Hijrah Untuk Pencerahan Jiwa

Sambutan Tahun Baharu Hijrah disambut dengan penuh meriah di Malaysia. Di negara – negara yang mempunyai umat Islam belum tentu semuanya dapat menyambut tahun baharu Hijrah dengan baik seperti di negara kita. Kita harus berbangga dengan usaha – usaha ini. Walaupun begitu masih terlalu banyak perkara yang perlu dilaksanakan bagi mengukuhkan kefahaman, penghayatan dan pelaksanaan syariat Islam dengan baik di negara ini. Semuanya ini akan berjaya dilakukan dengan proses dakwah dan tarbiyah yang tersusun atur dengan baik serta sistematik. Kecelaruan moral dikalangan generasi pewaris seharusnya di tangani segera dengan aktiviti yang baik. Ia menuntut kesungguhan yang sebenar dari pihak penguasa dan golongan pentadbir yang bijaksana. Rancangan yang berunsurkan hiburan semata – mata dan tidak memberikan penumpuan dalam usaha pembinaan sahsiah generasi muda seharusnya di hentikan serta merta.
Apa untungnya buat masa depan anak – anak muda semua itu ? Ia hanya membuang masa dan melalaikan anak – anak muda dari membina masa depan Islam yang gemilang. Gerakan pencerahan jiwa harus dilaksanakan oleh semua golongan. Para penguasa dan pentadbir perlu didekati dengan baik dan penuh hikmah. Kerana mereka adalah golongan penggubal dasar dan pelaksana yang amat penting dalam membina kerangka masyarakat bernegara. Sekiranya aktiviti pencerahan jiwa melalui proses dakwah dan tarbiyah ini dapat disegerakan ia dapat mengekang penularan virus kehidupan baru (secular dan liberal) yang kini menjadi duri dalam daging dikalangan masyarakat Muslim. Hijrah Untuk Pencerahan Jiwa.

Iklim: Negara miskin marahkan perjanjian

Di petik dari http://www.utusan.com.my

COPENHAGEN 19 Dis. - Kemarahan negara-negara miskin meledak pada sidang kemuncak iklim terhadap perjanjian yang dicapai oleh sekumpulan pemimpin dunia walaupun penyokongnya mengakui ia tidak akan menghentikan pemanasan global.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan yang beliau telah mencapai 'kejayaan yang tidak dijangka' dalam pertemuan dengan kira-kira 24 orang Presiden dan Perdana Menteri yang berkumpul di Copenhagen pada hari terakhir sidang kemuncak selama 12 hari ini.
Namun beliau mengakui Perjanjian Copenhagen yang dipersetujui ini masih belum mencukupi kerana ia tidak menyatakan sasaran spesifik untuk mengurangkan pencemaran karbon yang merupakan punca pemanasan global berisiko memusnahkan keseluruhan spesies sekiranya tidak diatasi.
Beberapa jam selepas Obama dan pemimpin lain menaiki penerbangan pulang ke negara masing-masing, delegasi dari 194 negara telah bersengkang mata mendebatkan teks tersebut dan beberapa negara membangun telah melahirkan kemarahan terhadapnya.Wakil Venezuela, Claudia Salerno Caldera mengangkat tapak tangan berdarah dan mengatakan dia terpaksa melukakan tangannya untuk menarik perhatian selepas negaranya dikecualikan dari rundingan tertutup yang diketuai AS.

"Kamu akan menggalakkan rampasan kuasa ke atas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," tegasnya pada sesi sepanjang malam yang menghampiri waktu subuh hari ke-13 persidangan.Ian Fry dari Tuvalu, sebuah pulau kecil di Lautan Pasifik yang terancam dengan perubahan iklim, menyifatkan perjanjian itu sama dengan pengkhianatan yang diceritakan di dalam Bible."Nampaknya kita ditawarkan 30 keping perak untuk mengkhianati rakyat dan masa depan kita," katanya .

Situasi bertambah hangat apabila delegasi Sudan, Lumumba Stanislas Dia-ping, yang mempengerusikan blok negara miskin mengatakan perjanjian itu adalah satu 'pembakaran' kepada Afrika dan menyamakannya dengan Holocaust.Ulasan itu mencetus rasa tidak puas hati beberapa negara lain dengan sebahagian negara membangun memberi isyarat untuk berkecuali dan menyokong perjanjian yang tidak sempurna itu.

"Saya merayu kepada semua negara, jangan biarkan persidangan ini gagal," kata Presiden Maldives, Mohamed Nasheed yang turut berasa tidak gembira dengan perjanjian itu. - AFP

Sidang Kemuncak Perubahan Iklim


Kini sedang berlangsung Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Di Copenhagen. Sidang ini bermatlamatkan untuk menetapkan tindakan sejagat dalam usaha bagi mengurangkan kesan perubahan Iklim yang sedang dan bakal berlaku.

"The objective of the Summit on Climate Change, which I am convening on 22 September, is to mobilize the political will and vision needed to reach an ambitious agreed outcome based on science at the UN climate talks in Copenhagen." Setiausaha PBB

Sudah hampir 70 tahun manusia membahaskan isu perubahan iklim ini tapi masih belum ada penyelasaian yang konkrit dapat dicapai. Ini kerana isu perubahan iklim sebenarnya banyak bergantung kepada sikap manusia. Polisi, perundangan, konvensyen belum cukup untuk mengelakkan masalah ini berlaku.

Pada hemat saya semua ini hanya mampu diselesaikan dengan pendekatan Islami. Bermula dengan perubahan pandangan alam atau world view manusia terhadap alam. Manusia mempunyai amanah hakiki untuk membangunkan alam ini mengikut manual yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kesemua tindakan manusia seharusnya di paksikan dalam rangka peribadatan kepada Allah, kebaktian terhadap umat dan pemuliharan alam sekitar sejagat untuk manfaat semua.

Dalam sidang kemuncak ini negara yang kaya dan mempunyai potensi menyumbang terhadap perubahan iklim akan cuba sedaya mungkin untuk melindungi kepentingan mereka. Sementara negara kecil yang bakal hanyut, tengelam dan musnah kesan daripada perubahan iklim akan bersuara dengan lantang. Namun kegelisahan mereka tidak akan terubat walaupun janji negara – negara maju ditabur dengan begitu muluknya.

Kita amat menantikan suara pimpinan Islam yang mampu menyatakan pandangan berkaitan pengurusan alam sekitar mengikut perspektif yang sebenar. Kelestarian dan keseimbangan adalah impian sejagat. Sesuai dengan prinsip Islam sebagai rahmatan lil a’alamin.

Tips 3S - Untuk menghilangkan stress


Sasaran - Strategi - Sikap (3S)

Pernahkah anda diberikan suatu tugasan yang besar dan perlu dilakukan dalam suatu tempoh masa ? Dalam masa yang sama anda juga mempunyai pelbagai tugasan kerja yang mendesak dan perlu disiapkan mengikut jadual.

Sudah pasti ada yang merasa stress, tekanan, kemurungan, tidak ceria dan buntu dalam melaksanakan tugasannya. Akibatnya kerja yang anda lakukan tidak terfokus, menjadi celaru dan hilang semangat bekerja. Ini akhirnya akan menyebabkan output kerja yang dihasilkan tidak berkualiti dan bermutu.

Bagaimanakah anda mampu mengurus dan menyempurnakan tugasan – tugasan ini dengan baik. Sekurang – kurangya ada tiga elemen penting yang perlu anda kuasai dan mampu membantu anda melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik.

Iaitu sasaran, strategi dan sikap (3S).

Setiap tugasan – tugasan sama ada, kerja pejabat, kerja sampingan, hobi, urusan peribadi dan urusan keluarga mempunyai kepentingan dan prioritinya. Kita perlu meletakan sasaran dan matlamat bila untuk mencapainya.

Dalam usaha untuk mencapai sasaran yang kita tetapkan kita perlu mempunyai strategi. Persoalan bagaimana? Menjadi suatu perkara terpenting. Iaitu bagaimana kita mampu menyelesaikan kerja dan tugasan ini ? apa strategi kita ? apa keperluan yang dapat membantu anda untuk mencapai sasaran ? teknik dan pendekatan apa yang anda gunakan ?

Semua sasaran dan strategi tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya kita tidak mempunyai sikap yang baik terhadap kerja yang kita ingin lakukan. Sikap yang negatif seperti malas, sambil lewa, tidak mengikut masa, lambat bertindak dan suka membuang masa akan mengagalkan semua sasaran dan strategi yang dirancang. Sebaiknya sikap yang baik seperti rajin, fokus, tepat masa, cepat bertindak dan menghargai masa amat penting bagi menjayakan strategi dan sasaran.

Semoga dengan 3 elemen yang penting ini dapat kita amalkan dalam kehidupan kita untuk membina kehidupan yang lebih bahagia dalam melaksanakan tugasan seharian.

Salam Aidiladha

Pernahkah kita berkorban untuk agama kita sepanjang hayat di atas muka bumi ini ?
Berkorban dalam ertikata memanfaatkan masa dan tenaga untuk mengukuhkan Islam di dalam masyarakat kita. Kalau belum maknanya kita masih jauh daripada menghayati pengorbanan. Kita mungkin selalu berkorban untuk sesuatu yang kita idam – idamkan tetapi untuk pengorbanan masa dan tenaga untuk agama masih belum pernah kita berkorban. Masih ada masa untuk kita lakukan pengorbanan untuk Islam. Penghayatan hari raya korban seharusnya di tandai dengan semangat untuk melakukan sesuatu perkara yang baik untuk diri keluarga dan masyarakat. Perlu kita fikirkan apakah aktiviti bermanfaat untuk kita berjuang dan berkorban demi Agama Islam yang tercintai ini.

Mesej di sebalik banjir



Banjir yang melanda negeri – negeri pantai timur semakin menjejaskan kehidupan orang ramai. Apatah lagi kepada mereka yang menghadapi peperiksaan SPM . Keadaan kurang selesa menyelubungi fikiran dan menggangu fokus mereka.Seharusnya isu banjir yang dihadapi saban tahun ini harus dihadapi dengan persediaan yang rapi. Dalam masa yang sama usaha – usaha untuk mengelakan situasi banjir berlaku perlu diadakan. Ini termasuklah dengan mengadakan kawalan tebatan banjir, perancangan pembangunan dan pemuliharan saliran. Sikap masyarakat juga perlu berubah, pembuangan sampah merata tempat bakal mencemari kawasan alur air dan sungai. Ini menyebabkan isipadu tampungan air mengecil berlaku limpahan dan seterusnya menyebabkan banjir kilat. Harus ada kesedaran yang mendalam dikalangan masyarakat jangan sampai terhantuk baru terngadah ! Sekarang siapa yang susah, jadi fikirkanlah.

Banjir dan Perubahan Guna Tanah


Banjir yang berlaku di sesetengah kawasan di Malaysia pada ketika ini dianggap sebagai fenomena biasa bagi sesetengah orang. Bagi pemerhati alam sekitar banjir yang berlaku sudah tentu dikaitkan dengan banyak faktor yang boleh merubah ekosistem alam ini. Bencana banjir yang menimpa negeri – negeri di pantai timur saban tahun dilihat semakin bertambah serius. Enapcemar yang mendap di dasar sungai mungkin antara penyebab mengapa banjir terus berlaku di negeri – negeri tersebut. Salah satu faktor lain mungkin kerana kawasan tadahan hujan semakin pupus di negeri – negeri tersebut sehingga menyebabkan peningkatan air larian permukaan yang tinggi. Perubahan guna tanah terus menjadi isu besar dalam pembangunan negara. Sejauh mana kita bijak mengurus pembangunan guna tanah sejauh itulah kita dapat memastikan bahawa kejadian impak bencana alam seperti banjir dapat dikurangkan.


Pada Hemat Saya Pembangunan Guna Tanah Perlu Mengambil Kira Faktor - Faktor Berikut :-

1. Kawasan tadahan air.

2. Pengurusan sisa pepejal yang efisien

3. Sistem saliran air hujan yang baik

4. Pemuliharan sungai yang bijaksana

Menghargai Nikmat Mata


Mata adalah kurniaan Allah yang amat bernilai kepada setiap manusia. Mata ibarat ‘pintu’ dalam kehidupan kita. Sejak pertama kali mata mula dibuka, sejak itulah kehidupan kita di alam ini mula terbuka. Dari mata kita boleh melihat, menafsir, merancang dan bertindak. Dengan mata kita boleh menikmati pemandangan alam yang indah. Dengan mata kita boleh melihat bukti – bukti kebesaran Allah SWT. Langit membiru, lautan yang luas dan dalam, gunung – ganang, pohon – pohon menghijau semuanya dapat dikecap dan dilihat dengan adanya mata. Hargailah nikmat mata yang ada agar kita dapat menjadi insane yang bertaqwa dan sentiasa berzikir dan berfikir tentang kehidupan yang sementara ini.

Senarai Journal dan Artikel Alam Sekitar 2008 -2009

1. Pencemaran Bunyi Lalu Lintas (klik http://artikelalam.blogspot.com)
2. Rawatan Tanah Tercemar (klik http://artikelalam.blogspot.com)
3. Air Bawah Tanah Semakin Terancam (klik http://artikelalam.blogspot.com)
4. Penyakit Sensitif Iklim (klik http://artikelalam.blogspot.com)
5. Kenderaan Bermotor Menyumbang Pencemaran Udara (klik http://artikelalam.blogspot.com)
6. Partikel Nano : Suatu Kebimbangan Baharu (klik http://artikelalam.blogspot.com)
7. CEMS Bantu Awas Pelepasan Asap Industri (klik http://artikelalam.blogspot.com)
8. Pengkomposan Jerami Padi dan Sawit (klik http://artikelalam.blogspot.com)
9. Krisis air global Kian Meruncing (klik http://artikelalam.blogspot.com)
10. Teknologi Pengenalpastian dan Pengawalan Pencemaran Bau (klik http://artikelalam.blogspot.com)
11. Pendekatan Mesra Alam Dalam Industri Padi (klik http://artikelalam.blogspot.com)
12. CP Merangsang Pertumbuhan Industri Mesra Alam (klik http://artikelalam.blogspot.com)
13. Lambakan Sisa Elektronik (klik http://artikelalam.blogspot.com)
14. Membangunkan RET (Renewable Energy Technology) Atasi Kemelut Minyak (klik http://artikelalam.blogspot.com)
15. Pertubuhan Alam Sekitar Rakan Kongsi Dalam Pembangunan (klik http://artikelalam.blogspot.com)
16. Bijak Urus Tanah Bandar (klik http://artikelalam.blogspot.com)
17. Mendidik Generasi Muda Mencintai Alam (klik http://artikelalam.blogspot.com)
18. Cabaran Perkembangan Populasi Dunia (klik http://artikelalam.blogspot.com)
19. Kesedaran Krisis Global (klik http://artikelalam.blogspot.com)
20. Aktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (klik http://artikelalam.blogspot.com)
21. Strategi Mesra Alam Bantu Kurangkan Impak Ekonomi Industri (klik http://artikelalam.blogspot.com)
22. Cabaran Urus Alam Sekitar Guna ICT (klik http://artikelalam.blogspot.com)
23. Tanggungjawab Menjaga Alam. (klik http://artikelalam.blogspot.com)
24. Semarak Semangat Sayangi Bumi (klik http://artikelalam.blogspot.com)
25. Teknologi Lestari , Reka Cipta dan Inovasi (klik http://artikelalam.blogspot.com)
26. Lima Langkah Didik Anak Sayangi Alam (klik http://artikelalam.blogspot.com)
27. Kuari dan Impak Terhdap Alam Sekitar (klik http://artikelalam.blogspot.com)
28. Pembangunan Industri Kalsium Karbonat dan Impak Terhadap Alam (klik http://artikelalam.blogspot.com)
29. Air Sisa Basuhan Jejas Kualiti Air (klik http://artikelalam.blogspot.com)
30. Penempatan dan Pengzonan Industri Cabaran Pengurusan Alam Sekitar (klik http://artikelalam.blogspot.com)

Gugusan esei dan artikel alam sekitar, segar dan bermanfaat untuk masyarakat.

Pencemaran Bunyi Lalu Lintas Di Malaysia


Jumlah kenderaan yang berada di jalan raya Malaysia semakin meningkat saban tahun. Sehingga kini dianggarkan nisbah kenderaan kepada bilangan penduduk Malaysia adalah sebanyak satu nisbah tiga (1:3). Iaitu lebih kurang sembilan juta kenderaan berada di atas jalan raya di seluruh negara pada setiap hari. Selain dari menyumbang terhadap pencemaran udara, kehadiran jumlah kenderaan yang banyak turut menghasilkan suatu bentuk pencemaran lain yang agak serius kepada rakyat iaitu pencemaran bunyi bising. Sekiranya jumlah kenderaan terus bertambah tahap bunyi bising akan terus meningkat dan ini bakal menimbulkan implikasi buruk terhadap rakyat. Persoalanya adakah kita telah bersedia menghadapi masalah ini ?

Pencemaran bunyi ditakrifkan sebagai pelepasan bunyi pada suatu tahap yang tidak diinginkan sehingga boleh mengganggu keselesaan hidup manusia dan alam sekitar. Walaubagaimanapun pencemaran bunyi kurang diambil perhatian dikalangan masyarakat. Ini mungkin kerana pencemaran bunyi tidak boleh dilihat impaknya dengan mata kasar berbanding dengan pencemaran air dan pencemaran udara. Hakikatnya, pencemaran bunyi mempunyai impak yang besar dan boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal, psikologi dan sosial kepada rakyat.
Dapatkan selanjutnya di Majalah Dewan Kosmik November 2009

Ada yang runtuh lagi


Dalam tahun ini banyak benda yang runtuh, bangunan runtuh, tanah runtuh, dan jambatan runtuh. Runtuh menunjukan sesuatu itu rapuh , tidak kuat dan tidak mampu menahan daya yang bertindak ke atas nya.

E - buku



Ini merupakan satu percubaan saya untuk menghasilkan kompilasi penulisan saya melalui e-buku. Teruskan untuk mengikuti perkembangan baharu dalam rangkaian blog paparian.blogspot.com. Ia merupakan suatu sumbangan ke arah menyebar luaskan kefahaman masyarakat mengenai isu – isu terkini mengenai alam sekitar secara local dan global. Isu alam sekitar kini mutli – dimensi memerlukan penyelesaian dan penjelasan yang berstrategi. Tiada cara lain untuk menyelesaikan problematik ini melainkan dengan pengangkatan kesedaran masyarakat ke tahap tinggi. Ia pastinya memerlukan usaha yang luar biasa hebatnya.

Ulasan Buku 'Blue Ocean Strategy'


Dipetik dari :




Abstrak : Strategi Laut Biru (Blue Ocean Strategy) merupakan suatu revolusi didalam strategi perniagaan dan inisiatif global bagi mengabungkan kreativiti dan inovasi di dalam perancangan perniagaan dan operasi bagi menguasai pasaran yang tidak terbatas. Suatu keusahawanan pada kelas dunia masa hadapan amat perlu bergerak jauh daripada pendekatan tradisi yang berorientasikan pendekatan meningkatkan produktiviti dan insentif kepada pelanggan – pelanggan untuk terus mengekalkan kedudukan teratas melalui persaingan yang menjerat leher.

Berdasarkan kajian yang mendalam terhadap sejumlah industri- industri pendahulu, penulis mengingatkan kita dalam senario perkembangan perniagaan tiada mana – mana syarikat atau pasaran atau gagasan perniagaan ulung akan kekal, sebaliknya kejayaan datang daripada keadaan proaktif dan bertentangan budaya, sosioekonomi, alam sekitar, kemajuan teknologi dan mengadaptasi rangka kerja baru dan perniagaan berasaskan alatan analatikal bagi membangunkan “Strategi Laut Biru”.

Dengan berkembangnya populariti Strategi Laut Biru, kesemua syarikat – syarikat kelas dunia akan meminggirkan kaedah tradisi yang mengambil pendekatan memaksimakan produktiviti atau merendahkan harga bagi melestarikan perkembangan yang boleh menguntungkan. Bagi menguasai peluang – peluang perniagaan, mereka perlu menganjak dari pendekatan peningkatan kemajuan dan mempunyai kuantum kejatuhan, melalui inovasi dengan utiliti pelanggan, harga dan kos yang menciptakan kesan paksaan kepada segmen pengguna yang tidak terhad. Strategi- strategi Laut Biru memerlukan fokus perniagaan yang jelas, bercambah dan merentasi pelbagai industri/perkhidmatan, kumpulan strategik didalam industri, rantaian pembeli – pembeli dan fungsi/emosi yang dipaparkan oleh pembeli-pembeli.

Suatu kes Curves; sebuah syarikat kelangsingan wanita di Taxes, di mana ia sangat Berjaya dalam menciptakan ruang Laut Biru dengan memotong dan memintas kelab – kelab kesihatan yang telah lama ditubuhkan dan senaman di rumah berkos rendah. Strategi perniagaan masa depan diumpamakan sebagai suatu peta lakaran yang dilukiskan di kain kanvas dan meletakan gambaran besar dalam fokus, mengiktiraf keperluan untuk berubah, meneroka opsyen-opsyen perniagaan, melakarkan nilai lingkungan melalui perspektif membuat keputusan dan mengekalkan dan hubungan efektif komunikasi.

Revolusi teknologi maklumat, globalisasi perniagaan dan peranan WTO, secara antarabangsanya terhadap alam sekitar, ketiadaan zon – zon masa dengan 24 x 7 operasi , telah memberikan impak yang besar terhadap strategi – strategi perniagaan keusahawanan.

Pimpinan global masa depan perlu melihat kewujudan permintaan, melakarkan pasaran baharu, meletakkan urutan strategik pembeli utiliti, harga, kos, pengangkatan dan masalah serta halangan organisasi. Penulis juga menegaskan dengan membina dan mengadaptasi Strategi Laut Biru ini ia bukan semudah dibentuk dengan hanya sehelai kertas tetapi ia memerlukan lakaran dinamik proses permintaan berterusan komitmen, integriti, kepercayaan, sikap positif pada tahap yang tinggi dan tenaga bagi mengekalkan tekanan – tekanan daripada pelbagai daya dan bergerak serta membina kepada pasaran tanpa persaingan ruang pasaran.

Jambatan Runtuh , Keselamatan Awam Terabai


Semalam berlaku kejadian jambatan runtuh, yang sekaligus mengakibatkan kehilangan nyawa seorang pelajar sekolah. Pelbagai reaksi ditunjukkan oleh rang ramai. Ada yang marah, geram dan rasa tidak puas hati dengan apa yang berlaku. Ada yang menyalahkan agensi kerajaan kerana tidak memantau projek ini, ada yang memarahi guru – guru kerana dikatakan cuai tidak mengawal para pelajar.

Saya mempunyai sedikit pengalaman mengendalikan kem bersama dengan pelajar – pelajar. Bagi saya aspek keselamatan amat penting dan perlu dititik beratkan dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan. Pada hemat saya dalam hal ini ada beberapa pengajaran yang perlu diambil ;

1. Pembinaan jambatan gantung memang tidak sesuai untuk di gunakan di Malaysia lagi, ini kerana sudah banyak teknologi baharu untuk membina jambatan yang kukuh dan mantap dengan kos yang berpatutan ada di negara ini.

2. Para guru yang mengendalikan program perlu mengambil perhatian penting mengenai aspek keselamatan; jangan mudah mengambil ringan terhadap sesuatu perkara.

3. Masyarakat harus memberikan pandangan dan teguran secara berhikmah menuduh agensi kerajaan tidak melakukan pemantauan merupakan persepsi yang tidak baik. Dalam kebanyakan hal pemaju yang melaksanakan projek selalunya gagal melaksanakan pembinaan yang baik.

4. Pemaju yang melaksanakan projek perlu jujur dan tidak hanya melihat aspek keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan awam.

Pengurusan Sisa Buangan Terjadual di Rumah


Sejauh manakah masyarakat kita sedar tentang Buangan Terjadual di Malaysia ? Buangan Terjadual merupakan istilah perundangan yang digunakan bagi bahan – bahan yang berpotensi mencemarkan alam sekitar. Ia di senaraikan didalam Peraturan – Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Tahukah anda buangan terjadual tidak hanya dihasilkan oleh aktiviti industri dan bengkel – bengkel kenderaan malahan di rumah sendiri pun kita menghasilkan bahan – bahan yang boleh diklasifikasikan sebagai buangan terjadual di Malaysia. Pengurusan buangan terjadual dari pihak industri boleh dikawal dan diuruskan melalui perundangan alam sekitar sedia ada. Namun bagi buangan terjadual yang dihasilkan dari rumah – rumah amat sukar dilakukan.


Ini disebabkan oleh beberapa faktor :


1. Ramai masyarakat masih tidak mengetahui jenis – jenis buangan terjadual yang dihasilkan di rumah .
2. Tiada usaha yang dijalankan bagi mengutip sisa buangan terjadual dari rumah ke rumah dijalankan.
3. Kurangnya kesedaran masyarakat mengenai buangan terjadual yang terhasil dari rumah.


Bagi merangsang kesedaran masyarakat mengenai hal ini, perkara yang paling utama perlu diberikan penekanan adalah pendidikan dari masyarakat. Kedua pihak pengeluar barangan kegunaan di rumah perlu memberikan maklumat mengenai setiap barangan yang bakal menjadi sisa buangan terjadual setelah tidak digunakan.

Manfaatkan tenaga dan masa yang ada


Dalam bidang kejuruteraan tenaga E dan masa T merupakan dua perkara yang penting dan boleh dikaitkan antara satu sama yang lain. Tenaga boleh wujud dalam pelbagai bentuk dan ia tidak boleh dimusnahkan. Di sekeliling kita terdapat tenaga yang sedang bergerak, bertambah dan berubah mengikut masa ruang dan waktu.

Dalam diri insan Allah menganugerahkan kita tenaga E dan masa T. Untuk dimanfaatkan, manusia mempunyai suatu bentuk keajaiban tenaga ‘E’ yang di berikan oleh Allah SWT iaitu tenaga keupayaan EU. Kita sendiri tidak menyedari tentang hakikat tenaga keupayaan EU yang diberikan kepada kita.

Yang pastinya masa T yang ada perlu dimanfaatkan dengan baik. Kita harus berupaya menggunakan tenaga E dan tenaga keupayaan EU, (E+EU) dan masa T dengan baik. Kita tidak seharusnya membazirkan tenaga –(E +EU) yang ada.

Saya merumuskan tenaga dan masa dalam kehidupan kita dalam persamaan ini :

E = (E + EU) * T

Pengajaran

Orang muda kena bekerja bersungguh – sungguh sebagai suatu jihad yang murni
Manfaatkan setiap masa yang ada untuk menambah ilmu,pengalaman dan mengembangkan potensi diri.
Jangan malas ! setiap detik masa berlalu masa dan tenaga terus mengalir manfaatkan dengan baik

Pembinaan Empangan Di Papar


Kebimbangan sesetengah penduduk mengenai impak alam sekitar melalui projek pembinaan empangan di Papar di suarakan melalui tindakan demonstrasi. Ini menunjukkan isu - isu yang melibatkan pengurusan alam sekitar menjadi perkara penting yang menarik minat masyarakat. Pada hemat saya orang kampung harus diberi peluang menyatakan pandangan dan kebimbangan mereka melalui ruang yang betul. Hal ini demikian kerana dalam isu yang melibatkan pembangunan tanah kawasan sensitif alam sekitar ramai dalam kalangan masyarakat tidak diberikan maklumat yang secukupnya. Penguasa pula perlu bersikap terbuka tanpa menafikan hak masyarakat untuk bersuara. Dalam menyelesaikan kemelut ini, pendekatan menang – menang harus diambil. Pembinaan masyarakat berminda lestari akan mampu dipupuk seandainya semua pihak melihat kepentingan ekosistem alam sebagai faktor penentu masa depan

Ramai Ilmuan Di Menara Gading Tidak Menulis !


Bahasa Melayu sebagai petunjuk tamadun

Oleh Anwar Ridhwan

Ilmuwan harus sahut cabaran hasilkan karya ilmiah bermutu tinggi untuk rujukan

CABARAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar ilmuwan Malaysia menghasilkan karya ilmiah bermutu tinggi (Berita Harian, 7 Oktober), kena pada masa dan wajar disambut. Bola kini berada di gelanggang ribuan ilmuwan yang berada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta, institusi penyelidikan dan pengembangan, serta yang bergerak sendirian.

Kuantiti dan kualiti penerbitan ilmiah dan penerbitan untuk bacaan umum di sesebuah negara selalunya dijadikan petunjuk tamadun sesuatu bangsa. Masyarakat hari ini tidak saja 'melihat' tamadun masa lampau berdasarkan tinggalan sejarah. Memang masyarakat hari ini akur wujudnya tamadun Romawi kerana sisa Roman Forum dan Colosseum; tamadun India kerana seni bina di Lembah Indus atas pendewaan Hindu, Buddha dan Jain; tamadun China kerana Tembok Besar; tamadun Mesir kerana Piramid dan tamadun Maya kerana Chichen Itza di Semenanjung Yucatan. Akan tetapi yang lebih penting daripada itu ialah tinggalan dalam bentuk teks persuratan dalam pelbagai jenis tulisan, termasuk pictographs dan ideograms.

Cabaran Timbalan Perdana Menteri itu ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 tentulah ada kaitannya dengan karya ilmiah bermutu tinggi dalam bahasa Melayu. Pastilah beliau secara yakin menyedari tamadun rantau ini amnya dan Malaysia khasnya, yang berpaksi pada bahasa dan kebudayaan Melayu. Mutakhir juga beliau sering berbicara mengenai usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu, termasuk menghapuskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012. Dapat juga diduga beliau meyakini bahawa bahasa Melayu akan menjadi lebih dinamik, relevan dan bermartabat sekiranya menjadi bahasa ilmu tinggi. Dalam konteks inilah cabaran itu dizahirkan dan sewajarnya disambut oleh ilmuwan. Ciri bahasa moden, termasuk bahasa Melayu, ialah kemampuannya untuk menjadi bahasa ilmu.

Ada empat elemen yang biasanya dikaitkan dengan bahasa. Elemen itu ialah bahasa yang didengar, bahasa yang dituturkan, bahasa yang ditulis dan bahasa yang dibaca. Ketika zaman primitif, dan pada ketika sesuatu bahasa dituturkan oleh kelompok terpencil, hanya dua elemen bahasa saja yang hidup � iaitu bahasa dituturkan dan bahasa yang didengar. Keperluan ilmu pengetahuan yang lebih canggih, yang mendorong kemunculan sesuatu tamadun, memerlukan dua elemen bahasa lagi iaitu bahasa yang ditulis, dan bahasa dibaca.

Tulisan kuno, pictograph, ideograms, rumi, jawi dan sebagainya sudah mentransformasi sesuatu idea yang abstrak dan berada dalam dunia fikiran, menjelma sebagai aksara dan wacana yang boleh dibaca dan difahami. Pangkal tamadun memerlukan pemikir yang boleh mencipta aksara, guru yang mengajar dan murid yang mempelajarinya. Aksara dan wacana sudah berperanan meluahkan sesuatu catatan atau pemikiran yang mudah, hinggalah kepada penzahiran idea serta pemikiran yang kompleks. Demikianlah proses tamadun itu berkembang dan menjadi perkasa.

Tamadun Malaysia kini terus memerlukan keempat-empat elemen itu bagi bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa kebangsaan. Sehubungan itu, mutu bahasa Melayu yang didengar, dituturkan, ditulis dan dibaca mestilah memperlihatkan peningkatan. Hal ini, lebih mendesak dewasa ini, ketika perkembangan bahasa Melayu sedang menghadapi ancaman. Akan tetapi kesungguhan pihak kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu mutakhir ini harus juga dilihat sebagai suatu peluang keemasan, terutama oleh institusi yang dipertanggungjawabkan mengembangkan bahasa Melayu.

Sebelum membicarakan aspek penerbitan dalam bahasa Melayu yang menjadi petunjuk tamadun, yakni merujuk bahasa Melayu yang ditulis dan yang dibaca, wajar juga disentuh mengenai bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar. Seperti dinyatakan, bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar, terutama dalam situasi rasmi, wajar memperlihatkan peningkatan mutu. Harapan ini sejajar dengar taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan.

Akan tetapi mutakhir ini, lebih-lebih lagi dalam situasi tidak rasmi, mutu bahasa Melayu yang dituturkan dan didengar, amatlah mengecewakan. Timbullah istilah 'bahasa rojak' dan sebagainya. 'Bahasa rojak' ini turut dipindahkan ke atas pentas, di rostrum ucapan dan diudarakan dalam penyiaran elektronik seperti radio dan televisyen. Akibatnya, bahasa Melayu tidak ditampilkan dengan citra yang baik dan yang sepatutnya. 'Bahasa rojak' terjadi kerana kelemahan penuturnya menguasai kosa kata, diksi dan aturan berbahasa dengan baik, bukan kelemahan bahasa Melayu itu sendiri.

Bahasa Melayu juga kerap kali dipinggirkan dalam ucapan atau acara yang sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan ini. Tokoh pemimpin pernah melakukannya. Agensi kerajaan pernah melakukannya. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pernah melakukannya. Pihak swasta pula memang tampaknya agak tidak menghiraukan bahasa kebangsaan kerana kurangnya peraturan serta pengawalan, serta tidak diberi contoh teladan yang boleh ditiru. Gejala ini wajar diperbaiki dan dihindari, bagi menjaga taraf dan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Lebih daripada bahasa yang dituturkan dengan baik dan didengar, bahasa Melayu memerlukan kepustakaan ilmu yang luas. Dalam hubungan inilah cabaran Timbalan Perdana Menteri itu dilontarkan ke tengah gelanggang ilmuwan.

Menurut perangkaan Perpustakaan Negara Malaysia, kebelakangan ini jumlah buku judul baru yang diterbitkan di Malaysia ialah antara 8,000 hingga 10,000 judul setahun, mengalami tahun pasang-surutnya. Jumlah ini meliputi semua buku untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa serta buku ilmiah dan bacaan umum. Daripada jumlah itu, jumlah buku ilmiah bermutu tinggi amat kecil bilangannya. Dalam penilaian memilih buku ilmiah terbaik, termasuk Anugerah Akademik Negara yang dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi, saingan karya ilmiah terbaik amat kecil dan tidak pernah sengit.

Jumlah penerbitan buku negara ini sewajarnya mencapai panduan umum sejagat, iaitu sekurang-kurangnya pada nisbah 0.01 peratus daripada jumlah penduduk. Dengan penduduk Malaysia dianggarkan 26 juta jiwa, maka judul buku baru setahun wajar mencapai 26,000 judul, bukan 10,000 judul seperti sekarang.

Dari manakah jumlah 26,000 judul baru itu, yang setengah daripadanya patut menjadi buku ilmiah boleh diperoleh? Dengan ada 20

IPTA, puluhan pusat penyelidikan dan pengembangan bidang tertentu dan ratusan IPTS peringkat kolej, kolej universiti dan universiti, jumlah 26,000 judul baru itu boleh dicapai sekiranya kebanyakan staf akademik dan penyelidik menerbitkan karya ilmiah mereka, setiap satu atau dua tahun. Malangnya kebanyakan mereka tidak menulis!

Gejala ini sewajarnya menggerakkan suatu kebangkitan kolektif bagi menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri itu. Sepatutnya pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, penerbit universiti, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), pusat penyelidikan dan pengembangan bidang tertentu, penerbit swasta dan pihak berkepentingan lain, segera duduk semeja menentukan strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi menerbitkan karya ilmiah bermutu tinggi. Sebelum tahun ini berakhir, pelan strategik penerbitan ilmiah wajar diumumkan untuk pengetahuan ramai.

Hal ini penting kerana massa perlu melihat kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi. Jika selama ini mereka boleh membaca buku ilmiah mengenai pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Inggeris, maka hasil pelan strategik itu nanti mestilah membolehkan mereka membaca pelbagai buku ilmiah pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Melayu.

DBP sering mencanangkan bahawa mereka sudah mencipta kira-kira sejuta istilah pelbagai bidang dan subbidang dalam bahasa Melayu. Akan tetapi peristilahan saja belum mencukupi bagi menyuburkan penulisan dan penerbitan karya ilmiah bermutu tinggi. Justeru, pelan strategiknya wajar turut mengambil kira latihan yang sistematik dan tekal dalam usaha memberi kursus bahasa dan laras bahasa, melatih penulis, editor umum dan editor bidang, pereka, ilustrator dan sebagainya.

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sedang berada dalam kedudukan genting dan mencemaskan. Kerajaan melalui Timbalan Perdana Menteri bukan saja melontarkan cabaran, malah memberi 'peluang kedua' untuk bahasa Melayu bangkit mengisi kepustakaan ilmu moden. Harapannya, karya ilmiah bermutu tinggi terus menjadi petunjuk kepada pengembangan tamadun dan dinamika bahasa Melayu itu sendiri.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara)

Bedah Buku


Bulan ini saya membaca 3 buku yang saya kira bagus untuk dibaca dan diteliti. Pertama buku Minda Lestari tulisan Zaini Ujang. Buku ini menampilkan koleksi tulisan beliau didalam berita harian ia mengupas banyak isu berkaitan pengurusan alam sekitar terutama sekali berkaitan dengan pengurusan air negara, falsafah dan dasar alam sekitar. Ia juga mengajak masyarakat untuk berfikir dan mengamalkan gaya hidup lestari.

Buku kedua yang dibaca ialah tulisan Dr. Jeniri Amir buku terbitan DBP berjudul Bahasa Negara dan Bangsa. Buku ini mengupas topik – topik berkisar pemerkasaan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan. Nasib bahasa melayu semakin terpinggir, kewujudan golongan yang disebut sebagai ‘minda tertawan’ kerana menyangka bahasa Inggeris sahaja membawa kemajuan perlu dibenteras di negara ini. Selain itu, beliau juga cuba menyarankan beberapa langkah pengukuhan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa pencetus perpaduan dan bahasa ilmu, sains dan teknologi.

Buku ketiga berjudul International Environmental Risk Management, ISO 14000 and the Systems Approach, atau dalam bahasa melayu sebagai Pengurusan Risiko Alam Sekitar Antarabangsa; ISO 14000 dan Sistem – Sistem Pendekatan. Buku ini cuba memperihalkan bagaimana pengurusan risiko alam sekitar seperti tumpahan minyak, sisa toksik dan bahan berbahaya, letupan, pelepasan gas dan asap industri mampu dikawal secara sistematik dengan menggunakan kedah Sistem Pengurusan Alam Sekitar (Environmental Management System). Ini kerana pendekatan secara perundangan dengan memperketatkan had pelepasan bahan pencemar dilihat masih tidak mampu meningkatkan kualiti pengurusan alam sekitar. Bahkan ada yang cuba memanipulasi dengan pelbagai helah dan cara. Penggunaan ISO 14000 dengan gabungan beberapa pendekatan lain bagi mengurangkan risiko alam sekitar adalah salah satu langkah terbaik yang boleh dilaksanakan. Buku ini juga menampilkan beberapa contoh pengurusan risiko alam sekitar yang berjaya diimplementasi dengan baik di beberapa negara oleh syarikat – syarikat antarabangsa.

