Sistem pengurusan berkesan mampu kurangkan risiko bencana


Sistem pengurusan berkesan mampu kurangkan risiko bencana - Rencana Berita Harian 20 Jun 2008 (jumaat)

SEJAK kebelakangan ini pelbagai bencana alam berlaku di serata dunia. Dalam tempoh enam bulan tahun ini saja masyarakat dunia digemparkan dengan dua peristiwa bencana alam yang amat dahsyat iaitu taufan Nargis di Myanmar dan gempa di China. Bencana alam itu meragut ribuan nyawa manusia, kemusnahan tempat tinggal, kehilangan dan kerosakan harta benda serta kemusnahan alam sekitar. Rantau Asia juga pernah dikejutkan dengan bencana tsunami. Akibatnya ratusan ribu nyawa terkorban terutama di utara Sumatera dan beberapa kawasan kediaman di wilayah Aceh, lenyap dalam pandangan mata. Tragedi menyayat hati ini membuktikan betapa bencana alam yang berlaku kadang kala datang tanpa diduga. Statistik menunjukkan sejak 1992 hingga 2002, di Asia saja kejadian bencana alam menjejaskan kehidupan 1.7 juta manusia dan meragut 420,867 nyawa. Ia juga turut menyebabkan kerugian harta benda sebanyak AS$369 bilion.

Kemunculan bencana di tengah-tengah gelombang pembangunan memberikan ancaman besar kepada keselamatan dan ekonomi sesebuah negara. Bencana yang berlaku boleh membawa kerugian harta benda dan nyawa. Tambahan pula langkah pemulihan selepas bencana mengambil masa panjang dan membabitkan kos yang tinggi. Selepas bencana menimpa, masyarakat berdepan pula dengan rantaian kesan sampingan, seperti wabak penyakit berjangkit dan masalah kekurangan bekalan makanan. Disamping itu, bencana alam yang berlaku juga meninggalkan kesan psikologi yang mendalam kepada rakyat. Peristiwa bencana di serata dunia seharusnya menjadi iktibar kepada kita khususnya di Malaysia. Hakikatnya tiada satu pun negara yang kebal daripada bencana alam yang menimpa. Kita amat bersyukur kerana di negara kita belum ada lagi ditimpa kejadian bencana alam yang meragut ribuan nyawa manusia.

Bencana alam yang berlaku di seluruh negara memerlukan suatu sistem pengurusan yang berkesan. Pengalaman kita dalam menghadapi bencana banjir di Johor dan Pahang pada 2007, seharusnya dapat mempertingkatkan kesedaran untuk memperbaiki sistem pengurusan bencana alam di Malaysia. Walaupun bencana alam yang datang tidak mampu dielakkan, kita masih berpeluang untuk mengurangkan risiko bencana melalui sistem pengurusan bencana yang berkesan. Kegagalan untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda ketika berlakunya bencana adalah disebabkan oleh beberapa faktor utama.

Antaranya, ketiadaan sistem amaran awal, kegagalan sistem penyampaian maklumat, kurangnya kesedaran masyarakat dan lemahnya koordinasi antara agensi kerajaan dan orang awam dalam melakukan tindakan ketika bencana berlaku. Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) bencana ditakrifkan sebagai kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat.

Pengurusan risiko bencana alam perlu dilihat dalam perspektif menyeluruh, merangkumi aspek persediaan menghadapi bencana, mengenalpasti risiko bencana yang hadir, pencegahan dan tebatan, tindakan ketika bencana serta langkah pemulihan selepas sesuatu bencana itu berlaku. Risiko sesuatu bencana terhadap alam sekitar sebenarnya boleh dikenal pasti dengan kajian penilaian risiko sebelum sesuatu bencana berlaku. Kajian penilaian risiko bencana dapat memberikan maklumat mengenai sifat bencana, tahap risiko dan langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko bencana. Kajian penilaian risiko juga dapat membantu memberikan maklumat mengenai kaedah dan tindakan yang boleh diambil apabila sesuatu bencana berlaku. Maklumat yang diberikan melalui kajian ini amat bermanfaat untuk menghasilkan piawaian operasi kerja dalam menangani sesuatu kejadian bencana.

Selain itu, pembangunan keupayaan melalui latihan dan kerjasama antara agensi amat penting dalam meningkatkan kecekapan pengurusan bencana. Koordinasi yang baik antara agensi kerajaan difikirkan amat penting dalam membentuk suatu tindakan bersepadu. Selain itu juga kewujudan badan bukan kerajaan yang aktif di Malaysia perlu dilibatkan secara bersama dalam pengurusan bencana alam. Kurangnya kesedaran masyarakat untuk melakukan persiapan awal sebelum bencana alam berlaku sering kali menjadi isu setiap kali bencana melanda. Sikap sambil lewa segelintir masyarakat sering mengundang padah apabila sesuatu bencana berlaku.

Di samping itu, sistem amaran awal (SAA) yang berkesan perlu dilihat sebagai satu daripada mekanisme terpenting dalam mengurangkan risiko bencana. Sistem amaran awal yang disokong dengan penggunaan teknologi terkini seperti ICT dapat memberikan maklumat awal kepada masyarakat untuk bertindak serta-merta. Usaha bagi mengawasi tren perubahan bencana alam memerlukan suatu kaedah pengawasan yang sistematik. Perkongsian bijak pelbagai agensi kerajaan dan institusi penyelidikan bagi membangunkan sistem pangkalan data maklumat bencana amat perlu diadakan.

Memugar Idealisma Qurani: Keteladanan Pemuda Kahfi

Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.Dan Kami telah meneguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.Kaum kami telah menjadikan selain Dia tuhan-tuhan (untuk disembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?


(Al-Kahf:13-15)


Pemuda Kahfi adalah sekumpulan pelaku sejarah yang mengabadikan keunggulan iman, kecerdasan akal, keberanian bersikap dan bertindak Mereka bangkit melepaskan diri daripada belenggu budaya dan tradisi pembodohan: penguatkuasaan dan pemaksaan amalan menyembah berhala, budaya warisan yang dipertahankan dengan setia tanpa dipersoalkan rasionalitinya, tanpa dipertanyakan kerelevanannya.


Fitrah insani yang masih dimiliki tujuh pemuda Kahfi itu tidak dapat menerima agama dan budaya yang tidak serasi dengan kesejatian sifat keinsanan yang memang tercipta dalam acuan tauhidik - kecenderungan fitri kepada penyembahan Tuhan Yang Maha Esa, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna. Akal sihat pemuda Kahfi tidak dapat menerima faham yang tidak rasional. Kemampuan dan keberanian berfikir kritis-evaluatif telah menghasilkan keberanian bersikap - menolak kesesatan yang telah begitu lama membudaya dan mencari alternatif yang benar dan meyakinkan.


Fitrah insani yang masih dimiliki tujuh pemuda Kahfi itu tidak dapat menerima agama dan budaya yang tidak serasi dengan kesejatian sifat keinsanan yang memang tercipta dalam acuan tauhidik - kecenderungan fitri kepada penyembahan Tuhan Yang Maha Esa, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna.


Intisari ayat : -


• Akal sihat pemuda Kahfi tidak dapat menerima faham yang tidak rasional. Kemampuan dan keberanian berfikir kritis-evaluatif telah menghasilkan keberanian bersikap - menolak kesesatan yang telah begitu lama membudaya dan mencari alternatif yang benar dan meyakinkan.


• Ketulusan mencari kebenaran mendapat perhatian dari langit. Pemuda Kahfi mengalami pencerahan hidayah, lalu menemukan hakikat tauhid, Tuhan yang hakiki hanyalah Allah, satu-satunya Pencipta, Pemilik dan Penguasa langit dan bumi seisinya.


• Kebenaran adalah kurnia istimewa yang paling berharga dan membanggakan. Pemuda Kahfi membuat deklarasi tauhid, suatu keberanian yang tercetus dari kekentalan iman dan kebanggaan memilikinya. Motifnya bukan sekadar ingin membuat kejutan atau bangga dengan sikap berani berbeza, tetapi secara tidak langsung menyedarkan masyarakat agar berfikir, mengaktifkan akal sihat yang selama ini beku terbelenggu dalam budaya “dikir barat” - sebut apa sahaja yang disebut oleh “tukang karut” termasuk segala karut dan carutnya. Memang deklarasi tersebut cukup menggemparkan. Mungkin kejutan seperti itulah yang diperlukan oleh masyarakat yang telah lama kehilangan daya fikir dan kematian idealisme untuk membangkitkan akal yang tidur dan menghidupkan hati yang mati.


• Deklarasi tauhid pemuda Kahfi segera dirasakan sebagai gugatan terhadap kemapanan dan kestabilan serta ancaman terhadap pihak-pihak yang berkepentingan. Raja yang selama ini ikut di”berhala”kan bertindak memberikan kata dua: rujuk ke tradisi datuk nenek, atau hadapi tindakan brutal pihak penguasa.


Tulisan Dr. Sidiq Fadhil

Mengenang Hari Ahad, Hari Bapa, Hari Pemergian Bapa

Hari ini 15 Jun 2008 sambutan hari bapa, hari ini juga hari ahad, hari di mana pemergiaan bapaku, sudah hampir 5 bulan pemergianya, semakin terasa kehilanganya. Nasihat - nasihatnya penuh bermakna. Semenjak aku berhijrah ke tanah semananjung banyak pesananya kepada ku.

Aku sedikit terkesan dan terasadengan pesanan-pesananya yang amat berbeda dengan pesan yang sebelum –sebelumnya. Baru saja sebulan pernikahanku, Allah menjemputnya pulang ke destinasi yang abadi pada ahad 27 Januari 2008.

Bila mengenang hari – hari terakhir hayatnya Arwah amat sibuk memikirkan kenduri perkahwinanku di Sabah. Amat besar keinginanya melihat majlis itu berlangsung dengan penuh meriah. Mama menyatakan arwah tidak putus- putus menyebut namaku.

Kenangan yang tidak mungkin aku lupakan adalah sebelum majlis pernikahan berlangsung Arwah sempat memandikanku dengan bacaan doa. Titis air matanya mengalir di pipi tika menuangkan air ke rambut ku.... usapan tanganya ke ubun rambutku terasa amat syahdu.....

Bagiku dia lah wira....... jasa dan pengorbananya tetap tersemat didalam kalbu
Bagiku dia berjasa dalam keluarganya menjadi teladan memimpin masyarakat di desa
Aktivis masyarakat yang berani, tegas dalam keputusanya, tinggi budi bahasanya........

Kali terakhir aku menghubunginya, suaranya kelihatan tidak selancar biasa, batuk – batuk .......
Namun arwah tetap mengatakan dirinya sihat ........

Hari Ahad dalam kenangan aku menerima SMS ringkas dari abang manap ......”BAPA SAKIT”
Hati ku berdegup kencang, terlintas sesuatu di kepala ku terbayang wajahnya tersenyum. Teringat aku di saat arwah bapa sakit selepas hari raya dulu....

Hati ku terus berdebar kencang .... pemikiran ku melayang jauh merentas laut cina selatan ....
Wajah senyum nya terus membayangi mata ku..... pukul 5.30 petang aku merasa teramat syahdu seolah – olah aku sedang bersalaman mencium tangan arwah bapa selepas solat maghrib terakhir denganya....

Allah tempatkan Arwah Bapa di Kalangan orang – orang yang Soleh.... Ampunkan Dosa – dosanya .....

Transformasi sumber tenaga baru



Transformasi sumber tenaga baru - Utusan Malaysia 12 Jun 2008
Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD

KENAIKAN harga minyak sebagai bahan asas tenaga telah memberi impak yang besar kepada masyarakat dunia. Minyak merupakan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Rezab minyak yang ada di negara kita akan berkurangan dalam tempoh beberapa tahun mendatang, menjelang tahun 2014 Malaysia akan menjadi negara pengimport minyak sepenuhnya.

Justeru, saranan Perdana Menteri untuk membangunkan teknologi tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy Technology - RET) semasa majlis penyampaian Anugerah Bandar Lestari 2006/2007 dan Anugerah Langkawi 2007, pada 5 Jun lalu wajar diambil kira kepentingannya bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber minyak.

Pada masa yang sama Hari Alam Sekitar Sedunia (HASS) tahun ini juga menganjurkan masyarakat untuk meninggalkan amalan pembebasan gas karbon dioksida yang boleh mencemarkan alam. Ini kerana, peningkatan aras karbon dioksida di dalam udara akan menyebabkan fenomena pemanasan global yang menghadirkan impak bencana luar jangka serta boleh membinasakan dunia. Sejajar dengan itu, pembangunan teknologi tenaga boleh diperbaharui yang bebas karbon amat perlu diusahakan.

Sememangnya kita tidak boleh menunggu dan memikirkan sampai bilakah harga minyak akan turun. Kita perlu beralih dan melakukan transformasi besar-besaran kepada teknologi yang berasaskan sumber boleh diperbaharui. Kita tidak boleh menunggu sehingga harga minyak di pasaran dunia meningkat sehingga RM300 setong.

Oleh itu para saintis, jurutera dan para cendekiawan ekonomi di negara ini perlu bersatu mencari formula baru untuk meringankan beban rakyat, bukan sekadar menyatakan angka-angka statistik untuk bacaan rakyat semata-mata.

Selama ini negara kita amat bergantung pada penggunaan minyak, gas asli dan arang batu sebagai bahan asas bagi janakuasa elektrik. Sumber tenaga ini di kategorikan sebagai tenaga yang tidak boleh diperbaharui.

Perkembangan sektor industri di negara kita yang bermula pada era 1980-an telah meningkatkan keperluan penggunaan tenaga elektrik sekali ganda yang turut sama menyumbang kepada penghasilan gas-gas rumah hijau.

Tenaga boleh diperbaharui boleh ditakrifkan sebagai sumber tenaga yang boleh digunakan lagi, berulang-ulang dan tidak terbuang begitu sahaja. Pembangunan teknologi tenaga boleh diperbaharui bebas karbon bukan sahaja membantu dalam mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan minyak malah dapat mengurangkan masalah pencemaran udara.
Pembangunan teknologi tenaga boleh diperbaharui bebas karbon perlu dilihat sebagai salah satu jalan untuk melestarikan pembangunan sektor industri di negara kita. Pembangunan teknologi ini di negara kita masih jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara maju. Walaupun begitu terdapat usaha-usaha yang dimainkan oleh Institusi Pengajian Tinggi dan sektor swasta dalam membangunkan teknologi ini. Usaha ini perlu harus dikembangkan dengan lebih giat lagi.
Tenaga solar, air dan angin boleh memberi jumlah tenaga yang besar dan boleh digunakan untuk menjanakuasa elektrik. Ketiga - tiganya ini termasuk dalam sumber tenaga boleh diperbaharui yang boleh diguna secara berterusan dan tidak akan habis. Salah satu kebaikanya ia juga tidak menimbulkan masalah pencemaran udara.

Penggunaan cahaya suria sebagai sumber tenaga semakin meluas di negara - negara maju. Menara solar (Solar Towers), mempunyai beratus- ratus panel solar yang difokuskan pada cahaya suria bertujuan untuk menyerap tenaga suria dan tenaga haba dalam bentuk cecair. Cecair tersebut akan memanas dan akan digunakan untuk memanaskan air untuk membentuk wap air atau stim. Wap air yang terbentuk pada jumlah yang tinggi boleh menggerakkan turbin dan generator untuk menghasilkan elektrik.

Kawasan-kawasan terbiar di negara ini seperti bekas-bekas tapak kuari dan perlombongan serta tapak projek pembangunan yang terbiar lama boleh di manfaatkan sebagai tapak penjanaan tenaga elektrik dari sumber suria. Limpahan cahaya suria di negara kita yang beriklim khatulistiwa difikirkan amat sesuai untuk janakuasa elektrik.

Namun beberapa cabaran untuk melaksanakanya perlu dikenalpasti. Maklumat mengenai keamaatan cahaya suria amat penting, bagi menetapkan lokasi yang sesuai bagi penjanaan tenaga solar. Selain itu ia juga memerlukan kawasan yang luas bagi membolehkan tenaga solar dapat diserap dengan lebih banyak dan tenaga dapat dijana secara efektif. Pengunaan tenaga solar di negara-negara maju semakin meningkat, ini terbukti dengan pembukaan kilang mereka di Malaysia yang menghasilkan plat solar untuk kegunaan di negara-negara maju. Negara kita seharusnya mengambil langkah yang sama untuk memajukan bidang ini.

Kawasan-kawasan penanaman padi yang luas pada masa hadapan di negara kita boleh diintegrasikan dengan pembinaan stesen pembinaan tenaga elektrik dari sumber semula jadi angin. Selain itu, dataran pantai yang luas terdapat di negara kita perlu di manfaatkan sebagai lokasi penjanaan tenaga elektrik daripada sumber semula jadi angin. Sumber tenaga angin digunakan bagi menggerakkan turbin yang disambung dengan generator sehingga boleh menghasilkan tenaga elektrik.

Pada penghujung tahun 2007, kapasiti pengeluaran tenaga melalui sumber tenaga angin dunia adalah sebanyak 94.1 Gigawatt. Meskipun kini tenaga angin hanya menjana kira-kira satu peratus daripada jumlah tenaga elektrik seluruh dunia, ia kini merupakan pembekal sebanyak 19 peratus tenaga elektrik Denmark, sembilan peratus di Sepanyol dan Portugal serta enam peratus di Jerman serta Ireland.

Pemilihan tapak janakuasa elektrik pula amat bergantung kepada taburan tiupan angin dan ketinggian menara kincir angin. Kajian terperinci mengenai kesesuaian tapak dan taburan halaju angin boleh membantu dalam proses pembangunan teknologi ini.

Sungai-sungai yang mengalir ke arah kawasan lembah dan ombak yang menghempas ke pantai merupakan sumber tenaga alam yang boleh diguna secara berterusan dan tidak menimbulkan pencemaran. Seperti jenis-jenis tenaga lain kekuatan ombak dan terjunan air boleh menggerakkan turbin dan generator sehingga menghasilkan tenaga elektrik.
Stesen tenaga hidro (hydro-electric power stations) menggunakan kekuatan pergerakan air untuk menghasilkan elektrik. Kebanyakan stesen ini akan menyimpan air dalam tangki yang sangat besar yang terletak dibelakang dinding empangan yang sangat cerun. Kemudiannya air akan dialirkan melalui turbin bawah air.

Empangan Kenyir dan Empangan Bakun merupakan contoh penggunaan air sebagai sumber penjanaan tenaga. Pembangunan tenaga hidro ini dalam masa yang sama dapat menguruskan sumber air negara dengan lebih efisien daripada terus dicemari. Tenaga ombak merupakan salah satu tenaga baru yang perlu dimajukan di negara kita. Bentuk muka bumi negara kita yang mengunjur ke muka laut boleh di manfaatkan untuk pembangunan teknologi ini.

Negara seperti Portugal telah memulakan pembangunan teknologi tenaga ini. Tenaga elektrik yang dijana oleh ombak ini boleh di manfaatkan kepada penduduk di sekitar kawasan pesisir pantai, malah ia juga boleh dimanfaatkan untuk penggunaan tenaga bagi operasi di pelabuhan-pelabuhan dalam negara kita.

Pelaksanaan teknologi tenaga boleh diperbaharui memerlukan kesungguhan yang mendalam. Untuk melakukan pembaharuan dalam sektor tenaga baru ia memerlukan kajian yang teliti untuk dibangunkan. Dalam hal ini sektor swasta perlu berperanan untuk turut sama menyumbang dalam membantu menyediakan dana dalam pembangunan teknologi ini.
Kajian dan pembangunan oleh institusi pengajian tinggi seharusnya diambil kira untuk dibangunkan secara berterusan. Kebanyakan tenaga pakar dalam negara kita sudah diiktiraf di peringkat dunia, kepakaran mereka seharusnya di gunakan di dalam negara untuk menghasilkan inovasi baru dalam transformasi tenaga di negara ini.

Selain dari solar, air dan angin terdapat juga tenaga boleh diperbaharui yang bebas karbon iaitu penggunaan tenaga nuklear. Penggunaan teknologi nuklear dilihat sebagai salah satu alternatif tenaga yang boleh diaktifkan. Namun risiko bahan ini terhadap alam sekitar masih menjadi perdebatan. Dalam usaha menjayakan perkara ini pihak kerajaan perlu menyemak semula pelan perancangan fizikal negara. Ini bagi membolehkan kawasan-kawasan untuk pembangunan teknologi tenaga boleh diperbaharui bebas karbon ini mendapat ruang untuk di majukan. Selain itu syarikat-syarikat gergasi negara seperti Petronas dan Tenaga Nasional perlu melabur dalam sektor baru ini, sebagai landasan untuk membina wajah baru sektor tenaga negara.

Isu kenaikan harga minyak di pasaran global ini dilihat juga sebagai salah satu mekanisme penjajahan alaf baru. Di mana negara-negara miskin akan tertindas dan mengharap bantuan dari negara maju seperti Amerika Syarikat untuk membangunkan negara mereka. Langkah untuk memajukan sektor tenaga boleh diperbaharui telah dimulakan oleh negara-negara maju. Kita juga harus bergerak pantas untuk membangunkan teknologi, bagi mengelakkan negara kita terjebak dari penjajahan bentuk baharu ini.

Keupayaan negara kita dengan sumber modal insan yang pakar dalam bidang kejuruteraan , sains dan ekonomi wajar dimanfaatkan bagi membangunkan teknologi ini. Andainya kita berjaya sudah tentu kita akan mampu menawarkan penyelesaian baru kepada dunia dalam menangani kemelut kenaikan harga minyak ini.


Tiada kata terlambat bagi melakukan perubahan, tenaga boleh diperbaharui bebas karbon merupakan alternatif masa depan yang dapat membantu pembangunan negara secara lestari.