Semarakan Semangat Sayangi Bumi

Utusan Malaysia 5 Jun 2009

Tarikh 5 jun setiap tahun disambut sebagai Hari Alam Sekitar Sedunia. Ia telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu bermula pada tahun 1972 bersempena dengan Persidangan Stockholm mengenai ’Alam Sekitar dan Manusia’. Sambutan ini bertujuan merangsang kesedaran manusia sejagat untuk mengurus alam sekitar dengan penuh rasa tanggungjawab. Semua lapisan masyarakat samada diperingkat individu, masyarakat, institusi, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan mempunyai tanggungjawab yang besar dalam usaha menguruskan alam sekitar secara lestari. Jesteru itu, gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri baru – baru ini juga perlu diisi dengan penuh makna bagi menjadikan rakyat yang prihatin terhadap usaha pelestarian alam sekitar.

Tema Hari Alam Sekitar Sedunia pada kali ini ialah “Dunia Memerlukan Anda Bersatu Bagi Memerangi Perubahan Iklim”. Tema ini mempunyai makna yang amat mendalam dan wajar difahami bagi setiap warga Malaysia. Sekurang-kurangnya terdapat dua mesej utama yang boleh diambil daripada tema ini. Pertama; ia mengajak manusia secara individu untuk melakukan perubahan terhadap amalan yang boleh mendorong terhadap perubahan iklim. Kedua; ia mengajak masyarakat sedunia ‘bersatu’ bagi memerangi perubahan iklim.

’Bersatu’ merujuk kepada perlunya manusia sedunia berganding bahu mengurangkan impak perubahan iklim global. Sebagaimana pepatah melayu mengatakan “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Pepatah ini mengambarkan betapa perlunya bersatu dalam menolak sebarang perkara yang boleh memusnahkan kehidupan sama ada dalam bentuk nyata ataupun tidak. Pepatah ini juga memberi makna tentang implikasi besar apabila kita saling bercerai berai antara satu sama lain.

Dalam konteks memerangi perubahan iklim manusia harus serius untuk bersatu bagi melakukan perubahan secara total. Bersatu dalam erti kata bersama – sama membendung segala aktiviti yang boleh menyumbang kepada perubahan iklim ke tahap yang paling maksima. Hal ini demikian kerana, perubahan iklim kini membentuk fenomena alam luar jangka yang mengancam kehidupan manusia secara global.

Walaubagaimanapun, manusia diplanet ini dilihat semakin kucar – kacir tanpa kesatuan yang teguh dalam menangani perubahan iklim. Manusia dilihat banyak melakukan kerosakan diatas muka bumi ini atas nama ‘pembangunan’. Banyak persidangan dan perjanjian alam sekitar sejagat telah diadakan namun masih banyak negara yang mencabulinya.

Negara – negara maju melakukan penindasan terhadap negara – negara kecil. Ini terbukti dalam beberapa siri peperangan mutakhir ini. Serangan di Palestin awal tahun ini telah mencemarkan persekitaran udara dibumi Gaza dengan kepulan asap akibat bedilan bom yang dilancarkan oleh tentera zionis. Apa yang lebih menyedihkan serpihan zarah bersaiz mikro dan nano terbebas ke udara dan boleh mengancam sistem pertahanan badan manusia semasa proses pernafasan. Ini ditambah pula dengan ujian peluru berpandu terbaru oleh Korea Utara. Ia jelas menunjukan gagasan pelestarian alam sekitar semakin menempuh jalan suram dan penuh berliku.

Malahan ada negara kaya yang mengeksport secara haram buangan elektronik ke negara – negara miskin dan mundur, seperti yang dilaporkan oleh Jaringan Bertindak Basel (BAN). Hal ini jelas melanggar perjanjian Basel yang telah diwujudkan pada March 1989, di Basel Switzerland dan diratifikasikan bersama 116 buah negara. Akibatnya ia menyebabkan pencemaran logam berat terhadap manusia dan persekitaran. Sekiranya, hal ini berterusan ramai dikalangan negara miskin akan ditindas dan mengalami masalah pencemaran alam sekitar yang semakin teruk.

Manusia harus disedarkan bahawa semakin banyak peperangan dan perpecahan diatas muka bumi ini sebenarnya ia akan membawa kepada kebinasaan. Jesteru, tema hari alam sekitar sedunia pada kali ini amat tepat bagi mengajak manusia sedunia kembali bersatu bagi memerangi perubahan iklim yang bakal mengancam 6 bilion populasi manusia. Tidak keterlaluan bila dikatakan memerangi perubahan iklim merupakan ‘perjuangan’ yang perlu diutamakan oleh setiap manusia yang menghuni di alam ini.

