Aktivis Alam Sekitar Imbangi Pembangunan


Dipetik dari Berita Harian 04 Disember 2008

BARU-BARU ini kerajaan memberikan Anugerah Merdeka kepada sebuah pertubuhan alam sekitar yang banyak menabur bakti kepada tanah air. Kejayaan ini suatu pengiktirafan besar negara kepada pertubuhan dan aktivis alam sekitar. Ada juga anugerah lain diberikan kerajaan terhadap usaha konservasi alam sekitar di Malaysia seperti Anugerah Langkawi dan Anugerah Bandar Lestari. Ia jelas membuktikan keterbukaan kerajaan menerima dan mengiktiraf pandangan serta cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan dalam proses membuat sesuatu keputusan. Anugerah yang diberikan kerajaan ini adalah atas iltizam dan kesungguhan pertubuhan ini dalam memperjuangkan khazanah alam. Sumbangan aktivis alam sekitar di negara ini tidak lagi mampu dipersoalkan kerana banyak sumbangan yang mereka berikan kepada negara.


Bahkan ada di antara mereka terbabit secara aktif dalam gerakan kesedaran alam sekitar di persada antarabangsa. Walaupun komentar mereka terhadap sesuatu isu kadangkala agak tegas, apa yang diperjuangkan jelas menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi. Antara isu yang diperjuangkan oleh aktivis alam sekitar di Malaysia adalah berkaitan usaha konservasi hutan simpan, penjagaan taman laut dan usaha menyelamatkan hutan paya bakau dan kawasan tanah tinggi. Di samping itu mereka juga memberikan pandangan dalam kajian impak alam sekitar. Kewujudan pertubuhan alam sekitar dianggap sebagai rakan dalam pembangunan negara (partnership in development). Dalam konteks antarabangsa aktivis alam sekitar adalah ikon disegani kerana mereka bukan saja memperjuangkan hak alam sekitar untuk kehidupan yang lebih baik, malah mereka banyak memberikan cadangan kreatif dan inovatif terhadap penyelesaian sesuatu masalah alam sekitar.


Pada awalnya gerakan kesedaran alam sekitar di dunia banyak dipelopori golongan intelektual yang mempunyai kesedaran tinggi dalam bidang alam sekitar. Mereka termasuk yang menceburi secara khusus dalam bidang sains dan kejuruteraan. Kebimbangan mereka melihat tren perubahan kualiti alam sekitar dan pertambahan populasi mengilhamkan mereka memperjuangkan kehidupan lebih harmoni pada masa depan. Di Eropah misalnya gerakan kesedaran alam sekitar bermula selepas revolusi perindustrian. Ketika itu pelbagai impak pencemaran alam sekitar dirasai masyarakat menerusi pembinaan kilang dan penggunaan arang batu secara rakus oleh syarikat besar sehingga menyebabkan pencemaran udara yang agak serius. Kini, kesedaran alam sekitar di seluruh dunia membentuk suatu aliran pemikiran baru di kalangan masyarakat yang dikenali sebagai environmentalisme. Di Malaysia ada kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar. Ia bukan saja disertai golongan berpelajaran tinggi, malah masyarakat biasa yang prihatin terhadap alam sekitar. Aktivis alam sekitar di negara kita terdiri daripada golongan kerani, guru, pensyarah, doktor, saintis dan jurutera.


Sekurang-kurangnya ada tiga perkara penting yang perlu dimantapkan oleh pertubuhan alam sekitar di Malaysia dalam menghadapi masa depan. Pertama; meningkatkan profesionalisme dalam tindakan, kedua; memperluaskan skop golongan sasaran dan ketiga; memperbanyakkan kajian dan penerbitan dalam bidang alam sekitar. Dalam konteks hari ini, pembangunan semakin pantas berkembang, justeru pertubuhan alam sekitar di Malaysia seharusnya mempertahankan sikap profesionalisme dalam setiap tindakan yang dilakukan.


Aktivis alam sekitar perlu memegang prinsip amal maaruf nahi mungkar yakni menyeru masyarakat melakukan kebaikan dan mencegah sebarang bentuk aktiviti yang boleh merosakkan kehidupan dan keselesaan hidup rakyat. Program kesedaran alam sekitar tidak seharusnya terbatas dalam lingkungan golongan pelajar, belia dan profesional semata-mata, malah perlu diperluaskan di kalangan masyarakat di pinggiran sungai dan kampung.


Walaupun ada program kesedaran yang dilaksanakan di kalangan masyarakat luar bandar tetapi ia belum cukup dapat melonjakkan dan merubah cara hidup masyarakat ke arah alam sekitar yang lebih baik. Prinsip ini juga dapat dipraktikkan dengan cara memberikan cadangan dan pandangan mereka terhadap sesuatu isu melalui kaedah yang terbaik. Sebarang aktiviti yang bakal merosakkan ekosistem alam perlu disanggah dengan hujah bernas. Dalam hal ini, aktivis alam sekitar perlu melaksanakan kajian teliti disokong fakta dan data yang kemas. Langkah mengadakan dialog, diskusi dan masyuwarah adalah kaedah terbaik dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul. Sekali gus menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi di kalangan mereka.


Pertubuhan alam sekitar diharap juga dapat membantu menjalankan kajian dan pembangunan berkaitan alam sekitar. Kajian mengenai alam sekitar di Malaysia pada masa kini banyak bertumpu di kalangan cendikiawan di menara gading saja. Pertubuhan bukan kerajaan perlu memainkan peranan ini secara bersama. Kajian boleh dilaksanakan secara bersama dengan institusi penyelidikan dan agensi kerajaan. Hasil kajian diharap dapat disebarkan di kalangan masyarakat kita. Penerbitan buku, majalah dan risalah mengenai alam sekitar perlu diperbanyakkan terutama dalam bahasa Malaysia. Usaha penterjemahan buku berkaitan alam sekitar ke bahasa Malaysia dapat membantu proses pemindahan ilmu dengan berkesan.


ABDUL RAHMAN MAHMUD, Alor, Star, Kedah.

No comments: