Adil Dalam Pembangunan


Islam merupakan agama yang syumul sentiasa kehadapan dalam memberikan jawapan terhadap persoalan semasa dalam kehidupan manusia. Ini termasuklah dalam hal yang melibatkan pembangunan. Islam amat menekankan konsep pembangunan alam sekitar seimbang dan lestari dengan bertunjangkan rasa kehambaan yang tinggi terhadap Allah SWT yang menciptakan alam ini.

Manusia diberikan tanggungjawab sebagai khalifah yang mempunyai peranan penting dalam membangunkan dan memakmurkan sumber - sumber alam ini secara bijaksana. Komponen alam sekitar seperti lautan, sungai, pantai, hutan dan tanah tinggi perlu dibangunkan secara seimbang tanpa merosakanya.

Dalam konteks pembangunan, Islam amat mementingkan pelaksanaan konsep keadilan bagi memastikan kelestarian alam terus terjamin. Keadilan dalam pembangunan alam bermaksud membangunkan alam sekitar dengan cara terbaik dengan tidak melakukan kezalimanan terhadap manusia, tumbuhan, haiwan serta seluruh ekosistem alam. Dalam erti kata lain pembangunan perlu berupaya memberikan keadilan kepada setiap mahkluk ciptaan Allah. SWT. Islam amat menganjurkan keadilan untuk sentiasa ditegakan ini jelas dinyatakan Allah SWT dalam al Quran :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan, hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”
(Al-Maidah:8).

Untuk melaksanakan keadilan dalam membangunkan alam ini manusia amat memerlukan ilmu tentang mengurus alam. Ilmu mengurus alam untuk pembangunan termasuklah ilmu kejuruteraan, geologi, alam sekitar, ekonomi, sains dan matematik. Ianya amat diperlukan oleh manusia untuk membantu manusia berfikir dan bertindak secara kreatif dan analitikal serta melaksanakan pembangunan secara adil. Tanpa ilmu manusia tidak akan dapat melaksanakan pembangunan secara adil. Sebaliknya banyak kerosakan dan kezaliman akan berlaku seandainya pembangunan diurus tanpa ilmu. Misalnya, seseorang yang ingin memulakan projek menanam anggur ia perlu mempunyai ilmu asas tentang kesuburan tanah, keamatan cahaya dan baja yang sesuai untuk menjayakan projeknya. Ketiadaan ilmu dalam melaksanakan sesuatu pembangunan diibaratkan seperti orang yang berjalan tanpa haluan. Ilmu yang benar adalah ilmu yang dapat melahirkan akhlak yang murni dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.

Prof. Syed Naquib Al Attas menyimpulkan keadilan di dalam Islam kepada lima perkara utama. Pertama ; pengetahuan dan kebolehan untuk menempatkan yang betul dan wajar bagi sesuatu benda atau manusia, kedua; kebenaran yang menentang kesalahan, ketiga; cara atau batasan, keempat; keuntungan kerohanian terhadap kerugian, dan kelima; kebenaran terhadap kepalsuan. Kesimpulan pertama yang diungkapkan oleh Prof. Syed Naquib Al Attas iaitu keadilan adalah pengetahuan dan kebolehan menempatkan yang betul dan wajar bagi sesuatu benda atau manusia, hal ini amat penting untuk diangkat dan dimartabatkan dalam kehidupan manusia seharian khususnya, dalam melaksanakan pembangunan. Keadilan didalam Islam sebenarnya dapat menjamin hak individu (diri sendiri dan orang lain), menghapuskan kezaliman, melaksanakan hukum dengan saksama, dan memastikan amanah disempuranakan sebaiknya.

Sejak dari kecil lagi umat Islam diajar untuk melaksanakan keadilan dalam kehidupan. Dari sekecil perkara seperti mengutip duri di jalanan, meletakan kasut pada rak kasut dan membuang sampah ke dalam tong sampah sudah diajar seawal umur lima tahun. Sifat – sifat adil di dalam diri muslim yang disuburkan diperingkat awal akan memberi menifestasi yang baik terhadap perkembangan dalam masyarakat Islam. Seandainya sifat – sifat adil dan bertangungjawab tidak diterapkan diperingkat awal sudah pasti masyarakat yang terbina pada masa depan akan berhadapan dengan masalah besar.

Pada masa kini konsep keadilan dalam konteks yang lebih luas amat perlu diterapkan dalam membangunkan alam. Di mana pembangunan melalui penerokaan sumber – sumber alam semulajadi hendaklah diurus dengan baik. Ia perlu mengambil kira kesan jangka pendek dan jangka panjang akibat sesuatu pembangunan terhadap keseimbangan ekosistem alam. Sebagai contoh seorang perancang bandar perlu meletakan aspek keadilan sebagai asas pertimbangan dalam merancang pembangunan. Konsep meletakan sesuatu yang betul dan wajar pada tempatnya diperlukan dalam merancang pembangunan.

Dalam merancang kawasan perumahan misalnya, aspek kesesuaian tapak perlu diambil kira. Kawasan penempatan perlu jauh daripada kawasan berisiko seperti tanah runtuh, banjir dan risiko bahaya dari industri. Ini bagi mengelakan daripada kejadian yang tidak diingini berlaku. Kawasan yang mempunyai kesensitifan tinggi perlu dijaga agar tidak dicerobohi dan dimusnahkan. Manakala kawasan yang berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan pertanian dan industri perlu dibangunkan semaksima mungkin dengan pendekatan adil dan mesra alam.

Keadilan dalam pembangunan alam sekitar akan memberikan faedah yang besar terhadap keharmonian kehidupan manusia. Dimana pembangunan yang wujud akan kelihatan indah dan harmoni serta bebas dari segala ancaman pencemaran dan bencana alam sekitar. Sebaliknya ketidakadilan dalam pembangunan alam sekitar akan banyak mendatangkan kemusnahan terhadap nyawa manusia, harta benda dan alam sekitar. Kejadian banjir dan hakisan tanah yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan oleh penerokaan hutan secara berleluasa. Kegagalan menerapkan konsep keadilan dalam pembangunan boleh dianggap suatu kezaliman. Ia bukan sahaja zalim terhadap manusia tetapi terhadap haiwan, tumbuhan dan bukit bukau yang berperanan menyokong fungsi kehidupan sesuatu ekosistem.

Kegilaan manusia terhadap kekayaan duniawi seringkali menjadikan manusia lupa kepada Allah swt. Mereka mengaut dan mengali kekayaan di perut bumi untuk mengumpul harta sebanyak mungkin sehingga menjadikan dirinya hamba kepada kebendaan. Mereka menggangap apa yang dilakukan sebagai pembangunan tetapi sebenarnya adalah kerosakan. Hal ini memperingatkan kita terhadap firman Allah swt :

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan". "Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya".
(Al Baqarah 11-12 )

Pembangunan di dalam Islam mempunyai dimensi yang cukup luas, manusia yang ditaklifkan sebagai khalifah perlu menghubungkan dirinya dengan matlamat jangka panjang di dunia dan di akhirat. Semua yang dilakukan di atas dunia ini akan dipersoalkan di akhirat kelak. Setiap inci tanah yang kita pijak akan menjadi saksi tentang apa yang kita pernah lakukan di atas muka bumi ini. Alam ini secara keseluruhanya akan menjadi saksi terhadap tanggugjwab melaksanakan keadilan dalam pembangunan.

Jesteru itu komitmen kita untuk melaksanakan keadilan perlu diteruskan dalam segenap pekerjaan yang kita laksanakan. Sifat adil dan bertanggungjawab seharusnya disemai dikalangan kita untuk memastikan bahawa ianya terus menjadi teras nilai yang dalam masyarakat kita. Dalam Islam seseorang yang melaksanakan dan menegakan keadilan dapat menghampirkan sifat dirinya terhadap ketaqwaan kepada Allah SWT.

“...hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada
takwa, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (Al-Maidah:8).

Menerapkan konsep keadilan dalam pembangunan alam sekitar perlu dijadikan dasar oleh setiap masyarakat Islam. Sesuai dengan pengertian Islam itu sendiri sejahtera, selamat dan membawa rahmat keseluruh alam. Mereka yang menjalankan tugas sebagai penguasa, perancang dan pemaju perlu menzahirkan rasa perhambaan yang tinggi terhadap Allah swt dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah dengan adil dan bijaksana. Semoga dengan sifat adil dan bertanggungjawab dalam membangunkan alam sekitar akan dapat meningkatkan rasa ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu ( dengan suruhan dan larangannya ini ), supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya.

(Surah An Nahl Ayat 90).

No comments: