Bijak urus tanah bandar*


Dipetik dari Utusan Malaysia 18 Dis 2008


Oleh : Abdul Rahman Mahmud


KEJADIAN tanah runtuh baru- baru ini seharusnya membuka perspektif baru di kalangan pihak berkuasa, pemaju dan orang ramai betapa pentingnya pengurusan guna tanah secara lestari khususnya di kawasan bandar. Perlu difahami bahawa isu besar yang tersirat di sebalik kejadian ini adalah kegagalan mengurus guna tanah di kawasan bandar secara berhikmah.


Isu tanah runtuh adalah sebahagian kecil daripada rentetan isu yang berkaitan dengan pengurusan guna tanah di bandar. Guna tanah boleh difahami secara umum sebagai penggunaan tanah bagi menjalankan suatu fungsi sosial, fizikal atau ekonomi di sesuatu kawasan. Perancangan fizikal sesuatu bandar akan lebih berkesan andainya faktor keseimbangan alam diambil kira dalam pembangunan guna tanah. Kegagalan melihat faktor alam sekitar dalam pembangunan sudah pasti mengundang bencana besar dikemudian hari. Pada masa kini isu berkaitan dengan guna tanah semakin berkembang dan bertambah kompleks. Ini termasuklah isu penempatan bagi kawasan perindustrian, perniagaan, penternakan, rekreasi dan perumahan. Pengurusan guna tanah yang tidak terancang di samping pelanggaran garis panduan dan rancangan struktur yang telah dirangka telah mengundang pelbagai masalah kepada orang ramai.


Misalnya terdapat kes dimana kawasan perumahan dibina berdekatan dengan tapak pelupusan sampah dan ladang ternakan haiwan. Ini menyebabkan pencemaran bau dikawasan kediaman. Terdapat juga kawasan kilang yang dibina berhampiran dengan kawasan perumahan sehingga tiada sebarang zon penampan diwujudkan. Ini memberi kesan terhadap pencemaran bunyi dan pelepasan habuk ke kawasan kediaman. Selain itu risiko kemalangan industri seperti pelepasan gas berbahaya, letupan dan kebakaran boleh mengancam keselamatan penduduk sekitar yang tinggal berdekatan.Tidak kurang juga isu tentang penempatan perumahan di kawasan tanah tinggi dan lereng bukit sehingga berlakunya masalah tanah runtuh dan hakisan tanah.


Banjir kilat yang sering berlaku di kawasan bandar juga banyak berpunca disebabkan kehilangan kawasan tadahan air di bandar. Kesemua kes ini memberikan implikasi besar kepada kehidupan orang ramai. Pelbagai aduan mengenai pencemaran alam sekitar dan risiko bencana dilaporkan tetapi langkah penyelesaian masih tertangguh sehingga bencana berlaku. Sampai bilakah hal ini akan berterusan terus menjadi persoalan.


Dalam konteks ini, perspektif baru dalam pengurusan guna tanah amat penting. Pengurusan guna tanah di bandar perlu mematuhi garis panduan dan rancangan pembangunan yang sedia ada. Apalah gunanya kerajaan menghabiskan ribuan ringgit untuk menyediakan pelan rancangan struktur dan rancangan tempatan, serta ditambah dengan beberapa garis panduan pembangunan seandainya ia tidak dapat dipatuhi dengan baik. Ketidakpatuhan terhadap garis panduan dan rancangan pembangunan telah menyebabkan pelbagai masalah timbul. Dalam hal ini juga orang ramai seharusnya mengambil tahu tentang perancangan fizikal di kawasan mereka serta memberi cadangan dan pandangan secara bijaksana terhadap pembangunan yang bakal diadakan dikawasan mereka.

Kemajuan teknologi maklumat sedia ada pada masa kini perlu dimanfaatkan untuk menyalurkan maklumat mengenai perancangan struktur fizikal sesuatu kawasan. Ini kerana buat masa ini pelan perancangan sesuatu kawasan amat sukar untuk didapati. Masyarakat boleh bertindak dengan memberi maklum balas mengenai perancangan fizikal sesuatu kawasan seandainya ia tersasar daripada apa yang telah dirancang.


Lazimnya perancangan struktur sesuatu kawasan dibangunkan mengikut lima kelas ekosistem. Lima kelas ekosistem itu disusun mengikut darjah sensitiviti yang tersendiri. Kelas pertama ialah ekosistem seimbang yang boleh dibangunkan kerana kesan pembangunan yang minimum. Kelas kedua, ekosistem yang boleh terjejas dengan sesuatu projek pembangunan tetapi boleh dikawal dengan langkah pemulihan dan pencegahan yang baik. Kelas ketiga, ekosistem sensitif yang mudah terjejas tetapi sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan dan rekreasi. Kelas keempat ialah ekosistem sensitif yang mudah terjejas dan berbahaya kepada penduduk. Kelas kelima adalah kawasan paling sensitif yang perlu dikekalkan. Perancangan pembangunan yang tidak mengambil kira sensitiviti alam sekitar akan menganggu kestabilan ekosistem.

Bagi sesetengah bandar di Malaysia kapasiti pembangunan fizikalnya hampir mencapai tahap tepu. Ini disebabkan oleh pertambahan kegiatan ekonomi dan peningkatan jumlah penduduk yang tinggi sehingga mengakibatkan keluasan tanah untuk tujuan pembangunan semakin mengecil.

Dalam konteks ini pengurusan guna tanah untuk pembangunan haruslah dirancang dengan baik tanpa menggadaikan kawasan sensitif alam sekitar demi pembangunan. Aktiviti pembangunan fizikal di kawasan bandar yang telah mencapai tahap ketepuan pembangunan seharusnya dielakkan dan dikembangkan ke kawasan lain.


Bagi bandar baru yang semakin berkembang pematuhan terhadap garis panduan dan rancangan pembangunan sedia ada wajar dilaksanakan dan dipantau secara beterusan. Ini bagi menjamin keselesaan hidup rakyat dan keharmonian alam sekitar. Ibarat kata pepatah 'jangan sampai nasi menjadi bubur' barulah kita ingin berubah.

No comments: