Merancang Kejayaan


KEJAYAAN atau mencapai sesuatu yang dinginkan merupakan buruan setiap manusia. Lawan kepada KEJAYAAN adalah KEGAGALAN. Matlamat yang jelas dalam kehidupan mampu mendorong kita ke arah KEJAYAAN yang diinginkan. Antara ciri – ciri penting bagi orang yang berjaya adalah mereka yang bijak ‘merancang’ apa yang ingin dicapai dalam kehidupan. Persoalanya bagaimana ingin merancang untuk berjaya ?

Banyak tokoh – tokoh perniagaan yang berjaya, ahli koporat, jurutera, professor, motivator dan pemikir mempunyai satu formula yang sama. Formula pertama adalah dengan menulis matlamat yang ingin dicapai dengan jelas. Di turuti dengan langkah – langkah strategik untuk mencapai matlamat.

Ada orang yang berangan – angan untuk mencapai KEJAYAAN tapi tidak ‘merancang’ sesuatu untuk mencapainya. Akhirnya dia terus tengelam dalam angan – angan. Orang lain telah mencipta KEJAYAAN. Dia terus mencipta KEGAGALAN.

Dalam konteks Islam, merancang sesuatu amat penting. Ia terserlah dalam aspek peperangan, pentadbiran, perniagaan dan hubungan luar. Untuk mencipta sesuatu yang luar biasa, kita perlu melakukan usaha yang luar biasa hebatnya, dan kita perlu keluar dari kebiasaan.

Bencana Pemusnah Kelestarian Alam


Bencana Pemusnah Kelestarian Alam

Bagaikan tiada apa yang tinggal lagi.

Rumah – rumah hancur musnah, bangunan runtuh, jalan raya retak terbelah, manusia digilis di perut bumi, tertimbus, dihempap batu – batu bangunan, lanskap fizikal kampung, bandar dan didesa punah dalam pandangan mata. Gegaran dan gempa bumi tidak mengenal anak kecil, wanita, orang tua , pemimpin besar atau siapa sahaja.

Begitulah gambaran kemarahan alam terhadap penduduk bumi pasti ada sebab mengapa alam begitu marah dengan penduduk bumi ini. Menjadi iktibar bagi kita yang masih diberi nikmat yang besar. Juga menjadi peringatan kepada kita agar menjaga tatatertib dan kelakuan di atas muka bumi.

Manusia sering sombong dengan kuasa dan pencapaiannya. Sesungguhnya alam ini masih menanti untuk melanyak manusia lagi pada bila – bila masa. Benarlah apa yang di maksudkan oleh shahnon dalam revolusi yang ditangguhkan.

Ya Allah Ampunkan Dosa – Dosa Kami. Jauhkan Kami Dari Azab Siksa Di Dunia Dan Akhirat

Satu Malaysia Satu Bahasa


Bulan Bahasa Kebangsaan tengah berlangsung ketika ini. Ia membawa aspirasi besar untuk rakyat malaysia memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ini bererti bahasa melayu menjadi bahasa kebangsaan kepada semua rakyat berlainan bangsa di Malaysia. Ini termasuklah cina, india, iban, kadazan, bajau, penan, murut dan lain – lain bangsa yang menjadi warganegara.

Kini tahap pencemaran bahasa semakin terserlah didalam papan iklan, iklan TV, dan penggunaan bahasa oleh penyampai radio dan tv di negara kita. Dalam kalangan pencinta dan pejuang bahasa mereka menginginkan bahasa melayu dipertingkatkan dari segi laras, leksis, kota kasa, istilah dan tatabahasa. Ada yang berpandangan bahawa bahasa melayu hanya penting diperingkat SPM sahaja. Selepas itu bahasa melayu dilihat terus dicampak ke tepi. Bahasa inggeris digunakan secara aktif diperingkat pengajian tinggi.

Malahan disesetengah sektor awam, dalam konteks penulisan garis panduan teknikal bahasa inggeris terus digunakan. Nampaknya fenomena ‘minda tertawan’ dengan bahasa inggeris ini masih berlarutan dan akan berterusan sama ada diperingkat tinggi kakitangan awam dan juga para sarjana di peringkat pengajian tinggi. Hal ini melihatkan suatu paradoks dan kejanggalan.

Pada hemat saya, bahasa melayu perlu dimartabatkan sebagai bahasa penyampai pemikiran masyarakat malaysia. Kita sering mendengar orang melayu yang masih mencampur adukan bahasa melayu dan bahasa inggeris dalam perbualan, pengucapan dan percakapan. Kita masih mendengar masih terlalu ramai mereka dari bangsa – bangsa lain selain melayu tidak fasih berbahasa melayu walau sudah hampir 45 tahun hidup di negara berbahasa melayu. Bahasa melayu yang digunakan masih ditahap budak sekolah tadika yang baharu belajar membaca dan menulis.

Jesteru itu saya menyeru kepada rakan – rakan di semua peringkat untuk meneruskan ketekalan dalam memperjuangkan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi, ilmu, sains dan teknologi. Bahasa melayu merupakan aset yang amat bernilai. Rata – rata bangsa yang menggunakan bahasa asal mereka adalah bangsa yang berjaya.

Pengisian hari raya untuk generasi muda


* dipetik dari Utusan Malaysia 25 september 2009


Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD

HARI Raya Aidilfitri terus disambut penuh kesyukuran oleh umat Islam di negara ini yang berjumlah lebih 16 juta orang. Ia dirayakan penuh meriah oleh semua lapisan generasi.
Namun dalam kemeriahan kita menyambut hari raya, kita harus memikirkan apakah pengisian yang sesuai untuk generasi muda kita? Ini kerana ada di kalangan generasi muda kita yang tersimpang dalam menyambut hari raya. Bagi sesetengah mereka hari raya dianggap sebagai pesta muda mudi untuk berseronok dan bergembira.
Generasi muda kita seolah-olah dibiarkan sahaja dalam menentukan pilihan dan cita rasa mereka dalam menyambut hari raya. Hal ini sekiranya dibiarkan berlarutan sudah tentu akan memadam makna dan pengertian Aidilfitri yang sebenar.
Ini kerana Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah. Bulan Ramadan yang dilalui selama sebulan berperanan untuk menyucikan diri manusia daripada segala dosa dan kemaksiatan. Ia mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kemungkaran agar kembali kepada fitrah insan yang mengabdikan diri seutuhnya kepada Allah SWT.
Bagaimanapun pengertian Aidilfitri ini dicalarkan dengan pengisian hari raya yang tidak bermanfaat di kalangan generasi muda. Ada di antara remaja kita menghabiskan masa di hadapan TV menonton rancangan filem, hiburan dan persembahan artis yang dianggap lebih menarik perhatian mereka.
Ini menyebabkan mereka 'malas' untuk melakukan amalan ziarah menziarahi di kalangan sesama keluarga dan jiran tetangga.
Selain itu ada dalam kalangan generasi muda pula yang menghabiskan masa berpeleseran di kompleks membeli-belah, pawagam, kompleks boling dan pusat hiburan. Kelihatan pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan juga berlaku.
Ada antara mereka yang berpakaian menjolok mata sehingga mendedahkan aurat, berpegangan tangan dan berpelukan antara lelaki dan perempuan.
Amat menyedihkan lagi didapati mereka adalah remaja yang berumur dalam lingkungan belasan tahun. Apakah yang bakal berlaku seandainya perkara ini terus membudaya di kalangan generasi kita pada masa akan datang? Tidak cukup dengan pergaulan bebas di pusat hiburan ada remaja yang menghabiskan masa cuti hari raya dengan merempit di jalan raya.
Situasi ini seharusnya dipandang serius oleh semua pihak. Kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak tidak seharusnya dijadikan 'tiket' untuk remaja berseronok sehingga menjual maruah diri dan merosakkan nama agama.
Dalam masa yang sama ibu bapa harus memantau pergerakan anak-anak semasa cuti hari raya. Kita tidak inginkan anak-anak remaja Muslim menjadi hamba kepada keseronokan. Apa yang kita impikan hari raya ini disambut dengan penuh pengertian dan pengisian yang bermakna.
Dalam hal ini ibu bapa seharusnya menyediakan pengisian program hari raya yang khusus untuk anak-anak remaja mereka.
Ini bukan bertujuan untuk mengongkong mereka bersosial. Tetapi ia bertujuan mengawal mereka daripada pengaruh negatif yang boleh merosakkan akhlak dan pemikiran remaja Muslim kita.
Sekurang-kurangnya ada empat pengisian program hari raya yang boleh dilakukan oleh ibu bapa khususnya kepada generasi muda.
Pertama; program ziarah keluarga.
Ia perlu dijadikan kewajipan di kalangan anak-anak remaja kita. Amalan ziarah menziarahi antara sesama saudara mara perlu dibudayakan.
Di samping itu berhari raya dengan memakai pakaian yang bersopan dan menutup aurat adalah suatu perkara yang harus diteruskan. Ini kerana ramai di kalangan generasi muda kita yang memandang enteng terhadap amalan menutup aurat.
Menziarahi datuk, nenek dan seluruh ahli keluarga yang berdekatan amat penting dilakukan. Ia dapat mengukuhkan silaturahim dan ukhwah di kalangan keluarga umat Islam. Dalam masa yang juga ia dapat melahirkan rasa hormat dan kasih sayang di kalangan golongan tua dan muda.
Kedua; mengunjungi tanah perkuburan. Mengunjungi pusara saudara mara yang telah meninggal dunia merupakan amalan murni yang mempunyai hikmah yang amat besar. Amalan ini dapat melahirkan rasa insaf di kalangan remaja tentang hakikat kehidupan yang cuma sementara.
Ia juga dapat menjalin rasa kekeluargaan tinggi di kalangan remaja.
Ketiga; amalan solat berjemaah.
Di kalangan anak-anak remaja, kesempatan untuk berkumpul bersama-sama boleh dimanfaatkan untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah.
Bapa menjadi imam kepada anak-anak dan menyampaikan amanat sempena hari raya. Amalan bersalaman dan bermaaf-maafan dapat mengeratkan tali silaturahim di kalangan ahli keluarga.
Dalam masa yang sama amalan solat berjemaah dapat membina kekuatan iman dan membina benteng pertahanan rohani yang mantap.
Keempat; amalan rumah terbuka untuk anak remaja.
Rakan-rakan anak remaja kita perlu diraikan dalam majlis rumah terbuka yang khusus untuk mereka. Dengan ini ibu bapa dapat mengenali siapakah rakan anak-anak remaja mereka.
Majlis seumpama ini juga dapat mengelak daripada perbuatan sumbang yang menyimpang daripada ajaran Islam. Hal ini dapat menghindarkan anak-anak remaja daripada menghabiskan masa di kompleks membeli-belah dan pergaulan bebas tanpa batasan.
Masih belum terlewat untuk kita memimpin generasi muda bagi menghayati Aidilfitri dengan pengisian bermanfaat.
Marilah kita bersama-sama menjadikan Hari Raya Aidilfitri ini sebagai titik perubahan untuk membina generasi muda Islam yang menghayati ajaran Islam dengan seutuhnya.