Ada beberapa buah buku masih tertangguh untuk dibaca kerana kesibukan kerja yang tidak dapat dielakan antaranya ialah :

Falsafah sains dari persepektif Islam
Iskandar atau Zulkarnain
Yakjuj & Makjuj

Merancang Kejayaan


KEJAYAAN atau mencapai sesuatu yang dinginkan merupakan buruan setiap manusia. Lawan kepada KEJAYAAN adalah KEGAGALAN. Matlamat yang jelas dalam kehidupan mampu mendorong kita ke arah KEJAYAAN yang diinginkan. Antara ciri – ciri penting bagi orang yang berjaya adalah mereka yang bijak ‘merancang’ apa yang ingin dicapai dalam kehidupan. Persoalanya bagaimana ingin merancang untuk berjaya ?

Banyak tokoh – tokoh perniagaan yang berjaya, ahli koporat, jurutera, professor, motivator dan pemikir mempunyai satu formula yang sama. Formula pertama adalah dengan menulis matlamat yang ingin dicapai dengan jelas. Di turuti dengan langkah – langkah strategik untuk mencapai matlamat.

Ada orang yang berangan – angan untuk mencapai KEJAYAAN tapi tidak ‘merancang’ sesuatu untuk mencapainya. Akhirnya dia terus tengelam dalam angan – angan. Orang lain telah mencipta KEJAYAAN. Dia terus mencipta KEGAGALAN.

Dalam konteks Islam, merancang sesuatu amat penting. Ia terserlah dalam aspek peperangan, pentadbiran, perniagaan dan hubungan luar. Untuk mencipta sesuatu yang luar biasa, kita perlu melakukan usaha yang luar biasa hebatnya, dan kita perlu keluar dari kebiasaan.

Bencana Pemusnah Kelestarian Alam


Bencana Pemusnah Kelestarian Alam

Bagaikan tiada apa yang tinggal lagi.

Rumah – rumah hancur musnah, bangunan runtuh, jalan raya retak terbelah, manusia digilis di perut bumi, tertimbus, dihempap batu – batu bangunan, lanskap fizikal kampung, bandar dan didesa punah dalam pandangan mata. Gegaran dan gempa bumi tidak mengenal anak kecil, wanita, orang tua , pemimpin besar atau siapa sahaja.

Begitulah gambaran kemarahan alam terhadap penduduk bumi pasti ada sebab mengapa alam begitu marah dengan penduduk bumi ini. Menjadi iktibar bagi kita yang masih diberi nikmat yang besar. Juga menjadi peringatan kepada kita agar menjaga tatatertib dan kelakuan di atas muka bumi.

Manusia sering sombong dengan kuasa dan pencapaiannya. Sesungguhnya alam ini masih menanti untuk melanyak manusia lagi pada bila – bila masa. Benarlah apa yang di maksudkan oleh shahnon dalam revolusi yang ditangguhkan.

Ya Allah Ampunkan Dosa – Dosa Kami. Jauhkan Kami Dari Azab Siksa Di Dunia Dan Akhirat

Satu Malaysia Satu Bahasa


Bulan Bahasa Kebangsaan tengah berlangsung ketika ini. Ia membawa aspirasi besar untuk rakyat malaysia memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ini bererti bahasa melayu menjadi bahasa kebangsaan kepada semua rakyat berlainan bangsa di Malaysia. Ini termasuklah cina, india, iban, kadazan, bajau, penan, murut dan lain – lain bangsa yang menjadi warganegara.

Kini tahap pencemaran bahasa semakin terserlah didalam papan iklan, iklan TV, dan penggunaan bahasa oleh penyampai radio dan tv di negara kita. Dalam kalangan pencinta dan pejuang bahasa mereka menginginkan bahasa melayu dipertingkatkan dari segi laras, leksis, kota kasa, istilah dan tatabahasa. Ada yang berpandangan bahawa bahasa melayu hanya penting diperingkat SPM sahaja. Selepas itu bahasa melayu dilihat terus dicampak ke tepi. Bahasa inggeris digunakan secara aktif diperingkat pengajian tinggi.

Malahan disesetengah sektor awam, dalam konteks penulisan garis panduan teknikal bahasa inggeris terus digunakan. Nampaknya fenomena ‘minda tertawan’ dengan bahasa inggeris ini masih berlarutan dan akan berterusan sama ada diperingkat tinggi kakitangan awam dan juga para sarjana di peringkat pengajian tinggi. Hal ini melihatkan suatu paradoks dan kejanggalan.

Pada hemat saya, bahasa melayu perlu dimartabatkan sebagai bahasa penyampai pemikiran masyarakat malaysia. Kita sering mendengar orang melayu yang masih mencampur adukan bahasa melayu dan bahasa inggeris dalam perbualan, pengucapan dan percakapan. Kita masih mendengar masih terlalu ramai mereka dari bangsa – bangsa lain selain melayu tidak fasih berbahasa melayu walau sudah hampir 45 tahun hidup di negara berbahasa melayu. Bahasa melayu yang digunakan masih ditahap budak sekolah tadika yang baharu belajar membaca dan menulis.

Jesteru itu saya menyeru kepada rakan – rakan di semua peringkat untuk meneruskan ketekalan dalam memperjuangkan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi, ilmu, sains dan teknologi. Bahasa melayu merupakan aset yang amat bernilai. Rata – rata bangsa yang menggunakan bahasa asal mereka adalah bangsa yang berjaya.

Pengisian hari raya untuk generasi muda


* dipetik dari Utusan Malaysia 25 september 2009


Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD

HARI Raya Aidilfitri terus disambut penuh kesyukuran oleh umat Islam di negara ini yang berjumlah lebih 16 juta orang. Ia dirayakan penuh meriah oleh semua lapisan generasi.
Namun dalam kemeriahan kita menyambut hari raya, kita harus memikirkan apakah pengisian yang sesuai untuk generasi muda kita? Ini kerana ada di kalangan generasi muda kita yang tersimpang dalam menyambut hari raya. Bagi sesetengah mereka hari raya dianggap sebagai pesta muda mudi untuk berseronok dan bergembira.
Generasi muda kita seolah-olah dibiarkan sahaja dalam menentukan pilihan dan cita rasa mereka dalam menyambut hari raya. Hal ini sekiranya dibiarkan berlarutan sudah tentu akan memadam makna dan pengertian Aidilfitri yang sebenar.
Ini kerana Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah. Bulan Ramadan yang dilalui selama sebulan berperanan untuk menyucikan diri manusia daripada segala dosa dan kemaksiatan. Ia mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kemungkaran agar kembali kepada fitrah insan yang mengabdikan diri seutuhnya kepada Allah SWT.
Bagaimanapun pengertian Aidilfitri ini dicalarkan dengan pengisian hari raya yang tidak bermanfaat di kalangan generasi muda. Ada di antara remaja kita menghabiskan masa di hadapan TV menonton rancangan filem, hiburan dan persembahan artis yang dianggap lebih menarik perhatian mereka.
Ini menyebabkan mereka 'malas' untuk melakukan amalan ziarah menziarahi di kalangan sesama keluarga dan jiran tetangga.
Selain itu ada dalam kalangan generasi muda pula yang menghabiskan masa berpeleseran di kompleks membeli-belah, pawagam, kompleks boling dan pusat hiburan. Kelihatan pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan juga berlaku.
Ada antara mereka yang berpakaian menjolok mata sehingga mendedahkan aurat, berpegangan tangan dan berpelukan antara lelaki dan perempuan.
Amat menyedihkan lagi didapati mereka adalah remaja yang berumur dalam lingkungan belasan tahun. Apakah yang bakal berlaku seandainya perkara ini terus membudaya di kalangan generasi kita pada masa akan datang? Tidak cukup dengan pergaulan bebas di pusat hiburan ada remaja yang menghabiskan masa cuti hari raya dengan merempit di jalan raya.
Situasi ini seharusnya dipandang serius oleh semua pihak. Kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak tidak seharusnya dijadikan 'tiket' untuk remaja berseronok sehingga menjual maruah diri dan merosakkan nama agama.
Dalam masa yang sama ibu bapa harus memantau pergerakan anak-anak semasa cuti hari raya. Kita tidak inginkan anak-anak remaja Muslim menjadi hamba kepada keseronokan. Apa yang kita impikan hari raya ini disambut dengan penuh pengertian dan pengisian yang bermakna.
Dalam hal ini ibu bapa seharusnya menyediakan pengisian program hari raya yang khusus untuk anak-anak remaja mereka.
Ini bukan bertujuan untuk mengongkong mereka bersosial. Tetapi ia bertujuan mengawal mereka daripada pengaruh negatif yang boleh merosakkan akhlak dan pemikiran remaja Muslim kita.
Sekurang-kurangnya ada empat pengisian program hari raya yang boleh dilakukan oleh ibu bapa khususnya kepada generasi muda.
Pertama; program ziarah keluarga.
Ia perlu dijadikan kewajipan di kalangan anak-anak remaja kita. Amalan ziarah menziarahi antara sesama saudara mara perlu dibudayakan.
Di samping itu berhari raya dengan memakai pakaian yang bersopan dan menutup aurat adalah suatu perkara yang harus diteruskan. Ini kerana ramai di kalangan generasi muda kita yang memandang enteng terhadap amalan menutup aurat.
Menziarahi datuk, nenek dan seluruh ahli keluarga yang berdekatan amat penting dilakukan. Ia dapat mengukuhkan silaturahim dan ukhwah di kalangan keluarga umat Islam. Dalam masa yang juga ia dapat melahirkan rasa hormat dan kasih sayang di kalangan golongan tua dan muda.
Kedua; mengunjungi tanah perkuburan. Mengunjungi pusara saudara mara yang telah meninggal dunia merupakan amalan murni yang mempunyai hikmah yang amat besar. Amalan ini dapat melahirkan rasa insaf di kalangan remaja tentang hakikat kehidupan yang cuma sementara.
Ia juga dapat menjalin rasa kekeluargaan tinggi di kalangan remaja.
Ketiga; amalan solat berjemaah.
Di kalangan anak-anak remaja, kesempatan untuk berkumpul bersama-sama boleh dimanfaatkan untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah.
Bapa menjadi imam kepada anak-anak dan menyampaikan amanat sempena hari raya. Amalan bersalaman dan bermaaf-maafan dapat mengeratkan tali silaturahim di kalangan ahli keluarga.
Dalam masa yang sama amalan solat berjemaah dapat membina kekuatan iman dan membina benteng pertahanan rohani yang mantap.
Keempat; amalan rumah terbuka untuk anak remaja.
Rakan-rakan anak remaja kita perlu diraikan dalam majlis rumah terbuka yang khusus untuk mereka. Dengan ini ibu bapa dapat mengenali siapakah rakan anak-anak remaja mereka.
Majlis seumpama ini juga dapat mengelak daripada perbuatan sumbang yang menyimpang daripada ajaran Islam. Hal ini dapat menghindarkan anak-anak remaja daripada menghabiskan masa di kompleks membeli-belah dan pergaulan bebas tanpa batasan.
Masih belum terlewat untuk kita memimpin generasi muda bagi menghayati Aidilfitri dengan pengisian bermanfaat.
Marilah kita bersama-sama menjadikan Hari Raya Aidilfitri ini sebagai titik perubahan untuk membina generasi muda Islam yang menghayati ajaran Islam dengan seutuhnya.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri


Tahun ini saya dan keluarga tidak balik beraya di Sabah. Bagi saya tidak beraya di kampung halaman sudah menjadi lumrah sebagai seorang ‘perantau’. Sejak belajar di Universiti dahulu pun saya jarang sekali balik ke kampung halaman, maklumlan duit pun tak cukup. Pada masa itu saya dan kawan –kawan seborneo menyambut hari raya di kampus.

Bagi perantau dunia ini dari segi geografinya masih terlalu kecil. Teknologi telah memendekan jarak diantara dua lokasi yang jauh, teknologi juga membolehkan seorang anak dan ibu berkomunikasi penuh mesra walaupun jarak berjuta batu memisahkan.

Hari raya pada tahun ini di sambut penuh kesyukuran dalam masa yang sama menilai semula amal yang dilakukan dalam bulan Ramadhan yang lalu. Menjadi harapan bagi setiap muslim ialah untuk menyuburkan sikap taqwa di dalam diri sebagai yang mendasari watak sebenar dalam kehidupan kita.

Walau tidak berhari raya di Sabah. Berhari raya bersama Isteri dan anak saya muadz 8 bulan cukup meriah di Kedah.Tidak jauh beza sambutan hari raya di sini dan sini. Asimilasi budaya melayu – Islam telah berlangsung dengan subur sejak beberapa dekad. Kepada rakan – rakan di masa sahaja berada termasuk mereka yang menyambung pengajian di luar negara semoga tabah meneruskan perjuangan membina kekuatan Umat dengan garapan ilmu yang benar. Kepada saudara mara saya di Sabah, di Kedah dan di mana sahaja saya ucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri , sambutlah dengan penuh kesyukuran jauhkan pembaziran, semoga beroleh ketaqwaan.

Melabuhkan Tirai Ramadhan


Ramadahan bakal melabuhkan tirainya…. Rahmat, keampunan dan pembebasan dari azab neraka itulah yang kita harapkan dari Allah SWT. Mudah – mudahan kita dapat meningkatkan ketaqwaan kita menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur diatas limpahan nikmat yang diberikanNYA kepada kita. Rezeki yang dikurniakan kepada kita, nikmat alam yang diberikan kepada kita dan nikmat Islam yang menjadikan kita insan yang kenal tentang kehidupan kita yang hanya sementara ini. Bagi orang – orang beriman rasa sedih untuk meninggalkan bulan ramadahan dalam beberapa hari lagi amat dirasai. Mudah – mudahan Allah memberi kesempatan untuk kita bertemu di bulan ramadahan tahun hadapan. Aidilfitri yang bakal disambut merupakan suatu tanda kemenangan bagi orang – orang yang beriman. Masa yang berbaki ini marilah kita manfaatkan denganberzikir dan berdoa kepada Allah SWT.

Teruskan Mujahadah

Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk. Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh sesungguhnya Kami akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka, dan Kami akan membalas apa yang mereka telah kerjakan - dengan sebaik-baik balasan. (Surah Al – Ankabut ; ayat 6 -7)


Membangun Jiwa Muttaqin




Pada 1 september 2009 yang lalu saya berkesempatan ke majlis ‘excutive talk’ anjuran INSPIN Kedah. Syarahan di sampaikan oleh Prof. Dr Sidek Baba pensyarah UIA. Antara intipati syarahan beliau adalah berkisar mengenai konsep taqwa dan konsep I (Islam Ihsan, Ikhlas).

Puasa merupakan madrasah tarbiyah untuk membentuk jiwa mutaqqin. Jiwa mutaqqin terbentuk melalui usaha yang bersunggguh – sungguh. Taqwa adalah tingkat tertinggi bagi orang – orang beriman . Jiwa mutaqqin dapat dibentuk oleh umat islam melalui 5 perkara penting yang perlu dihayati dengan baik.

Sebagai hamba kita perlu faham tentang status kita sebagai hamba di atas muka bumi ini. Hamba Allah, berjiwa hamba merasa kerdil terhadap pencapaian diri. Hanya Allah yang maha berkuasa. Oleh itu kita tidak perlu takabur, angkuh dan sombong tentang apa yang kita capai kerana semuanya datang dari Allah SWT. Kita hanya menumpang diatas muka bumi ini. Kita tidak memiliki apa – apa kekuatan sebenarnya. Sampai masanya kita kan dijemput pulang ke tempat yang abadi. ‘Hamba’ dalam erti kata menunaikan ibadah dengan sepenuh penghayatan bahawa kita akan selama-lamanya berstatus hamba. Melakukan ibadah dengan ikhlas dan ihsan.

Faham status sebagai khalifah, kita merupakan pengurus alam diatas muka bumi ini. Kerana kita dikurniakan kelebihan berbanding dengan makhluk lain. Kurniaan akal dan pancaindera yang lengkap membezakan kita dengan haiwan. Ia memberi kemudahan dan kebijaksanaan kepada manusia untuk mengurus alam secara lestari. Sebagai khalifah manusia perlu mengurus alam ini secara berakhlak dan beradab. Manusia yang beradab dan berakhlak mampu membina peradaban yang unggul.

Ilmu, manusia mempu mencapai tingkat taqwa yang tinggi denganya. Ilmu yang benar bersumberkan Al Quran, Hadis, lalu dikembangkan dalam konteks ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem. Yang mana ilmu mengurus diri – fardu ain menjadi akar tunjang yang kukuh membina batang pohon yang kuat, manakala ilmu mengurus alat adalah sebagai bunga, dahan dan daunnya. Seandainya akar tunjang dan btang pohon tidak subur dan rapuh maka pohon tidak akan berbuah lebat dan hanya akan menjadi toksik dan racun kepada dunia.

Tauladan, umat Islam diberi tauladan terbaik yakni Rasullulah SAW. Sebagai sumber ikutan. Rasullulah meninggalkan kita dengan sumber ilmu, sistem muamalah, sistem sosial dan sistem pentadbiran dengan baik. Ia perlu ditelusuri oleh kita semua dengan mengambil hikmah daripadanya. Kita juga mempunyai teladan baik seperti para sahabat, ulama – ulama, pejuang dan aktivis islam dari dahulu sehinga kini. Sekiranya kita tidak berusaha mengali, mencari, mengkaji dan mempelajari tinggalan yang cukup bernilai ini dikhuatiri kita akan menerima sistem asing yang kini ditaja oleh pihak barat.
Rahmat dan nikmat, yang dikurniakan oleh umat Islam cukup besar sekali. Di Negara – Negara Islam terlalu banyak sumber – sumber asli yang dikurniakan. Sebagai contoh simpanan minyak terbesar didunia, uranium untuk janakuasa tenaga, dan kesuburan muka bumi untuk pertanian. Namun ia kelihatan tidak dimanfaatkan dengan baik, tidak diurus dengan cemerlang oleh orang Islam. Sehingga orang bukan Islam melalui syarikat multi nasional mengambi dan mengurus sumber – sumber ini akhirnya, umat Islam ketinggalan dalam segala bidang ilmu dan orang bukan Islam menguasai umat Islam. Umat Islam harus memanfaatkan rahmat dan nikmat ini untuk meningkatkan kemajuan dan membina tamadun yang diasaskan dengan ketaqwaan.

Malaysia dan pengisian kemerdekaan penuh makna.


Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun. Tidak dapat dinafikan kestabilan politik dan keharmonian hidup masyarakat Malaysia yang multietnik adalah faktor terpenting dalam memacu perkembangan ekonomi negara.

Dalam tempoh 52 tahun ini negara telah berjaya menciptakan pembangunan infrastruktur yang cukup mengkagumkan. Tahniah dan terima kasih kepada para pejuang Agama Islam, bangsa dan negara ini yang telah memperjuangkan kemerdekaan dan membangunakan negara dengan baik sekali !!

Syukur kehadrat Allah swt yang tidak terhingga kerana Allah melindungi rakyat dan pemimpin kita dari segala kemudaratan serta bebas daripada belenggu penjajahan. Malah negara kita jauh sekali dari penindasan kuasa asing seperti mana yang berlaku terhadap umat Islam di Gaza.

Mereka ditindas, didera, dibom, diserang dan diusir seperti binatang oleh Yahudi – Zionis yang berhati durjana. Sebelum ini Umat Islam di Bosnia juga pernah mengalami penghapusan etnik secara besar – besaran. Darah – darah sembelihan manusia mengalir di sana – sini. Ibu yang tengah mengandung disembeli perutnya. Anak kecil kehilangan kedua kaki. Bayi baharu dilahirkan mati dalam rempuhan peluru berpandu.

Syukur kita panjatkan ke hadrat Allah dan kita memohon di jauhkan dari segala penindasan kuasa asing yang boleh menggugat keamanan negara ini.

Sejak pertengahan tahun 1980an hingga tahun pertengahan tahun 1990an Malaysia telah mengalami pembangunan pesat dalam sektor perdagangan dan perindustrian. Pelbagai dasar telah diwujudkan termasuklah dasar penswastaan negara. Ia sedikit sebanyak memberikan kesan positif dalam memacu perkembangan sektor ekonomi negara. Kesanya ramai pelabur asing melabur dalam negara dan Malaysia muncul sebagai antara kuasa ekonomi di rantau asia.

Dalam konteks pendidikan pertumbuhan pesat kampus dan universiti baru menyerlahkan kemampuan negara sebagai sebuah negara yang cemerlang dalam bidang pendidikan. Kita menawarkan pelbagai bidang pengajian yang berasaskan teknologi tinggi.

Sungguhpun begitu, sebagai rakyat yang cintakan negara kita perlu bersikap jujur dan menyatakan kebenaran. Kita wajar mempunyai sikap kritis dalam menilai setiap aktiviti pembangunan yang dilakukan dinegara kita. Sikap kritis yang ada pada setiap rakyat akan menjadikan negara kita lebih maju. Pemimpin yang bersedia di kritik dan menerima kritikan secara konstruktif adalah pemimpin yang berjiwa besar.

Dalam menilai pembangunan kita tidak seharusnya melihat pembangunan dalam konteks material semata – mata. Paling penting perlu dilihat ialah dalam konteks pembangunan ’sahsiah rakyat’ yang menjadi agen utama dalam membangunkan negara ini.

Selama 52 tahun merdeka kita wajar bertanya apakah indeks prestasi sahsiah rakyat Malaysia ?

Antara persoalan lain yang perlu kita lontarkan ialah :-

Sejauh mana akhlak rakyatnya ?
Sikap golongan muda terhadap golongan tua ?
Amalan terhadap alam sekitar masyarakat malaysia?
Sikap pemanduan rakyat Malaysia
Pembasmian golongan penagih dadah ?
Budaya ilmu masyarakat Malaysia sudahkah ia berjaya ?

Pada hemat saya ia memerlukan suatu jawapan yang panjang untuk difikirkan bersama. Kita mungkin telah merdeka dari sudut kemunduran dari segala kemudahan bekalan asas untuk kehidupan tapi kita masih terbelenggu dalam penjajahan mental, sikap, pemikiran, psikologi, hiburan, bahasa dan budaya asing yang mengelirukan.

Kerana kita bukan sekadar mahu membangunkan negara ini. Tetapi kita mempunyai misi dan visi yang besar iaitu untuk membina suatu tamadun manusia yang kuat, tahan, ampuh dan beriman kepada Allah swt.

Dalam konteks Islam kemerdekaan yang sebenar ialah apabila kita bebas dari segala belenggu kegelapan yang memenjara hati, akal, iman dan perasaan kita. Kita memerlukan perubahan yang radikal dalam pandangan hidup kita. Memurnikan hati dengan zikir, dan mencerahkan minda dengan fikir.

Jiwa merdeka adalah jiwa yang mengalami pencerahan!

11.54 malam 31.Ogos.2009.