dari budaya orang lain kadang-kadang membawa orientasi dan nilai yang tidak sama dengan nilai-nilai Islam.Apa yang patut dilakukan oleh remaja ialah memiliki tekad dan azam yang tinggi untuk mempelajari sesuatu yang bermanfaat dari orang lain, tradisi lain malah tamadun lain. Oleh kerana sifat sains dan teknologi berkembang, para remaja harus bersedia untuk menguasai ilmu-ilmu baru supaya umat Islam sentiasa semasa dengan perkembangan zaman.Namun begitu para remaja harus terlebih dahulu menguasai asas-asas ilmu dan pemikiran Islam.

Ulama dan ilmuwan Islam di zaman gemilang dulu menguasai ilmu-ilmu mengenai akidah, syariah, ibadah dan akhlak supaya mereka memiliki jati diri sebagai seorang Islam yang berilmu dan menghayati ilmu.Asas-asas ini sangat penting untuk memberikan para remaja kekuatan diri menghadapi maklumat, data dan fakta dari sumber-sumber orang lain atau sumber berbanding.Apabila dewasa kelak, ia akan berkembang kerana sifat ilmu dan maklumat tidaklah statik. Batas fardu ain umpamanya tidak memadai bagi remaja. Ini kerana corak cabaran semasa jauh menuntut supaya penguasaan ilmu alat seperti sains dan teknologi, komputer dan penyelidikan, pengurusan dan perundangan, ekonomi dan kajian ilmu-ilmu kemanusiaan, tamadun dan sistem nilai supaya remaja mempunyai perspektif yang betul dan asas yang jelas mengenai ilmu Islam dan kaitannya dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat dari sumber orang lain.Adalah tidak memadai seorang umat Islam yang menguasai ilmu fardu kifayah maka semua yang terlepas dosa. Ia adalah syarat fikah yang minimum.

BudayaIlmu dan maklumat bukanlah sesuatu yang sifatnya berkecuali. Tumbuhnya ilmu dan suburnya maklumat adalah dari pengalaman budaya dan sistem nilai yang dimiliki dan diwarisi oleh sesuatu bangsa dan tamadun. Tamadun Barat pada hari ini banyak menumpukan kepada faktor-faktor memajukan benda dan pemikiran berasaskan faham sekular dan liberal.Faham ini amat berbahaya bagi orang-orang Islam kerana ia menolak kepentingan agama dan sistem nilai.Oleh itu para remaja yang memiliki asas ilmu Islam yang baik tidak mempunyai masalah untuk memanfaatkan sumber-sumber dari Barat atau Timur sekiranya para remaja dapat membezakan buruk-baik akan sesuatu dan dapat mengenal sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya.Teknologi komputer umpamanya adalah sesuatu yang baik untuk di pelajari.

Dari sudut perkakasan (hardware) dan teknologinya tidaklah ada masalah bagi remaja mempelajarinya. Tetapi apabila menggunakannya sistem nilai dan kekuatan agama adalah perlu bagi memandu remaja melayari yang baik dan menghindarkan yang tidak berfaedah.Yang memberikan perbezaan dari segi penggunaan ialah sistem nilai dan etika yang dimiliki oleh remaja.Sekiranya sistem nilai dan etika itu lahir dari penghayatan tradisi Islam, maka para remaja akan memiliki kekuatan serta berupaya memilih dan menyaring sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya.Dalam masa yang sama, remaja harus rasa tercabar untuk meneroka dan menghasilkan perisian yang selari dengan proses pembudayaan dan pemikiran yang sejalan dengan nilai-nilai Islam. Ia adalah proses yang tidak mudah dan menuntut masa yang lama dan panjang kerana sifat teknologi dan maklumat selalunya dinamik dan tidak statik. Ia adalah suatu usaha yang berterusan.

Cara sebegini jugalah yang pernah berlaku di Eropah dalam proses memanfaatkan ilmu-ilmu Islam di kalangan sarjana mereka. Walaupun mereka menguasai bahasa di mana ilmu Islam itu lahir dan tumbuh tetapi sumber ilmu ditatang dengan menggunakan bahasa Latin dan Ibrani dan dewasa dalam kehidupan zaman reformasi dan Renaissance sehingga menjadikan ilmu itu terpisah dengan sistem nilai dimana ilmu itu asalnya subur.Lama kelamaan ilmu itu menjadi sekular dan berkembang secara liberal tanpa terikat dengan nilai-nilai agama.Remaja Islam harus mempunyai tekad untuk menguasai ilmu-ilmu Islam dengan baik sehingga dewasanya nanti memiliki keahlian dan kepakaran dalam bidang-bidang yang tertentu.

Kesediaan dan keterbukaan perlu ada untuk memanfaatkan faedah-faedah berbanding dalam ilmu-ilmu dari sumber dan tamadun lain supaya akhirnya ilmu tersebut berkembang dalam orientasi dan budaya Islam.Inilah asas-asas integrasi dan Islamisasi yang sedang berlaku supaya ilmu-ilmu yang bermanfaat terbentuk dalam acuan kita sendiri. Darinya umat Islam akan menjadi maju di samping keunggulan ilmu dan tamadunnya sendiri.Penyuburan ilmu-ilmu Islam seharusnya berlaku supaya ia menjadi teras membangun acuan sendiri yang sifatnya menyumbang dan memperkayakan.