Cabaran Perkembangan Populasi Dunia


Cabaran perkembangan populasi dunia
Oleh Abdul Rahman Mahmud - 11 Julai 2008 rencana utusan
TARIKH 11 Julai setiap tahun disambut sebagai Hari Populasi Sedunia. Sambutan ini mula diperkenalkan pada tahun 1989 oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu berkaitan dengan perkembangan populasi manusia.


Sehingga kini jumlah populasi manusia ialah 6.7 bilion. Kadar peningkatan populasi manusia pada ketika ini ialah 1.2 peratus setahun. Iaitu pertambahan sebanyak 212,036 manusia setiap hari. Populasi manusia dijangkakan akan terus meningkat sehingga 20 peratus menjadikan jumlahnya 9.2 bilion menjelang tahun 2050.

Statistik yang dikeluarkan oleh GeoHive menyatakan wilayah Afrika mempunyai kadar pertumbuhan populasi yang agak pantas berbanding dengan wilayah lain, ini diikuti wilayah Asia dan wilayah Amerika Latin. Negara-negara wilayah Afrika diramalkan mengalami ledakan populasi yang tinggi. Kajian pada tahun 2000 meramalkan penduduk wilayah ini akan meningkat sebanyak 87 peratus pada tahun 2030 (1.5 bilion orang). Negara Afrika seperti Nigeria, Ethiopia, Uganda dan Tanzania mempunyai kadar pertumbuhan populasi melebihi dua peratus setahun.
Sementara itu dijangkakan Bangladesh, India dan Afghanistan yang terletak di sebelah selatan tengah Asia akan mencapai kadar perkembangan populasi yang tinggi berbanding negara-negara lain di Asia iaitu sebanyak 1.6 hingga tiga peratus setahun menjelang tahun 2030.
Peningkatan populasi manusia ini sudah pasti diiringi dengan peningkatan keperluan bahan asas untuk kehidupan seperti tempat tinggal, makanan dan minuman. Untuk meneruskan kelangsungan hidup, manusia amat bergantung kepada sumber-sumber alam semula jadi.


Sekurang-kurangnya terdapat empat cabaran besar yang sedang dan bakal ditempuhi dalam meniti arus perkembangan populasi manusia. Cabaran-cabaran ini seharusnya dilihat secara serius untuk kita mengurus kehidupan dan menangani perubahan dengan baik pada masa hadapan. Cabaran pertama adalah untuk mengecap tahap kesihatan yang baik dalam kehidupan manusia. Pada ketika ini manusia sedang berhadapan dengan pelbagai bentuk penyakit yang semakin kompleks dan mencabar.


Di alaf baru ini kita dikejutkan dengan beberapa serangan penyakit baru yang muncul dengan pelbagai nama seperti wabak penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), selesema burung dan pelbagai penyakit pandemik yang amat merisaukan. Selain itu manusia juga terus berhadapan dengan peningkatan jumlah penghidap HIV (AIDS).


Selain itu penyakit-penyakit lain seperti penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis terus bertambah saban waktu. Amalan pemakanan dan gaya hidup yang jauh dari amalan kesihatan menyebabkan kehidupan manusia terus diburu dengan pelbagai masalah penyakit. Cabaran kedua adalah untuk menikmati alam sekitar yang bebas daripada pencemaran. Masalah pencemaran alam sekitar pada ketika ini semakin meruncing. Impak pencemaran alam sekitar kini dirasai pada skala global. Pemanasan bumi merupakan isu sejagat yang bakal menghimpit hidup masyarakat dunia.


Para saintis meramalkan pelbagai bencana alam luar jangka seperti banjir besar dan ribut taufan akan bertambah andainya fenomena ini terus berlaku. Pencemaran alam sekitar yang berlaku juga akan mengakibatkan generasi akan datang berhadapan dengan krisis kekurangan sumber utama bahan asas kehidupan seperti air, tenaga dan makanan. Cabaran ketiga yang bakal dihadapi oleh manusia ialah peningkatan masalah kemiskinan. Krisis inflasi dunia dijangka akan terus menyumbang kepada peningkatan jumlah rakyat termiskin di dunia.


Cabaran keempat, adalah untuk menikmati keamanan dunia yang jauh daripada sebarang penindasan dan peperangan. Peperangan telah menyebabkan kemusnahan manusia dan alam.
Sejak peperangan dunia kedua hingga kini krisis peperangan sering berlaku. Ia telah mengorbankan jutaan nyawa yang tidak berdosa. Keempat-empat cabaran ini wajar diteliti oleh kita semua secara serius. Perkembangan populasi di Malaysia memerlukan perancangan strategik untuk memastikan kelestarian hidupan rakyat terus terjamin. Isu-isu yang boleh mengancam kesejahteraan hidup rakyat perlu ditangani secara bijaksana.


Hakikatnya ia tidak boleh dilihat sebagai suatu masalah, malah apa yang penting adalah bagaimana manusia pada hari ini menyusun kehidupan dan menilai cabaran mendatang untuk melakukan perubahan.

Ulasan Buku: Ahmadinejad

Membaca buku ini mendekatkan saya kepada keperibadian seorang bekas pimpinan pelajar yang tegas dan berani iaitu Ahmadinejad. Kekaguman saya kepada beliau adalah mengenai keberanianya menulis warkah kepada pemerintah AS dan rakyat AS untuk melihat keadilan dan keamanan dunia sebagai subjek utama masa hadapan. Warkah yang di utus oleh beliau di dahului dengan pujian syukur kehadrat Allah SWT. .. . saranan beliau penuh dengan pandangan yang tajam dan kritik yang tegas terhadap rejim AS kepada dunia dan umat Islam.
Sedutan :
"Suasana politik di Iran yang sentiasa bercelaru, memunculkan pelbagai reaksi di kalangan penyokong parti terhadap calon pilihan mereka manakala Ahmadinejad pula tidak menunjukkan apa juga tindakan sebagai calon parti kerana kekurangan modal, tetapi mempunyai gagasan besar untuk memajukan rakyat Iran.Persiapan calon Datuk Bandar Tehran merebut undi menyaksikan pelbagai tipu muslihat, tetapi penyokong Ahmadinejad giat memikirkan cara terbaik memperkenalkan tokoh pilihan mereka dengan dana terhad bagi menarik pengundi agar mengundi pemimpin yang boleh membawa kesenangan kepada rakyat."

Ulasan Buku : Tariq Bin Ziyad ~ karya Abdul Latip Talib

Ketika saya membaca buku ini, imiginasi fikiran saya menerjahkan diri saya ke alam peperangan bersama dengan tentera pimpinan Tariq bin Ziyad. Membaca buku ini seolah-olah bersama dengan mereka di dalam sebuah angkatan perang yang kental dan cekap.

Keberanian Tariq bin Ziyad menyeberang lautan ke Andalusia Sepanyol membuka laluan Dakwah Islamiah ke benua eropah. Peristiwa membakar kapal laut angkatan tentera Islam demi untuk menyalakan obor perjuangan adalah gambaran keperkasaan Tariq dalam meneruskan Jihad Fi Sabililah.

KeberaniaN Tariq Bin Ziyad wajar menjadi teladan generasi muda hari ini. Kepintaran mengurus strategi, mengadakan penyiasatan sebelum tindakan di serlahkan dalam siri – siri pertempuran yang dilalui olehnya.

Sedutan :

Tariq Bin Ziyad menawan sebuah bukit di sepanyol yang kini di kenali sebagai (gibraltar) Jabal Tar. Tariq Bin ziyad akan terus kekal dalam sanubari umat sebagai pejuang Islam yang terhebat.

“Bakar kapal-kapal kita semua!” perintah Tariq bin Ziad kepada panglima-panglima tenteranya sebaik sahaja semua angkatannya mendarat di pantai itu.Panglima-panglima tentera tanpa membantah perintah Tariq bin Ziad, terus membakar kapal-kapal mereka dengan pantas. Langit di kawasan laut menjadi gelap gelita dengan asap hitam bergumpal-gumpal keluar daripada kapal-kapal yang dibakar itu. Satu-persatu kapal yang terbakar itu tenggelam ke dasar laut. Kemudian, Tariq bin Ziad memanggil semua anggota angkatan tenteranya berkumpul di hadapannya.Namanya tercatat dalam sejarah sebagai panglima yang menggerunkan pasukan tentera Sepanyol di bawah pimpinan Raja Roderick.

Hingga kini, Gibraltar atau asalnya Jabal Tariq yang bermakna Bukit Tariq masih abadi di Andalusia, Sepanyol. Atas usahanya, kerajaan Islam al-Andalus bertapak di Sepanyol selama 781 tahun.

Strategi berkesan elak impak buruk ekonomi

Oleh Abdul Rahman Mahmud ~ Rencana Berita Harian 2 July 2008
DALAM dunia globalisasi, aspek ekonomi adalah langkah terpenting dalam usaha membangunkan sesebuah negara secara lestari. Oleh itu, apa saja krisis yang timbul dalam hal ekonomi akan menjejaskan misi melestarikan pembangunan. Kini, dunia sedang berhadapan dengan krisis inflasi global yang semakin meningkat. Kadar inflasi yang tinggi boleh membawa kesan buruk terhadap aktiviti ekonomi dan sosial sesebuah negara. Kadar inflasi didorong kenaikan harga minyak di pasaran dunia kini amat sukar dibendung. Penganalisis ekonomi menjangkakan harga minyak dunia akan terus mencecah pada paras AS$200 dolar setong sehingga akhir tahun ini. Sehingga kini tiada sebarang petanda harga minyak akan turun. Keadaan ini sekiranya tidak dibendung dengan langkah konstruktif sudah pasti akan membawa pelbagai masalah kepada keharmonian masyarakat dunia. Inflasi secara umumnya ditakrifkan sebagai kenaikan harga berterusan dalam tingkat harga umum. Harga umum bermaksud paras harga bagi keseluruhan barang dan perkhidmatan yang ada dalam sesuatu ekonomi pada sesuatu masa tertentu.


Krisis inflasi global yang berlaku kini, banyak didorong kenaikan harga minyak di pasaran dunia, sekali gus mendorong kepada kenaikan harga barang keperluan lain. Kenaikan harga barang berlaku disebabkan ada peningkatan kos pengeluaran dan pengangkutan yang amat bergantung kepada penggunaan minyak. Masyarakat yang berpendapatan rendah di kawasan bandar dan luar bandar sudah tentu merasai keperitannya. Kenaikan harga barang keperluan akan mengurangkan kuasa membeli rakyat. Hanya mereka berpendapatan tinggi, mampu membeli barang berkualiti. Ini menyebabkan mereka yang berpendapatan rendah terpaksa memilih barang yang rendah kualitinya, sesuai dengan pendapatan mereka. Akibatnya kualiti hidup rakyat akan menurun dan keselesaan yang pernah dikecapi sebelum ini, kini seolah-olah akan berakhir. Kenaikan inflasi secara berterusan juga amat membimbangkan kerana ia boleh menambah jumlah rakyat miskin di dunia. Seperti mana, yang pernah diungkapkan Indra Ghandi, iaitu kemiskinan adalah punca pencemaran yang paling besar.


Sebelum ini, Bank Dunia pernah menyatakan mengenai kenaikan harga makanan, dijangka menyebabkan 100 juta penduduk dunia jatuh dalam kategori kemiskinan melarat. Fenomena kenaikan harga makanan ini juga dijangka akan berlarutan sehingga 2015. Selain itu, inflasi global juga boleh menjejaskan pembangunan dalam sektor ekonomi. Pembangunan aktiviti industri, perdagangan dan perkhidmatan akan menerima kesan langsung. Peluang pekerjaan mula menyusut dan kadar pengangguran semakin meningkat. Keadaan ini akan mendorong kepada tekanan hidup masyarakat yang dijangka membawa peningkatan terhadap gejala sosial. Tidak dapat dinafikan apa yang berlaku kini adalah impak daripada globalisasi ekonomi. Fenomena ini adalah satu ancaman besar terhadap kelestarian pembangunan sesebuah negara, wilayah dan dunia secara umumnya. Namun timbul juga persoalan adakah konsep pembangunan lestari itu benar-benar diterapkan dalam proses pembangunan atau pun ia sekadar hiasan semata-mata. Tanpa mengira apa juga persoalannya, kita perlu melakukan ulangkaji terhadap apa yang sudah berlaku kini. Mengulangkaji dalam erti kata menilai semula impak globalisasi terhadap kelestarian pembangunan. Globalisasi bukan hanya memberikan kesan kepada ekonomi, malah mengheret masyarakat dunia ke kancah globalisasi kemiskinan. Justeru, pembangunan lestari perlu dilihat dalam aspek menyeluruh. Elemen dalam pembangunan seperti ekonomi, sosial, budaya serta penggunaan sumber alam perlu diurus dalam ruang lingkup yang bersepadu dan bukannya dalam bentuk yang terpisah antara satu sama lain.


Strategi pembangunan lestari perlu diperkukuhkan dengan langkah berkesan untuk berhadapan dengan globalisasi. Dalam konteks negara kita, usaha mengukuhkan teras ekonomi rakyat perlu dipertingkatkan. Isu mengenai kenaikan harga barang perlu diatasi dengan cara berhikmah dengan pendekatan kelestarian. Kebergantungan terhadap sumber asli tidak boleh diperbaharui seperti minyak perlu dikurangkan. Alternatif bagi menggunakan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin, dan ombak adalah langkah bijak yang perlu diusahakan dengan serius. Langkah kerajaan untuk mengadakan Dasar Tenaga Nasional dilihat wajar dan bertepatan pada masanya. Usaha ke arah memperluaskan industri pertanian untuk bekalan makanan dalam negara adalah suatu langkah proaktif yang amat wajar dilaksanakan. Pengeluaran bekalan makanan dalam negara dapat mengurangkan import bahan makanan daripada luar yang kini mengalami peningkatan harga kos penghantaran dan pengeluaran. Sebarang kegiatan untuk mengeksploitasi sumber asli seperti pembalakan hutan dan perlombongan secara besar-besaran perlu disekat dan dihentikan.


Atas kepentingan ekonomi, sumber alam tidak sepatutnya dijadikan mangsanya. Kos memulihkan semula akibat kerosakan adalah lebih besar daripada nilai ekonomi yang dijana daripada kegiatan itu. Di samping itu, peranan rakyat dalam mengamalkan gaya hidup mesra alam amat dituntut. Kini perubahan sikap dan amalan terhadap perbelanjaan perlu berubah. Pembaziran ketika membeli barang, perlu dielakkan. Konsep 5R + 1C, iaitu guna semula (reuse), kurangkan (reduce), kitar semula (recycle), fikir semula (rethink), baiki semula (repair) dan kompos (composting) perlu menjadi amalan dalam kehidupan. Amalan ini seharusnya bukan sekadar dilaksanakan pada peringkat rakyat, tetapi perlu juga diserapkan dalam pentadbiran organisasi kerajaan dan swasta.


Sesungguhnya isu ekonomi adalah ancaman globalisasi yang tidak mudah dielakkan. Kesan globalisasi ekonomi sudah diterima di kebanyakan negara di dunia. Negara kita juga turut menerima tempias daripada pusaran globalisasi yang memaksa penstrukturan semula subsidi dan tambahan belanjawan kepada RM230 bilion bagi Rancangan Malaysia Kesembilan. Dalam menghadapi globalisasi ini, strategi berkesan menerusi pengukuhan teras ekonomi rakyat, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran global serta perubahan sikap masyarakat adalah langkah terbaik dalam meneruskan agenda membangunkan negara secara lestari.