Mendidik generasi muda mencintai alam sekitar


Mendidik generasi muda mencintai alam sekitar - 9 Ogos 2008 Berita Harian

PENERAPAN pendidikan menjaga alam sekitar dan kebersihan bermula di rumah dan mudah dilaksanakan seandainya ibu bapa benar-benar komited untuk melaksanakan usaha murni ini. Ia bukanlah suatu perkara yang sukar dilaksanakan dan tidak memerlukan kos tinggi malahan banyak memberikan manfaat kepada setiap keluarga yang mengamalkannya. Oleh itu, ada beberapa kaedah mudah yang boleh diamalkan ibu bapa untuk mendidik anak untuk menjaga alam sekitar bermula dari rumah.

Pertama; Menanam sikap membuang sampah di tempat yang betul. Pada masa ini, pembuangan sampah sudah menjadi tabiat di kalangan masyarakat. Amalan membuang sampah di tempat yang betul dapat mendidik generasi cintakan kebersihan dan bencikan kekotoran. Melalui pendidikan alam sekitar di rumah, anak diberikan penekanan untuk membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan.

Kedua; Amalan mengasingkan sampah mengikut jenis seperti kertas, plastik botol kaca dan sisa makanan boleh dibudayakan daripada rumah. Ia dapat dilakukan dengan menyediakan empat bekas sampah yang berlainan warna (kuning, biru, jingga dan hijau) bagi mengasingkan sampah harian yang terhasil. Ia boleh diletakkan di tempat strategik di dalam dan halaman rumah.
Ketiga; Ibu bapa perlu mengadakan ruang di halaman rumah untuk menanam tanaman seperti pokok bunga, sayuran dan buah-buahan. Ia bukan saja dapat mengindahkan persekitaran rumah malahan sayuran dan buah-buahan boleh dijadikan santapan berkhasiat untuk jamuan sekeluarga. Sekiranya ruang untuk menanam tumbuhan terhad teknik hidroponik boleh dilaksanakan. Amalan ini selaras dengan saranan Perdana Menteri baru-baru ini untuk menggalakkan tanam sayur dan buah-buahan di sekitar rumah. Selain itu, sisa makanan yang terhasil setiap hari boleh digunakan sebagai baja kompos organik untuk menyuburkan tanaman. Ibu bapa perlu melakukan aktiviti ini secara bersama dengan anak. Kaedah ini dapat menerapkan kefahaman menyayangi alam melalui penanaman tumbuhan yang boleh memberi manfaat kepada manusia.
Keempat; Aktiviti rekreasi alam sekitar perlu diperbanyakkan dan amalan membeli belah ke pusat beli- belah perlu dikurangkan. Ini dapat menggalakkan anak berjimat cermat dan pada masa sama meningkatkan kesedaran untuk menyintai alam sekitar di kalangan anak. Aktiviti rekreasi alam sekitar seperti ke kawasan rekreasi air terjun, kawasan tanah tinggi, hutan, sungai dan pantai adalah lebih bermanfaat daripada ke pusat beli-belah, sekali gus mengisi masa lapang anak dengan penuh berkualiti.

Kelima; Amalan penjimatan tenaga perlu di jadikan amalan di rumah. Amalan penjimatan penggunaan elektrik dan air boleh dilakukan dengan mematikan suis lampu, pendingin hawa dan kipas apabila ia selesai digunakan. Penggunaan air pula di gunakan secara berhemat dengan memastikan air yang digunakan secukupnya dan tidak membazir. Air basuhan pakaian sebenarnya masih boleh digunakan untuk menyiram pokok dan tanaman di halaman rumah.

Keenam, aktiviti mengemas rumah, mencuci kereta dan membersihkan halaman perlu dijadikan budaya di dalam sesebuah keluarga. Ia perlu diadakan sekerap mungkin. Anak-anak yang diajar dengan nilai baik mencintai kebersihan dan membenci kekotoran akan dapat melahirkan ahli masyarakat yang baik ketika berada di luar rumah.


Ketujuh; Bagi mendidik keprihatinan mengenai alam sekitar anak perlu didedahkan dengan maklumat mengenai isu alam sekitar yang berlaku. Majalah berbentuk pendidikan alam sekitar perlu diperbanyakkan di rumah. Anak yang didedahkan maklumat dan bahan bacaan mengenai alam sekitar akan dapat membina pemikiran yang sihat dan matang. Gambar hiasan di dalam rumah juga perlu menonjolkan aspek cintakan alam sekitar. Sesungguhnya isu dan masalah alam sekitar kini semakin mencabar dan kompleks. Peranan ibu bapa amat penting bagi mendidik anak menghayati alam sekitar. Generasi muda yang terbina dengan asas nilai murni yang kuat dari rumah dapat membina masyarakat yang bertanggungjawab dan sedar mengenai alam sekitar.

ABDUL RAHMAN MAHMUD, Alor Star, Kedah

3 comments:

Unknown said...

👍👍

中弦 said...

It help me a lot in my karangan contoh huraian, haha, thanks a lot!
=)

中弦 said...

It help me a lot in my karangan contoh huraian, haha, thanks a lot!
=)