Kesedaran krisis global


Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD - Utusan Malaysia 31 Disember 2008


Sepanjang tahun 2008, dunia telah dikejutkan dengan pelbagai krisis yang datang bertali arus. Negara kita turut sama menerima badai krisis globalisasi yang agak memeritkan. Apa yang diungkapkan sebagai 'dunia tanpa sempadan' sememangnya menyediakan cabaran hebat buat negara dan rakyat.




Pelbagai krisis global yang melanda pada tahun 2008 seharusnya dijadikan iktibar dan pengajaran dalam meniti hari di tahun-tahun yang mendatang. Tahun 2008 boleh dianggap sebagai tahun penuh krisis sehingga memaksa manusia di serata dunia untuk peka terhadap persekitaran dan bersedia untuk beradaptasi dengan suasana yang tidak menentu.


Sekurang-kurangnya terdapat empat krisis global yang melanda dunia pada tahun 2008. Iaitu krisis bencana alam, krisis makanan, krisis kenaikan harga minyak dan krisis ekonomi global.
Krisis bencana alam besar pada tahun ini bermula dengan Taufan Nargis yang melanda Myanmar. Tragedi ini telah mengakibatkan 85,000 kematian dan 35,000 orang hilang di Myanmar. Bencana tersebut turut menjejaskan sektor pertanian khususnya tanaman padi yang merupakan nadi penggerak utama ekonomi Myanmar.


Ia juga telah memberi implikasi terhadap bekalan beras di negara-negara sekitarnya. Pada 12 Mei 2008 pula di wilayah Sichuan, China berlaku gempa bumi yang dahsyat sehingga mengorbankan 69,227 nyawa.


Wilayah Sichuan hampir lenyap dari peta dunia setelah hampir seluruh infrastruktur termasuk sekolah dan bangunan kediaman runtuh digegar bumi. Lazimnya setelah berlakunya bencana ia memerlukan kos yang tinggi untuk melaksanakan program pemulihan dan pembangunan semula.


Krisis kenaikan harga makanan di pasaran global, turut berlaku pada awal tahun 2008. Kenaikan harga bijirin seperti gandum, beras dan jagung berlaku di kebanyakan negara. Keadaan ini telah mencetuskan keadaan huru-hara di beberapa buah negara. Antara negara yang paling teruk dilanda krisis makanan ialah Brazil, Mexico, Filipina dan Indonesia sehingga mencetuskan demonstrasi jalanan dan mogok lapar. Ada beberapa faktor yang dikaitkan dengan krisis makanan. Pertama; kekurangan pengeluaran disebabkan oleh faktor perubahan iklim sehingga menyebabkan kemarau, banjir besar dan taufan memberi kesan terhadap hasil pengeluaran pertanian.



Kedua; kenaikan harga minyak menyebabkan inflasi terhadap harga makanan. Ketiga; pengeluaran bahan api bio yang mengunakan hasil pertanian (jagung) memberi kesan terhadap keluaran makanan. Negara kita juga mengalami masalah kekurangan bekalan beras di pasaran tempatan. Ini memaksa kerajaan mengadakan beberapa polisi dan tindakan bagi mengawal kenaikan harga beras. Langkah yang diambil kerajaan dapat mengawal keadaan dengan baik.



Selain itu kerajaan juga berusaha mengukuhkan sektor industri padi dengan mengenal pasti kawasan luas di Sabah dan Sarawak untuk dimajukan sebagai projek penanaman padi negara.
Dunia di tahun 2008 terus dikejutkan dengan kenaikan harga minyak mentah di pasaran global secara mendadak sehingga mendorong kenaikan inflasi yang tinggi. Keadaan ini telah memaksa rakyat untuk mengubah amalan terhadap penggunaan bahan api. Pelbagai saranan dicadangkan semata-mata untuk menggantikan bahan api fosil dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui.







Perdana Menteri turut memberikan saranan yang sama untuk negara membangunkan tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy Technology - RET) semasa majlis penyampaian Anugerah Bandar Lestari 2006/2007 dan Anugerah Langkawi pada 5 Jun 2008. Cadangan ini wajar dilaksanakan untuk membina wajah baru sumber tenaga negara. Di penghujung tahun 2008, harga minyak di pasaran dunia turun dengan mendadaknya. Ini disertai dengan krisis ekonomi global yang semakin memuncak. Harga minyak mentah turun ke paras AS$40 setong, terendah dalam tempoh empat tahun. Pada 6 dan 7 Oktober 2008, pasaran saham dunia mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak 23.1 trilion dolar.



Meningkat
Kemuraman ekonomi dunia dijangka akan berterusan sehingga tahun hadapan. Ini diikuti dengan kadar pengangguran dijangka meningkat disebabkan pemberhentian kerja di beberapa buah syarikat perindustrian yang terpaksa gulung tikar disebabkan menanggung kerugian yang amat tinggi. Dalam konteks negara kita harga minyak sawit mentah dan harga getah turut menerima nasib yang sama. Hakikatnya, golongan pekebun kecil sawit dan getah adalah mereka yang menerima impaknya.



Setiap kali krisis berlaku pelbagai cadangan diberikan untuk mengatasinya. Tidak kurang juga pelan tindakan dibuat bagi menangani masalah yang berlaku. Namun cadangan tidak sepatutnya tinggal begitu sahaja tanpa ada kesungguhan mendalam untuk melaksanakannya. Dalam konteks rakyat Malaysia, kita seharusnya mengambil iktibar apa yang telah berlaku dan bersedia untuk menghadapi saat-saat krisis yang bakal menimpa di masa hadapan. Penghujung dan awal tahun (Masihi dan Hijrah) adalah masa yang terbaik untuk kita bermuhasabah dan merancang persiapan yang lebih kukuh pada masa hadapan. Fokus 2009, perlu diberikan perhatian mengikut keutamaan yang jelas.



Bagi individu dan keluarga perancangan kerjaya dan kewangan seharusnya diberi fokus yang utama. Perbelanjaan seharusnya dirancang secara berhemah pada setiap keadaan sama ada senang atau susah. Yang paling penting jangan membazir wang dan masa untuk sesuatu yang tidak berfaedah. Di kala bencana menimpa, tiada siapa yang dapat membantu kita seratus peratus. Seandainya kita mempunyai simpanan kewangan, ia dapat meringankan bebanan kita.



Bagi organisasi swasta dan NGO, saat ini adalah saat yang terbaik untuk merancang aktiviti dengan mengambil kira faktor semasa yang serba tidak menentu. Fokus dan matlamat organisasi seharusnya jelas dan mantap serta dikongsi bersama dengan setiap ahli. Kesuraman ekonomi yang diramal berlaku pada tahun 2009, seharusnya dijadikan pertimbangan. Program kebajikan, sosial dan masyarakat seharusnya tidak terhenti di saat kita menghadapi krisis ekonomi.



Jadi kesimpulan terpenting, setiap ahli dalam masyarakat seharusnya sedar dan faham tentang krisis global yang melanda dunia hari ini. Ini kerana semua yang berlaku di luar sana mungkin juga akan berlaku di dalam negara kita.


Proses kesedaran hanya akan mampu dibina melalui peningkatan budaya ilmu dalam masyarakat melalui pembacaan. Masyarakat akan mampu beradaptasi dengan suasana yang mencabar andainya sedar akan krisis yang berlaku di sekitar mereka.

No comments: