Cabaran urus alam sekitar guna ICT


Cabaran Urus Alam Sekitar Guna ICT - Utusan malaysia 28 mei 2008
Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD


MUNGKIN ada yang tertanya-tanya bagaimana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat membantu meningkatkan kecekapan pengurusan alam sekitar di Malaysia.
Sebenarnya penggunaan ICT dalam pengurusan alam sekitar telah lama digunakan di negara-negara maju. Ia ternyata berkesan dalam mendepani pelbagai masalah alam sekitar yang semakin bertambah.

Pengurusan alam sekitar meliputi pengurusan sumber alam, perlindungan kawasan sensitif alam sekitar, pengawalan pencemaran dan pemantauan kualiti alam sekitar. Dunia hari ini amat memerlukan pengunaan teknologi yang lebih pantas dan mudah untuk meningkatkan sistem penyampaian kepada masyarakat.

Pembangunan teknologi ICT dalam pengurusan alam sekitar memberi banyak manfaat kepada agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar. Secara umumnya penggunaan ICT dalam pengurusan alam sekitar di Malaysia semakin rancak dimajukan, namun ia masih ditahap permulaan.

Penggunaan Internet misalnya boleh memudahkan urusan aduan pencemaran alam sekitar kepada agensi yang terlibat dalam penguatkuasaan alam sekitar. Pengurusan kawasan-kawasan sensitif alam sekitar di negara ini secara bersepadu perlu dimantapkan. Kawasan sensitif alam sekitar di negara ini yang kaya dengan biodiversiti merupakan warisan alam yang perlu dikekalkan. Penggunaan ICT seperti sistem maklumat geografi (Geographical Information Systems) dapat membantu dalam usaha perlindungan kawasan sensitif alam sekitar di negara ini.

Pemantauan kualiti alam sekitar secara berterusan amat penting bagi melihat sebarang perubahan yang berlaku terhadap kualiti alam sekitar di sesuatu kawasan. Penggunaan ICT adalah amat sesuai bagi memantau dan memberikan maklumat terkini mengenai status kualiti alam sekitar di sesuatu kawasan kepada orang ramai. Selain itu, pengawasan terhadap punca-punca pencemaran dari kawasan perindustrian dapat dipantau dengan lebih efektif melalui penggunaan ICT.

Isu perubahan cuaca global sejak akhir - akhir ini telah menarik minat masyarakat untuk mengetahui perkembangan cuaca semasa ditempat mereka. Penggunaan ICT dapat memberi maklumat mengenai keadaan cuaca yang bakal berlaku kepada masyarakat. Maklumat melalui Internet di kalangan rakyat khususnya para petani dan nelayan dapat membantu mereka merancang aktiviti harian. Ramalan mengenai bencana alam yang bakal melanda seperti hujan lebat, banjir dan ribut petir dapat membantu masyarakat untuk menguruskan alam dengan lebih efektif. Usaha-usaha pencegahan bagi mengelak daripada bencana yang memusnahkan harta benda dapat dirancang dengan lebih awal oleh pihak berkuasa. Pengunaan ICT dalam memberi maklumat keadaan cuaca, dapat membantu kerajaan dalam menyediakan langkah - langkah bertindak untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang berlaku. Di samping itu masyarakat dapat sama melakukan persediaan bagi menghadapinya.

Sesungguhnya penggunaan ICT dalam pengurusan alam sekitar mempunyai manfaat yang amat besar. Namun sehingga kini terdapat beberapa halangan yang menyebabkan penggunaanya belum dapat diperluaskan dalam konteks pengurusan alam sekitar. Promosi terhadap kemudahan sesuatu sistem pengurusan alam sekitar dengan menggunakan ICT tidak dilakukan secara meluas. Ini menyebabkan masyarakat kurang terdedah untuk memanfaatkanya. Akhirnya pembangunan sistem itu hanya dimanfaatkan oleh segolongan masyarakat sahaja.

Selain itu pembangunan sistem ICT dalam pengurusan alam sekitar melibatkan kos yang tinggi. Ini menyebabkan pertumbuhan aplikasi ICT dalam pengurusan alam sekitar masih ditahap yang rendah. Di kawasan zon perindustrian pula keupayaan penghantaran maklumat ke server pusat masih tidak memuaskan. Ini kerana data dan maklumat yang dihantar kadang kala mempunyai saiz yang besar, hal ini memberikan gangguan terhadap kelajuan transmisi maklumat ke server pengawasan alam sekitar pusat.

Usaha-usaha untuk meningkatkan kemudahan teknologi ICT dalam pengurusan alam sekitar perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Kekurangan tenaga pakar dalam bidang ini perlu ditampung dengan memperkayakan program pembangunan modal insan dalam bidang ini. Peningkatan tenaga pakar dalam negara boleh mengurangkan pergantungan kita terhadap teknologi daripada luar negara.

Melestari Industri Padi Negara Melalui Teknologi Mesra Alam

Melestari Industri Padi Negara Melalui Teknologi Mesra Alam- Utusan Malaysia 21 Mei 2008
Oleh
Abdul Rahman Mahmud

Keluasan ribuan hektar jelapang padi Malaysia pada masa depan, memerlukan kaedah yang lebih sistematik untuk penuaian padi dijalankan. Penggunaan jentera penuai padi dalam jumlah yang banyak mungkin diperlukan. Bahan bakar untuk jentera penuai padi perlu mengambil kira aspek alam sekitar. Penggunaan biodiesel misalnya boleh mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dan monoksida ke udara.

Bahan sampingan seperti jerami padi perlu diurus secara bijaksana, tradisi pembakaran jerami padi harus dihentikan bagi mengelakkan masalah pencemaran udara dan jerebu berlaku. Kes kemalangan jalan raya akibat jerebu pernah berlaku beberapa tahun lepas di Kedah. Ia berlaku disebabkan oleh pembakaran jerami padi secara tidak terkawal.

Pelupusan jerami padi secara kompos yang telah dimulakan oleh beberapa agensi kerajaan dan swasta perlu diperluaskan. Pelupusan jerami padi secara pengkomposan dengan menggunakan cacing bagi menghasilkan baja organik yang bermutu tinggi sesuai untuk kegunaan pertanian.
Malah insentif kepada petani yang mengusahakan kaedah ini secara serius perlu diberikan. Jerami padi dan hampas padi sebenarnya boleh juga digunakan sebagai bahan tambah dalam industri perabot dan fabrik.

Kilang pemprosesan padi perlu dinaik taraf dalam aspek penggunaan teknologi mesra alam. Sebelum ini pelbagai aduan mengenai pelepasan habuk, bunyi bising dan asap hitam dari kilang padi sering diadukan ke Jabatan Alam Sekitar.

Penempatan kilang padi di kawasan-kawasan strategik perlu dirancang. Penggunaan garis panduan penempatan dan penzonan perlu diambil kira. Konsep teknologi bersih cleaner production perlu diterapkan oleh pekilang-pekilang beras. Konsep ini cuba mengurangkan kesan pencemaran yang terhasil daripada aktiviti perkilangan dengan pengunaan teknologi kawalan pencemaran yang lebih efisien, kecekapan pemprosesan dan penggunaan semula bahan sampingan pemprosesan.

Perspektif mesra alam tidak seharusnya dilihat dalam ruang teknikal semata-mata, aspek urus tadbir perlu dimantapkan dalam memastikan kelestarian industri padi negara. Agensi pelaksana, perancang dan institusi penyelidikan perlu merangka pelan jangka panjang yang meliputi strategi dan projek yang berkesan bagi menjamin kelestarian industri padi negara.


Program peningkatan kemahiran dan pengetahuan di kalangan para petani komuniti petani perlu diadakan bagi menguruskan tanaman padi secara mesra alam. Usaha yang serius untuk memantau kualiti alam sekitar di zon penanaman padi amat diharapkan. Pemantauan kualiti udara dan air amat penting bagi melihat trend perubahan alam sekitar terhadap perkembangan aktiviti ini.

Sesungguhnya pembangunan industri padi negara mempunyai manfaat yang besar terhadap alam. Zon penanaman padi berfungsi untuk menyerap gas karbon dioksida, ini sedikit sebanyak dapat membantu terhadap permasalahan pemanasan global. Jelapang padi yang menghijau luas, saujana indah mata memandang sudah tentu mampu memikat setiap mata yang memandang khususnya para pencinta alam. Jelapang padi menyediakan suasana nyaman sesuai untuk kegiatan agro pelancongan.

Akhirnya kita akan dapat menuai seribu manfaat seandainya langkah-langkah pelestarian industri ini dapat diterapkan dengan jayanya. Berbudi pada tanah ertinya berbudi pada alam, cintai alam ini untuk kebaikan semua.

Juruperunding EIA Perlu Berintegriti - Berita Harian 26 April 2008

Juruperunding EIA Perlu Berintegriti - Berita Harian 26 April 2008
Oleh Abdul Rahman Mahmud

Kini negara kita semakin pesat membangun, projek – projek pembangunan infrastruktur semakin giat dijalankan. Pembinaan pusat – pusat komersial, jalan raya, kawasan perumahan, jambatan, perindustrian, pertanian dan pusat pelancongan adalah antara projek – projek yang semakin bertambah saban tahun. Pada tahun 2007, beberapa tambahan projek – projek mega turut diumumkan oleh kerajaan. Secara langsung pertambahan projek – projek besar akan berlaku dan ini akan memberikan kesan kepada landskap alam sekitar Malaysia.

Sebagai langkah untuk memastikan bahawa alam sekitar tidak dicemari dan dimusnahkan melalui aktiviti projek berskala besar, kerajaan telah mewajibkan kajian impak alam sekitar (Environmental Impact Assessment - EIA) untuk diadakan. Peruntukan undang – undang EIA ini termaktub didalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Perintah Kualiti Alam Sekeliling) (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling 1987). Akta ini dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia. Laporan Kajian Penilaian Alam Sekitar kebiasaanya disediakan oleh syarikat perunding alam sekitar yang dilantik oleh syarikat pemaju projek dan berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar.

Kejujuran dan kesahihan

Kajian Impak Alam Sekitar melibatkan sekumpulan pakar (jurutera, saintis, pakar kaji sosial dan ekonomi) bagi mengkaji, mengenal pasti, meramal dan menjangkakan kesan – kesan alam sekitar disebalik pembangunan yang akan dijalankan. Kajian ini juga meliputi kesan – kesan yang akan berlaku pada fasa semasa projek dan fasa selepas projek dijalankan. Laporan ini juga menggariskan langkah – langkah pengawalan dan pencegahan alam sekitar semasa dan selepas projek dijalankan yang perlu dilaksanakan oleh pemaju setelah laporan EIA ini diluluskan. Langkah – langkah kawalan ini dikenali sebagai Pelan Pengurusan Alam Sekitar (Environmental Management Plan - EMP).

Dalam hal ini, peranan juruperunding alam sekitar untuk memberikan laporan yang berkualiti amatlah diperlukan. Juruperunding alam sekitar seharusnya bertindak sebagai kumpulan pakar yang menjalankan kajian dengan penuh kejujuran. Juruperunding alam sekitar dituntut untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran masing – masing. Pengunaan perisian – perisian baharu dan efisien amat diharapkan. Para pakar pengkaji kesan alam sekitar yang terlibat dalam kajian impak alam sekitar perlu melaporkan kajian yang dibuat sejujur mungkin. Mereka seharusnya memegang prinsip kebenaran, mereka perlu melaporkan kemungkinan - kemungkinan positif dan negatif yang bakal terhasil daripada projek tersebut tanpa berselindung. Andainya terdapat perkara – perkara yang cuba diselindungkan oleh mereka sudah pasti akan berlakulah sesuatu yang tidak diingini dikemudian hari.

Sumbangan besar pada negara

Syarikat perunding alam sekitar mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memberikan laporan yang benar dan sahih. Peningkatan jumlah projek – projek besar yang memerlukan kajian impak alam sekitar seharusnya dilihat sebagai satu cabaran kepada juruperunding alam sekitar untuk memberikan syor yang sesuai dalam pelaksanaan sesuatu projek pembangunan. Mereka tidak sepatutnya melihat dalam aspek keuntungan semata – mata. Sumbangan dan peranan juruperunding alam sekitar amatlah penting dalam mencapai misi pembangunan lestari di negara ini. Skim pendaftaran juruperunding alam sekitar yang di perkenalkan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia merupakan suatu tindakan yang amat wajar dan bertepatan pada masanya. Langkah ini diharap dapat membentuk juruperunding yang berintegriti dan berupaya menyumbang dalam proses pembangunan negara.

Tanggungjawab Menjaga Alam - Utusan Malaysia 14 Mei 2008

SIAPAKAH yang tidak terusik hatinya melihat anak-anak kecil yang menangis kelaparan selepas tragedi Taufan Nargis di Myanmar baru-baru ini? Terbit rasa syukur dalam diri betapa besar nikmat yang masih mampu kita kecapi, di saat orang lain menderita kelaparan dan kesakitan.

Sesungguhnya apa yang berlaku ini merupakan suatu amaran kepada semua penduduk planet ini yang semakin nazak. Amaran demi amaran telah ditunjukkan kepada kita, terpulanglah kepada kita untuk menilainya sama ada ia sekadar fenomena alam luar biasa atau mahu melihatnya se- bagai amaran kepada seluruh penduduk di bumi.

Negara yang dilanda bencana memerlukan sumber kewangan yang mencukupi untuk membangunkan semula kehidupan rakyat. Pembangunan yang dilakukan akan mengambil masa yang lama. Di saat ini, dunia terus dibelenggu dengan polemik krisis baru yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, krisis kenaikan harga minyak, krisis kenaikan harga barangan dan juga krisis makanan yang semakin menghimpit manusia.
Penduduk bumi seharusnya sedar bahawa setiap apa yang berlaku ini merupakan petanda ba- hawa dunia semakin hampir ke penghujung ja- lan. Apa yang berlaku adalah disebabkan oleh ke- cuaian dan kealpaan kita untuk mengurus alam dengan bijaksana. Apabila pertimbangan hawa nafsu telah melebihi kepentingan sejagat, bencana akan menimpa. Perjanjian pengurangan pelepasan gas rumah hijau dicabuli malah ada yang enggan untuk me- nandatanganinya atas kepentingan ekonomi. Aki- batnya bumi semakin hangat, penderitaan penduduk bumi di negara-negara miskin semakin dirasai.

Kegilaan kuasa besar untuk menakluki dunia dengan melepaskan pelbagai jenis bom, menambah derita planet ini. Pembangunan persenjataan nuklear dan pelbagai senjata baru bukan tujuan untuk mengamankan dunia malahan menjadikan dunia semakin tidak aman.
Di Malaysia kita perlu bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan. Kita dilimpahi dengan segala sumber alam yang masih mencukupi. Setakat ini bencana alam yang meragut nyawa puluhan ribu nyawa masih tidak berlaku. Belum ada lagi daerah yang musnah seratus peratus akibat dilanda bencana. Krisis makanan dan harga beras masih terkawal di negara ini, tiada sebarang ru- suhan yang berlaku.

Keharmonian dan perpaduan seharusnya dipertahankan, sumber-sumber alam perlu dijaga dan diuruskan dengan bijaksana. Amalan masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar perlu dipertingkatkan. Rasa tanggungjawab menjaga alam perlu disemai semenjak kecil lagi. Menyayangi alam ini umpama menjaga diri sendiri. Jangan sampai alam ini musnah baharu kita merasai kehilangannya.

Kejadian bencana alam tidak mengenal tempat dan masa. Bila-bila masa dan di mana sahaja ia boleh berlaku, malang sekali andainya kita terus leka dan masing-masing saling berbalahan. Elakkan sebarang perbalahan yang mengundang permusuhan, hayati nilai-nilai kemanusiaan, hargai diri dan hargailah alam ini.

Kesedaran Alam Sekitar Kakitangan Awam

Kesedaran Alam Sekitar Kakitangan Awam - Utusan Malaysia 01 Mei 2008

Terdapat lebih kurang 1.2 juta rakyat Malaysia yang bekerja dalam Jabatan dan Agensi kerajaan. Ia mewakili 4.4% keseluruhan penduduk di negara ini, golongan ini dikenali sebagai penjawat awam. Perluasan skop kerja di dalam sektor awam dijangka akan meningkatkan permintaan jumlah guna tenaga di dalam sektor ini. Penjawat awam sering dilihat mempunyai gaya kepengunaan yang tersendiri, sebagai pengguna mereka perlu sedar bahawa sikap dan perilaku mereka boleh menyumbang kepada keharmonian alam sekitar di negara ini.

Penjawat awam merupakan golongan pengguna yang aktif. Tiba sahaja penghujung bulan maka berduyun – duyunlah mereka ke kompleks – kompleks membeli belah. Jalan – jalan awam dipusat bandar akan penuh sesak kerana dibanjiri oleh kenderaan yang mengunjungi pusat – pusat membeli belah. Senario ini lebih ketara di kawasan bandar. Di pusat – pusat membeli belah kelihatan mereka menyorong troli yang memuatkan dengan puluhan barang – barang keperluan.

Kaunter - kaunter dipusat membeli belah kadang kala mengalami kesesakan yang luar biasa. Bermacam jenis barangan yang dibeli termasuklah barangan keperluan makanan dan pelbagai keperluan asas. Bukan saja barang – barang keperluan asas malahan ada yang sanggup berbelanja diluar dari keperluan sebenar, gelagat mereka kadang kala kelihatan sebagai peniaga borong.

Di sebalik keghairahan membeli belah tidak pernah terfikir di dalam hati mereka tentang kesanya terhadap alam sekitar. Seolah – olah tiada kaitan membeli barang keperluan secara berlebihan dengan kesannya terhadap alam sekitar. Malahan mereka tidak merasa bersalah sekiranya terlalu banyak beg plastik yang digunakan untuk membungkus barangan yang telah dibeli. Kemana akhirnya plastik, kertas, tin dan botol kaca selepas di gunakan?

Pembelian barangan secara berlebihan sebenarnya akan menambahkan jumlah penghasilan sisa pepejal seperti plastik, kertas dan kaca. Kawasan perbandaran di Malaysia menghasilkan kira – kira 15,000 tan sisa pepejal sehari yang mana di anggarkan sebanyak 0.9 hingga 1.0 kilogram dijana oleh setiap individu.

Senario di pejabat juga masih belum banyak menunjukan perubahan. Kertas – kertas masih digunakan secara membazir. Kertas putih (bersaiz A4) yang digunakan untuk menaip surat, memo, kertas kerja dan minit mesyuarat masih digunakan secara membazir. Kertas – kertas yang tidak terpakai adakalanya dibuang terus. Ada yang mengunakan sebelah muka surat sahaja dan sebelah lagi dibiarkan kosong. Sikap suka membazir ini dapat dilihat juga dalam penggunaan elektrik, dimana penggunaan alat penghawa dingin, lampu pejabat dan komputer tidak dikawal penggunaanya. Penggunaan air didalam tandas juga dibazirkan. Kadangkala kelihatan air dibiarkan mengalir dari pili air tanpa ditutup dengan sempurna. Hal ini tidak sepatutnya dipandang remeh kerana ia berkaitan dengan pembaziran wang negara secara besar – besaran. Di dalam majlis jamuan makan kadangkala digunakan bekas makanan plastik sebagai pembungkus makanan. Tanpa di sedari amalan ini akan menyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar, ini kerana plastik adalah bahan yang sukar untuk dihuraikan secara biologikal.

Kesemua senario yang disebutkan tadi merupakan realiti yang berlaku di dalam masyarakat pengguna daripada kelompok penjawat awam. Nyata sekali bahawa kesedaran kepenggunaan dikalangan penjawat awam terhadap alam sekitar masih lagi ditahap rendah. Program kesedaran alam sekitar nampak seolah – olah belum merata sepenuhnya dikalangan masyarakat kita. Kempen cintai alam sekitar seharusnya tidak tertumpu kepada golongan pelajar dan belia semata – mata. Malahan kelompok penjawat awam perlu juga diberi kesedaran.

Hakikatnya isu alam sekitar mempunyai hubungan langsung dengan gaya kepenggunaan masa kini. Penjawat awam masih banyak yang berada dalam zon selesa, jauh sekali untuk memahami isu – isu alam sekitar dan melaksanakan amalan kepenggunaan lestari (sustainable consumption). Oleh itu program kesedaran alam sekitar kepada kakitangan awam amat perlu disemarakan. Ia bukan sahaja dapat menyedarkan penjawat awam terhadap alam sekitar tapi dapat membantu dalam penjimatan wang negara.

Program kesedaran alam sekitar perlulah dijadikan antara agenda utama dalam perhimpunan bulanan. Selain daripada itu aktiviti seperti sambutan bulan penghayatan alam sekitar, hari alam sekitar, pertandingan keceriaan dalam pejabat, kempen guna semula kertas terpakai, kempen penjimatan elektrik dan air, kempen penggunaan plastik sifar, ceramah alam sekitar dan gotong royong membersih pejabat adalah antara program yang boleh dianjurkan.

Program kearah kesedaran dan komitmen alam sekitar ini tidak seharusnya dipandang remeh, enteng dan jangal dikalangan penjawat awam. Masih belum terlambat untuk kita melaksanakan program ini. Usaha yang dimainkan oleh jabatan – jabatan kerajaan untuk menjayakan program sebegini perlu dihargai kerana ia dapat menyumbang kepada penjimatan wang negara sekaligus dapat membina sikap penjawat awam
yang bertanggungjawab dan cintakan alam sekitar.