CP Merangsang Pertumbuhan Industri Mesra Alam

MAJALAH KOSMIK OKTOBER 2008
Sejak berkembangnya aktiviti perindustrian di Malaysia, banyak kes pencemaran alam sekitar telah dikenalpasti berlaku. Bagi mengawal pencemaran alam sekitar dari aktiviti industri kerajaan telah mewartakan akta kualiti alam sekeliling 1974. Akta ini dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia dengan tujuan untuk melindungi dan meningkatkan kualiti alam sekitar bagi kesejahteraan hidup rakyat.

Menerusi akta ini pencemaran air dan udara daripada industri dikawal menerusi Peraturan - Peraturan Udara Bersih 1978 dan Peraturan Kumbahan dan Effluen Perindustrian 1979. Manakala bagi industri getah dan kelapa sawit pula terdapat peraturan yang ditetapkan dibawah aktai ini khusus untuk mengawal pencemaran yang dihadirkan oleh kedua industri ini. Bagi pelupusan sisa toksik dan bahan berbahaya yang terhasil daripada aktiviti industri ia mestilah diuruskan seperti yang tertakluk dibawah Peraturan Buangan Terjadual 2005 di bawah akta ini.

Sejak akta ini mula dikuatkuasakan pelbagai pindaan dan tambahan telah dibuat untuk memperkemaskan perundangan alam sekitar di Malaysia, khususnya untuk mengawal aktiviti perindustrian agar tidak mencemarkan alam sekitar. Kewujudan akta ini telah banyak membantu dalam mengawal aktiviti industri agar tidak mencemari alam sekitar. Namun perundangan ini dilihat lebih tertumpu kepada kawalan terhadap sisa industri yang terhasil diakhir aliran proses industri (end-of pipe). Misalnya kawalan terhadap had pelepasan asap hitam dan effluen industri.

Ini telah menyebabkan kebanyakan pihak industri lebih menumpukan terhadap rawatan dan pelupusan sisa industri yang dihasilkan. Pihak industri membelanjakan kos yang tinggi untuk pengawalan pencemaran. Sebagai contohnya pihak industri perlu membina loji rawatan effluen dan memasang alat kawalan pencemaran udara yang cekap. Ianya bertujuan untuk memastikan tahap pelepasan asap hitam dan kualiti effluen yang terhasil mematuhi had yang telah ditetapkan dalam perundangan. Kos pemasangan dan penyelenggaraan sistem kawalan industri yang tinggi sering kali menjadi rungutan pihak industri di negara ini.

Dalam konteks antarabangsa kini kawalan pencemaran industri telah banyak mengalami perubahan. Amalan pihak industri di peringkat antarabangsa kini telah mengalami anjakan besar. Mereka kini telah menggabungkan tiga aspek utama bagi pengawalan pencemaran iaitu pematuhan terhadap polisi, pembangunan teknologi bersih dan perubahan rekabentuk proses bagi mengurangkan dan mencegah pencemaran daripada terhasil. Rasional disebalik perubahan ini adalah bagi mengurangkan kos rawatan dan pelupusan sisa.

Dalam usaha ini pihak industri di peringkat antarabangasa telah membangunkan konsep Pengeluaran Bersih (CP-Cleaner Production). Menurut Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNEP) konsep Pengeluaran Bersih (CP) di definisikan sebagai suatu pendekatan mengintegrasikan strategi pencegahan pencemaran alam sekitar secara berterusan ke dalam operasi proses, penghasilan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan. Ianya dapat memberi manfaat kepada kecekapan keseluruhan operasi industri dan mengurangkan kesan risiko terhadap manusia dan alam sekitar.

Terdapat lima strategi pencegahan pencemaran yang diterapkan melalui konsep ini. Strategi pertama, adalah pengubahsuaian produk. Ianya meliputi perubahan terhadap sifat – sifat produk, seperti bentuk dan kandunganya. Jangka hayat produk yang dihasilkan direka agar mempunyai jangka hayat yang panjang, mudah di perbaiki, mudah dilupuskan, boleh dikitar semula dan mempunyai potensi pencemaran yang rendah.

Strategi kedua, pula merujuk kepada pengubahan input bahan mentah. Kandungan bahan mentah yang digunakan dipastikan bebas dari sebarang potensi pencemaran atau sekurang-kurangnya mempunyai kebolehan mencemar yang amat rendah. Sebagai contoh untuk menghasilkan produk A, kebiasaanya bahan X digunakan sebagai bahan mentah. Namun penggunaan bahan X telah memberikan kesan sampingan seperti pertambahan jumlah sisa industri yang perlu di rawat dan dilupuskan dengan kos rawatan yang tinggi. Oleh itu alternatif baru untuk, menghasilkan produk A, dengan bahan mentah lain perlu di buat.

Strategi ketiga, memfokuskan terhadap pengubahsuaian rekabentuk proses. Ini melibatkan pengubahan aliran dan rekabentuk unit operasi proses yang terdapat di dalamnya. Proses yang direkabentuk mestilah berkebolehan untuk menghapuskan kandungan pencemar didalam bahan mentah yang digunakan. Pembangunan teknologi bersih diperkenalkan bagi meningkatkan kawalan pencemaran dalam operasi industri.

Strategi keempat, merujuk kepada amalan penyeliaan terbaik. Hal ini melibatkan perubahan terhadap prosedur operasi dan pengurusan penyeliaan yang teliti. Ianya melibatkan peningkatan keupayaan kemahiran pekerja di semua peringkat. Latihan dan pembangunan piawaian operasi kerja (SOP) yang kemas dapat membantu menjayakan strategi ini.

Strategi kelima, merujuk kepada usaha kitar semula bahan sisa yang dihasilkan di dalam operasi industri. Ini boleh dijayakan dengan penggunaan semula sisa sebagai bahan mentah semula, penjanaan tenaga, pemerolehan semula (recovery) dan juga menggunakanya untuk tujuan produk lain.

Di peringkat antarabangsa Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNEP) sejak tahun 1989, telah memulakan pelbagai usaha promosi bagi menjayakan program Pengeluaran Bersih di seluruh dunia. Pada tahun 1994, Program Pusat Kebangsaan Pengeluaran Bersih (NCPC) telah dilancarkan oleh UNEP. Penubuhan pusat ini adalah untuk meningkatkan persaingan dan kapasiti pengeluaran industri terutama sekali industri kecil dan sederhana dalam menerapkan amalan CP. Sehingga Tahun 2007 program ini telah berjaya melibatkan sebanyak 37 buah negara.

Antara peranan yang di mainkan oleh NCPC adalah meningkatkan kesedaran masayarakat industri tentang kepentingan pelaksanaan konsep CP di dalam industri. Ia juga menyediakan ruang latihan kepada para pengusaha industri untuk melaksanakan konsep CP. Selain itu juga NCPC berperanan untuk menyebarkan maklumat terbaru tentang penerapan amalan CP di dalam bidang perindustrian kepada masayarakat dunia.

Kini dengan kemudahan ICT, manual pelaksanaan CP didalam beberapa sektor industri boleh diakses dengan mudah melalui internet. Para pengusaha industri dari seluruh dunia boleh berkongsi pengalaman untuk menjayakan program ini. Penerapan amalan CP telah berjaya dikembangkan ke Amerika Latin, benua Afrika dan beberapa negara di Asia. Syarikat –syarikat besar di seluruh dunia mula berminat untuk menerapkan amalan CP dalam operasi mereka. Industri pemprosesan makanan, elektronik dan pembuatan telah mula menerapkan amalan CP secara konsisten.

Dalam konteks negara kita, penerapan amalan CP ini masih dianggap baharu. Walaubagaimana pun beberapa syarikat di Malaysia telah memulakan usaha ini. Ia terbukti banyak memberikan faedah kepada industri berkenaan. Antara faedah yang diraih ialah pihak industri dapat mengurangkan penghasilan sisa, mengurangkan kos rawatan pencemaran, penggunaan tenaga dan juga mengurangkan risiko bahaya terhadap alam sekitar.

Disamping penerapan amalan CP didalam industri elektronik dan pembuatan, amalan CP ini juga amat sesuai untuk diterapkan dalam industri berasaskan pemprosesan bahan pertanian di negara kita. Industri getah, kelapa sawit dan juga makanan misalnya boleh menerapkan amalan CP untuk menjamin pertumbuhan industri mesra alam. Ini sekaligus dapat membantu melestarikan pembangunan industri berasaskan pertanian di negara kita.

Namun begitu terdapat beberapa cabaran terhadap pelaksanaanya. Ini termasuklah kurangnya pendedahan dan maklumat kepada pihak industri mengenai perkara ini. Kajian dan pembangunan untuk menerapkan amalan CP dalam industri kecil dan sederhana (IKS) masih kurang diusahakan. Pengusaha industri masih belum berkeyakinan untuk melaksanakan konsep ini.

Oleh itu menjadi peranan penyelidik di Malaysia untuk mempertingkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini. Agensi kerajaan dan institusi penyelidikan di peringkat Universiti perlu berganding bahu menjayakan dan mempromosikan amalan CP di dalam sektor industri di Malaysia.

Kejayaan kita untuk membangunkan industri yang bersifat mesra alam akan dapat dilaksanakan dengan adanya komitmen yang padu oleh pengusaha industri. Banyak masalah alam sekitar yang disebabkan oleh aktiviti industri dapat di atasi melalui penerapan amalan CP. Seandainya kita berjaya menerapkan amalan CP ini dengan baik dalam sektor perindustrian. Maka sebarang cadangan projek industri akan diterima oleh masyarakat dengan hati dan pemikiran yang terbuka.
Abdul Rahman Mahmud

No comments: