Tumpahan Minyak


Pada bulan mei di dalam majalah kosmik saya telah menuliskan kebimbangan mengenai pencemaran laut disebabkan tumpahan minyak. Kebetulan pada bulan yang sama berlakunya tumpahan minyak yang mencemari perairan Pengerang Johor. Impak dari tumpahan minyak, amat menjejaskan kehidupan masyarakat nelayan dan member kesan terhadap hidupan air. Penguatkuasaan undang – undang antarabangsa mengenai pencemaran lautan perlu di laksanakan dengan tegas agar perkara ini tidak berulang.

Kita ini tetamu senja


Semasa dalam perjalanan dari rumah ke pejabat saya terdengar sajak yang dibacakan oleh A. Samad Said, didalam Radio IKIM FM . Sajak bertajuk “Kita Ini Tetamu Senja” semoga menjadi renungan untuk kita bersama …..

Kita Ini Tetamu Senja
Kita datang ini sebagai tetamu senjabila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya.

Kita datang ini kosong tangan kosong dadabila pulang nanti bawa dosa bawa pahala.

Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang

bawalah bakti mesra kepada Tuhan kepada insan.

Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang

usahlah durhaka pula kepada Tuhan kepada insan.

Bila kita lihat manusia lupa tempatatau segera sesat puja darjat puja pangkat

segera kita insaf – kita ini punya kiblat,

segera kita ingat – kita ini punya tekad.

Bila kita lihat manusia terbiar larat

hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat

harus kita lekas sedar penuh pada tugas

harus kita tegas sembah seluruh rasa belas.

Kita datang ini satu roh satu jasad

bila pulang sekali bawalah bakti padat berkat!

Kedamaian Alam


Pemanasan global yang sering disebutkan sejak 10 tahun lalu kini benar – benar kita rasai. Ia bukan hanya suatu teori akademik sains alam sekitar, semata – mata . Malah ia benar – benar telah mengigit kehidupan manusia. Sejak awal pagi tat kala mentari meninggi , panas permukaan bumi kian meningkat. Manusia keluar berduyun – duyun mencari rezeki untuk menyara kehidupan di alam yang kian hangat.

Perolakan haba dan pergerakan haba menjalar, menyerap dan meresap ke seluruh inci permukaan bumi. Bumi yang panas bertukar hangat. Manusia masih lagi bergaduh, berebut kuasa, fitnah memfitnah, caci mencaci ... dunia hangat bertambah hangat.

Pada insan yang cintakan alam ciptaan Tuhan, ada kedamaian pada hijaunya rumput, birunya laut, kicauan burung yang bebas terbang, indahnya air sungai yang mengalir dari hulu ke muara. Cintakan bumi yang aman dan nyaman, berpadu dalam kepelbagaian warna... jauhi dari segala sengketa.

Hari Air Sedunia


Semalam berlangsungnya sambutan air sedunia. Air merupakan sumber utama kehidupan manusia di alam ini. Secara saintifiknya, air terdiri daripada 2 molekul atom hydrogen dan 1 molekul atom oksigen. Ia membentuk ikatan yang kuat dan tidak mudah untuk dipisahkan.

Air ialah punca kehidupan yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Tetapi manusia seringkali melakukan kerosakan terhadap air. Manusia meracuni sumber air dengan kimia, toksik, minyak dan juga darah – darah manusia. Manusia ingin menjadi raja di alam ini. Raja kepada haiwan, kepada hutan –hutan, bukit bukau, gunung – ganang, tanah – tanih, sungai – sungai, tasik dan kolam.

Manusia selalu sombong dan bangga diri. Manusia tidak tahu sebenarnya mereka memiliki kelemahan yang amat nyata. Manusia hanya diberi pinjam sedikit kudrat buat hidup di alam yang fana ini. Manusia tidak ingin bersahabat dengan alam lagi. Mungkin kerana manusia merasa dia cukup hebat dengan akal dan fikiran yang hanya semata-mata pinjaman.

Manusia menyebabkan adakalnya air mengamuk luar biasa. Amukan yang mengganas, badai tsunami yang mengelombang tinggi melambungkan rumah - rumah dan manusia. Inilah petaka dan petanda apabila manusia tidak menghormati hak asasi alam ini. Manusia perlu sedar bahawa dia tidak mampu mencipta air. Kebergantungan manusia terhadap air bagaikan isi dengan kuku dan ibarat aur dengan tebing.

Manusia perlu kembali kepada Allah SWT memahami tugas sebagai pemakmur alam bukan pemusnah alam. Manusia sebagai pembangun alam bukanya penjenayah alam. Manusia seharusnya memelihara kestabilan ekosistem alam bukannya teroris alam. Air merupakan harta pusaka paling bernilai di alam ini.