Namun perjuangan memerangi perubahan iklim tidak akan mampu direalisasikan andainya masyarakat tidak memahami impak perubahan iklim kepada manusia dan bagaimana ia boleh berlaku. Hakikatnya, tindakan manusia dikenalpasti telah memberi pengaruh kepada perubahan iklim melalui tiga cara. Pertama, mengubah sifat bahangan permukaan bumi seperti mengubah kadar nisbah bahangan yang dipantul oleh permukaan berbanding dengan bahangan yang sampai. Kedua, pelepasan haba secara berlebihan ke atmosfera bumi dan ketiga, mengubah kepekatan gas atau aerosol yang terdapat di atmosfera bumi. Ketiga – tiga perkara inilah yang memberi kesan terhadap perubahan iklim secara global.

Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), dalam laporan penilaian ke-4 tahun 2007 melaporkan 98 peratus daripada kenaikan suhu bumi adalah disebabkan oleh pembebasan gas karbon dioksida. Antara aktiviti yang dikenalpasti menyebabkan peningkatan gas rumah hijau ialah pembakaran bahan api fosil seperti penggunaan petrol, arang batu dan gas sehingga membebaskan gas karbon dioksida secara berlebihan.

Pada masa ini janakuasa arang batu, aktiviti perindustrian dan kenderaan adalah punca utama yang menyebabkan pembebasan gas karbon dioksida. Sehingga tahun 2008 dianggarkan terdapat sebanyak 600,000,000 jumlah kenderaan diseluruh dunia, ia telah menyumbang terhadap peningkatan aras karbon dioksida di atmosfera. Gas – gas rumah hijau lain yang boleh merangsang terhadap berlakunya pemanasan global ialah gas
metana, nitrous oksida, ozon, dan kloroflorokarbon (CFC).

Kesan – kesan perubahan iklim telah berlaku dengan dahsyat semenjak tahun 1950an lagi. Dilaporkan kejadian bencana alam seperti, banjir besar, ribut taufan., kebakaran hutan meningkat secara mendadak. Kejadian taufan dan ribut semakin meningkat. Ia terjadi disebabkan oleh pertembungan dan perbezaan arus sejuk dan panas berdasarkan kelembapan suhu. Kejadian ribut taufan semakin bertambah dikawasan sub tropika. Tragedi yang menyayat hati pernah berlaku pada tahun 2008 di Myanmar sehingga meragut 138,000 nyawa. Kewujudan pelbagai jenis taufan seperti Nargis, Wilma, Rita dan Katrina turut sama menjejaskan kehidupan jutaan manusia.

Perubahan iklim juga turut mendatangkan implikasi buruk terhadap kesihatan manusia. Pelbagai penyakit muncul disebabkan keadaan cuaca yang berubah – ubah. Penyakit sensitif iklim seperti seperti Malaria, Kolera dan Denggi dikatakan meningkat semasa fenomena ElNino sekitar tahun 1997/98. Sementara itu, fenomena gelombang panas juga boleh memudaratkan kematian, khususnya kepada pesakit jantung, respiratori dan warga emas. Penularan penyakit baru pada masa kini turut menimbulkan tanda tanya kepada kita adakah ia berpunca daripada masalah perubahan iklim ?

Bagi mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku sambutan hari alam sekitar sedunia seharusnya disambut dengan penuh keinsafan oleh semua warga Malaysia. Dalam konteks Malaysia, disamping memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap perundangan alam sekitar aspek pendidikan dan kesedaran tentang isu perubahan iklim perlu dijalankan secara berterusan. Usaha serantau bagi menangani masalah pencemaran rentas benua seperti pembakaran hutan serta import dan eksport buangan elektronik secara haram perlu dipergiatkan diperingkat antarabangsa.
Di kalangan masyarakat amalan mesra alam perlu dibudayakan sebagai citra rakyat yang prihatin bagi mengurangkan impak perubahan iklim. Program pembersihan kawasan – kawasan rosak dan tercemar perlu diadakan bagi menyuburkan budaya ’gotong royong’ yang semakin pudar dikalangan masyarakat. Nilai – nilai murni seperti kesatuan, kerjasama dan muhibbah terkandung didalam budaya gotong royong. Persatuan belia, pertubuhan alam sekitar dan penduduk setempat seharusnya dilibatkan bersama bagi mempersatukan kekuatan bersama untuk mengembeleng tenaga bagi menangani isu perubahan iklim.Semoga penghayatan kita terhadap tema alam sekitar sedunia 2009 dapat memberi cetusan yang bermakna terhadap pengisian gagasan 1Malaysia.

No comments: