Ulasan Buku : World On Fire oleh Amy Chua


Buku ini telahpun berada di pasaran seawal tahun 2004. Tesis utama yang dibawa oleh pengarangnya, Amy Chua adalah sistem demokrasi pasaran bebas yang dilaksanakan pada hari ini, khususnya di negara-negara kumpulan minoriti menjadi dominan , mampu mencetuskan ketegangan antara kumpulan minoriti dan majoriti. Sebagaimana yang pernah dihujahkan oleh Francis Fukuyama lewat karyanya The End Of History bahawa seakan-akan sistem kapitalisma-pasaran bebas akan menjadi sistem terakhir yang akan menjadi the order of the day, garapan Amy Chua sebaliknya mendedahkan keburukan yang akan berlaku di negara-negara yang mempunyai latar belakang seperti yang telah dijelaskan.


Bermula daripada tragedi pembunuhan ibu saudaranya di tangan penduduk peribumi Filipina akibat rasa benci terhadap etnik minoriti Cina yang menguasai ekonomi di Filipina, Amy Chua terus cuba menampilkan beberapa pola yang sama di seluruh dunia. Beliau berjaya mendedahkan pola sama yang sedang berlaku di Indonesia, Bolivia, Rusia , Burma dan Rwanda. Apa yang perlu diambil iktibar adalah dalam latar belakang sosio ekonomi yang menyaksikan kaum minoriti, lazimnya kaum pendatang berjaya menguasai ekonomi dan menjadi dominan, kemungkinan akan tercetusnya pergaduhan kaum adalah satu faktor yang tidak boleh ditolak.


Seandainya kita mengekstrapolasikan trend ini ke dalam skala yang lebih besar, Amy Chua menyatakan bahawa pada hari ini, Amerika Syarikat-lah yang sedang menjadi kumpulan dominan-minoriti dan sedang mengautkan kekayaan, sedangkan seluruh dunia kini menjadi kumpulan majoriti yang sedang tertindas. Inilah sebab mengapa di dunia banyak negara yang membenci dan tidak menyukai AS.


Seperkara yang menarik, penulis turut mendedahkan bahawa sistem kapitalisma dan pasaran bebas yang diperkenalkan ke seluruh dunia pada hari ini merupakan model yang telahpun dikenalpasti mempunyai kelemahan dan masalah, dan tidak lagi dikut sepenuhnya oleh dunia Barat, khususnya AS sendiri.


Namun dunia Barat tetap mencanangkan agar seluruh dunia mengambil model ini sebagai sistem utama. Sebaliknya di dunia Barat, dengan mengetahui bahawa sistem ini merupakan sistem yang bermasalah, Barat telah memperkenalkan pelbagai institusi pengagihan kekayaan (redistributive institutions ) bagi mengurangkan dampak sistem pasaran bebas ini di negara masing-masing.

No comments: