Ulasan Buku : Rahsia Islam Di China : Rahsia Di Sebalik Tembok Besar China ~ Ann Wan Seng

Setelah membaca buku ini, saya memberikan tiga kesimpulan besar :
[1] Kesimpulan yang pertama, Islam membawa rahmat ke seluruh alam, keamanan kesejahteraan, membina tamadun yang kuat.

[2] Kesimpulan yang kedua, Islam datang tidak merubah budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam. Malah ia berjaya mengislamisasikan budaya tersebut.

[3] Kesimpuan yang ketiga, Islam sejak dahulu lagi telah menjalankan hubungan perdagangan antarabangsa. Hubungan perdagangan ini berjaya menemukan tamadun Islam dan melahirkan banyak pejuang dan pahlawan yang memastikan kesinambungan dakwah terus berjalan lancar.

Permulaan Islam di China mula berkembang semasa pemerintahan Khalifah Uthman. Saad Ibn Waqas direkodkan merupakan utusan pertama dunia Islam ke negara tembok besar china

China, negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia, dengan jumlah populasi mencecah 1.3 bilion. Negara Tembok Besar ini pernah diperintah oleh maharaja dinasti sejak 5000 tahun dahulu sehingga menjadi sebuah negara republik pada 1912. Pada era pemerintahan Dinasti Tang, dakwah Islam mula bertapak di bumi China dan menambat hati sebilangan rakyatnya. Hingga kini, bilangan penganut Islam melebihi 30 juta orang.

Tidak banyak fakta tentang masyarakat Islam di China yang dipaparkan oleh media. Kejayaan dan keutuhan ajaran Islam yang berkembang di bawah sistem pemerintahan komunis ini juga masih misteri. Buku ini membongkar dan mendedahkan rahsia ini.Di sebalik lingkaran kemegahan tembok besar dan legasi dinasti maharaja China, tersembunyi lipatan sejarah kegemilangan Islam di benua Asia. Bermula daripada kedatangan delegasi Saad bin Abi Waqas yang disambut baik oleh Maharaja Yung Wei dari Dinasti Tang, Islam bertapak dan terus subur berkembang di bumi China.


Walaupun empayar maharaja silih berganti hingga era pemerintahan republik komunis, sinar Islam tidak pernah pudar. Malah, sejak 618 M hingga kini, dakwah Islam yang dibawa oleh sahabat Nabi Muhammad terus kukuh di bawah acuan budaya dan nilai yang tersendiri sebilangan rakyat China. Buku Rahsia Islam di China: Gemilang Di Sebalik Tembok Besar menyajikan dimensi menarik yang tersembunyi di sebalik payung pemerintahannya. Bermula dari zaman Dinasti Tang, buku ini membawa pembaca menelusuri beberapa dinasti bersama pahit dan manis di bawah pemerintahan dinasti yang silih berganti. Ditulis dengan gaya bahasa mudah, disusun mengikut rantai peristiwa serta dikukuhkan dengan gambar dan peta sejarah

The World of Electrical Signals

Disertasi ini cuba mengupas dunia metafizik di sebalik penciptaan anugerah5 deria yang dikurniakan kepada manusia.

Keupayaan mendengar, melihat, menghidu, merasa dan menyentuh membolehkan manusia mengetahui apa yang berlaku di dunia luar (external world). Dunia luar mentransmisikan maklumat dalam bentuk isyarat elektrik (electrical signal). Isyarat elektrik tersebut di transformasikan dalam otak manusia dan diterjemahkan dalam bentuk – bentuk maklumat yang boleh difahami oleh manusia melalui 5 deria itu.

Kadar penukaran isyarat elektrik begitu pantas , pada kadar tidak terhingga (infiniti) kelajuanya. Kelajuan processor komputer sudah semestinya tidak setanding dengan kelajuan processor otak manusia.

Setiap detik dan saat yang kita lalui, kita menerima jutaan maklumat isyarat elektrik kedalam otak. Maha Besar Allah SWT di atas segala penciptaan NYA

Ulasan Buku : World On Fire oleh Amy Chua


Buku ini telahpun berada di pasaran seawal tahun 2004. Tesis utama yang dibawa oleh pengarangnya, Amy Chua adalah sistem demokrasi pasaran bebas yang dilaksanakan pada hari ini, khususnya di negara-negara kumpulan minoriti menjadi dominan , mampu mencetuskan ketegangan antara kumpulan minoriti dan majoriti. Sebagaimana yang pernah dihujahkan oleh Francis Fukuyama lewat karyanya The End Of History bahawa seakan-akan sistem kapitalisma-pasaran bebas akan menjadi sistem terakhir yang akan menjadi the order of the day, garapan Amy Chua sebaliknya mendedahkan keburukan yang akan berlaku di negara-negara yang mempunyai latar belakang seperti yang telah dijelaskan.


Bermula daripada tragedi pembunuhan ibu saudaranya di tangan penduduk peribumi Filipina akibat rasa benci terhadap etnik minoriti Cina yang menguasai ekonomi di Filipina, Amy Chua terus cuba menampilkan beberapa pola yang sama di seluruh dunia. Beliau berjaya mendedahkan pola sama yang sedang berlaku di Indonesia, Bolivia, Rusia , Burma dan Rwanda. Apa yang perlu diambil iktibar adalah dalam latar belakang sosio ekonomi yang menyaksikan kaum minoriti, lazimnya kaum pendatang berjaya menguasai ekonomi dan menjadi dominan, kemungkinan akan tercetusnya pergaduhan kaum adalah satu faktor yang tidak boleh ditolak.


Seandainya kita mengekstrapolasikan trend ini ke dalam skala yang lebih besar, Amy Chua menyatakan bahawa pada hari ini, Amerika Syarikat-lah yang sedang menjadi kumpulan dominan-minoriti dan sedang mengautkan kekayaan, sedangkan seluruh dunia kini menjadi kumpulan majoriti yang sedang tertindas. Inilah sebab mengapa di dunia banyak negara yang membenci dan tidak menyukai AS.


Seperkara yang menarik, penulis turut mendedahkan bahawa sistem kapitalisma dan pasaran bebas yang diperkenalkan ke seluruh dunia pada hari ini merupakan model yang telahpun dikenalpasti mempunyai kelemahan dan masalah, dan tidak lagi dikut sepenuhnya oleh dunia Barat, khususnya AS sendiri.


Namun dunia Barat tetap mencanangkan agar seluruh dunia mengambil model ini sebagai sistem utama. Sebaliknya di dunia Barat, dengan mengetahui bahawa sistem ini merupakan sistem yang bermasalah, Barat telah memperkenalkan pelbagai institusi pengagihan kekayaan (redistributive institutions ) bagi mengurangkan dampak sistem pasaran bebas ini di negara masing-masing.

Bencana Alam Jejas Pembangunan



Bencana alam jejas pembangunan - Rencana - Utusan Malaysia 21 jun 2008
Oleh Abdul Rahman Mahmud

SEJAK kebelakangan ini pelbagai krisis bencana alam telah berlaku di serata dunia. Dalam tempoh setengah tahun ini sahaja masyarakat dunia telah digemparkan dengan dua peristiwa bencana alam yang amat dahsyat. Iaitu Taufan Nargis di Myanmar dan gempa bumi di China. Bencana alam yang berlaku ini telah meragut ribuan nyawa manusia, kemusnahan tempat tinggal, kehilangan harta benda dan kerosakan alam sekitar.

Rantau Asia yang kita diami ini juga pernah dikejutkan dengan bencana tsunami yang berpunca dari gempa bumi dasar laut di Lautan Hindi. Akibatnya ratusan ribu nyawa hilang serta terdapat beberapa kawasan kediaman di wilayah Aceh lenyap dalam pandangan mata. Tragedi menyayat hati ini membuktikan betapa bencana alam yang berlaku kadang kala datang tanpa di duga.
Statistik menunjukkan semenjak tahun 1992 hingga tahun 2002 di Asia, kejadian bencana alam telah menjejaskan kehidu- pan 1.7 juta manusia dan telah meragut se- banyak 420,867 nyawa. Ia juga turut menyebabkan kerugian harta benda sebanyak AS 369,362 juta dolar.

Kemunculan bencana di tengah-tengah gelombang pembangunan telah memberikan ancaman besar kepada keselamatan dan ekonomi sesebuah negara. Ini kerana bencana yang berlaku boleh membawa kerugian harta benda dan nyawa.

Tambahan pula langkah-langkah pemulihan selepas bencana mengambil masa yang panjang dan melibatkan kos yang tinggi. Ini termasuklah operasi menyelamatkan mangsa, pemulihan kawasan bencana dan projek pembangunan semula.

Setelah bencana menimpa masyarakat berdepan pula dengan rantaian kesan-kesan sampingan, seperti wabak penyakit berjangkit dan masalah kekurangan bekalan makanan. Di samping itu, bencana alam yang berlaku juga meninggalkan kesan psikologi yang mendalam kepada rakyat. Perasaan fobia tidak mudah luput dalam ingatan mangsa yang mengalami musibah bencana.
Pada awal sejarah kehidupan manusia, bencana alam yang berlaku dianggap sebagai salah satu proses alam semulajadi. Namun jumlah peningkatan bencana alam yang semakin tinggi pada akhir-akhir ini telah menimbulkan persoalan.

Beberapa saintis di Barat mengaitkan peningkatan kejadian bencana alam sejak akhir ini dengan fenomena perubahan cuaca global. Bencana seperti ribut taufan, banjir besar dan kemarau panjang adalah terhasil dari perubahan cuaca yang tidak menentu.
Peristiwa bencana yang berlaku di serata dunia seharusnya menjadi iktibar kepada kita khususnya di Malaysia. Hakikatnya ti- ada satu pun negara yang kebal daripada bencana alam yang menimpa. Kita amat bersyukur kerana di negara kita belum ada lagi kejadian bencana alam yang meragut ribuan nyawa manusia. Walaupun begitu terdapat kejadian bencana alam yang kerap berlaku misalnya banjir kilat, banjir besar dan tanah runtuh.

Bencana alam yang berlaku diseluruh negara memerlukan suatu sistem pengurusan yang berkesan. Pengalaman kita dalam menghadapi bencana banjir di Johor dan Pahang pada tahun 2007, seharusnya dapat mempertingkatkan kesedaran untuk memperbaiki sistem pengurusan bencana alam di Malaysia.

Walaupun bencana alam yang datang tidak mampu dielakan, namun kita masih berpeluang untuk mengurangkan risiko bencana melalui sistem pengurusan bencana yang berkesan.
TindakanKegagalan untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda ketika berlakunya bencana adalah disebabkan oleh beberapa faktor utama. Antaranya ialah ketiadaan sistem amaran awal, kegagalan sistem penyampaian maklumat, kurangnya kesedaran masyarakat dan lemahnya koordinasi antara agensi kerajaan dan orang awam dalam melakukan tindakan semasa bencana berlaku.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) bencana ditakrifkan sebagai kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat.
Pengurusan risiko bencana alam perlu dilihat dalam perspektif yang menyeluruh. Ia perlu merangkumi aspek persediaan menghadapi bencana, mengenal pasti risiko bencana yang hadir, pencegahan dan tebatan, tindakan semasa bencana serta langkah-langkah pemulihan selepas sesuatu bencana itu berlaku.

Risiko sesuatu bencana terhadap alam sekitar sebenarnya boleh dikenal pasti dengan kajian penilaian risiko sebelum sesuatu bencana berlaku. Kajian penilaian risiko bencana dapat memberikan maklumat mengenai sifat bencana, tahap risiko yang diwujudkan dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan ri- siko bencana.
Kajian penilaian risiko juga dapat membantu untuk memberikan maklumat tentang kaedah dan tindakan yang boleh diambil apabila sesuatu bencana berlaku. Maklumat yang diberikan melalui kajian ini amat bermanfaat untuk menghasilkan piawaian operasi kerja dalam menangani sesuatu kejadian bencana.

Selain itu, pembangunan keupayaan melalui latihan dan kerjasama antara agensi amat penting dalam meningkatkan kecekapan pengurusan bencana. Koordinasi yang baik antara agensi kerajaan difikirkan amat penting dalam membentuk suatu tindakan bersepadu. Selain itu juga kewujudan badan bukan kerajaan yang aktif di Malaysia perlu dilibatkan secara bersama dalam pengurusan bencana alam.

Sesungguhnya kejadian bencana alam yang semakin meningkat merupakan suatu bentuk ancaman kepada pembangunan dunia. Bencana alam yang menimpa tidak mengira masa dan tempatnya.

Kesiapsiagaan kita untuk menghadapinya melalui langkah-langkah konkrit dapat mengurangkan risiko bencana alam sekali gus dapat menjamin kelangsungan kehidupan dan kelestarian pembangunan.