Memurnikan Falsafah Alam Sekitar Barat : Peranan Aktivis Islam

Perkataan 'falsafah' berasal dari perkataan Greek iaitu 'philo' dan 'Sophia' yang bermaksud cintakan kebijaksanaan atau love of wisdom. Manakala maksud perkataan 'kebijaksanaan' yang dinyatakan tersebut adalah kejayaan atau dapatan ilmu pengetahuan hasil dari penaakulan terhadap kewujudan kejadian dialam ini.

Falsafah merupakan suatu pandangan umum terhadap semua ilmu yang ada dialam ini. Ia bertujuan untuk menggalakkan wawasan dan pemahaman yang tinggi, yang wujud dalam seluruh kehidupan dialam ini. Mengikut Pojman (1991), ahli-ahli falsafah menggunakan alasan, persepsi, imaginasi dan intuisi mereka untuk membentuk dan menganalisa hujah atau teori yang mungkin dapat menjawab persoalan yang tidak berkesudahan.

Berdasarkan keadaan ini, dapatlah dikatakan makna rasmi falsafah ialah penggunaan cara yang tertentu seperti logik dan perbahasan untuk memperolehi kebenaran dan pengetahuan tentang persoalan yang wujud berkaitan dengan alam ini. Alam sekitar pula adalah dimaksudkan dengan alam kehidupan yang dihuni oleh manusia, haiwan dan tumbuhan iaitu bumi ini. Gabungan dua perkataan ini telah membentuk falsafah alam sekitar yang membawa maksud bagaimanakah manusia mengeksploitasi kebijaksanaan mereka dalam mereka berinteraksi dengan alam ini.

Wacana alam sekitar sama ada sebagai bahan akademik dan diskusi awam yang diketengahkan oleh sarjana barat amat mengkagumkan. Mereka mengkaji dengan penuh tekun dan minat. Banyak journal akademik dan bukan akademik di terbitkan dinegara maju sehingga memberi tempias kepada negara membangun. Mereka dapat membahaskan isu – isu alam sekitar yang berlaku secara terperinci, persis dan jitu.

Banyak langkah penyelesaian dicadangkan oleh sarjana barat terbukti berjaya mengatasi permasalahan yang dialami oleh masyarakat. Meskipun begitu, penyelesaian yang dibuat hanya bersifat sementara dan banyak bergantung kepada rasionalisme, saintisme dan kajian empirikal sahaja. Amat kurang sarjana barat yang membincangkan mengenai 'etika' dan 'nilai' sebagai akar permasalahan. Walaupun begitu sejak akhir - akhir ini sarjana barat mula membicarakan mengenai etika dan nilai dalam konteks pengurusan alam sekitar. Tetapi ia dilihat terpisah jauh dari menghubungkaitkan alam, manusia dan Pencipta Yang Maha Agung.
Ia tidak lain, berlaku disebabkan oleh proses sekularisasi ilmu. Menurut Prof. Dr. Sidek Baba,

“ Ilmu lahir dan berkembang atas asas tertentu. Ia dihubungkan dengan teori dan asal – usul ilmu yang disebut sebagai epistemologi. Epistemologi sesuatu ilmu mempunyai landasan dan tapak tertentu. Darinya ilmu berdiri, berkembang dan membentuk pandangan semesta tasawwur seseorang tentang sesuatu.

Epistemologi ilmu Barat atau moden yang digunakan oleh umat Islam masa kini tidak menjadikan agama sebagai tapak atau landasan. Ia boleh diibaratkan sebagai batang pokok. Akar yang menyuburkan dahan, ranting, daun dan buah adalah berasaskan rasionalisme,saintisme, humanisme, liberalisme dan modenisme Barat.

Akar tunjang yang berasaskan rasionalisme semata – mata menghasilkan bunga dan nuah fikiran yang bersifat sekular. Ini kerana, ia hanya berasaskan fakta, data, hasil uji kaji dan pemerhatian yang menggunakan akal dan pacaindera semata – mata. Nilai, etika dan estetika dilihat sebagai nisbi dan bersifat normatif. "
Wacana alam sekitar di dunia Islam harus mampu memurnikan falsafah alam sekitar yang dicanangkan oleh barat. Dialog, wacana dan penulisan perlu dipergiatkan bagi mewujudkan ruang komunikasi antara aktivis Islam dan aktivis atau sarjana barat.

Ini penting bagi meletakan falsafah yang ’betul’ didalam pemikiran masyarakat dunia. Supaya akhirnya kita dapat bersama mengerakan agenda perubahan berasaskan fitrah insan mengabdikan dan memakmurkan alam diatas muka bumi ini.

No comments: