Malaysia dan pengisian kemerdekaan penuh makna.


Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun. Tidak dapat dinafikan kestabilan politik dan keharmonian hidup masyarakat Malaysia yang multietnik adalah faktor terpenting dalam memacu perkembangan ekonomi negara.

Dalam tempoh 52 tahun ini negara telah berjaya menciptakan pembangunan infrastruktur yang cukup mengkagumkan. Tahniah dan terima kasih kepada para pejuang Agama Islam, bangsa dan negara ini yang telah memperjuangkan kemerdekaan dan membangunakan negara dengan baik sekali !!

Syukur kehadrat Allah swt yang tidak terhingga kerana Allah melindungi rakyat dan pemimpin kita dari segala kemudaratan serta bebas daripada belenggu penjajahan. Malah negara kita jauh sekali dari penindasan kuasa asing seperti mana yang berlaku terhadap umat Islam di Gaza.

Mereka ditindas, didera, dibom, diserang dan diusir seperti binatang oleh Yahudi – Zionis yang berhati durjana. Sebelum ini Umat Islam di Bosnia juga pernah mengalami penghapusan etnik secara besar – besaran. Darah – darah sembelihan manusia mengalir di sana – sini. Ibu yang tengah mengandung disembeli perutnya. Anak kecil kehilangan kedua kaki. Bayi baharu dilahirkan mati dalam rempuhan peluru berpandu.

Syukur kita panjatkan ke hadrat Allah dan kita memohon di jauhkan dari segala penindasan kuasa asing yang boleh menggugat keamanan negara ini.

Sejak pertengahan tahun 1980an hingga tahun pertengahan tahun 1990an Malaysia telah mengalami pembangunan pesat dalam sektor perdagangan dan perindustrian. Pelbagai dasar telah diwujudkan termasuklah dasar penswastaan negara. Ia sedikit sebanyak memberikan kesan positif dalam memacu perkembangan sektor ekonomi negara. Kesanya ramai pelabur asing melabur dalam negara dan Malaysia muncul sebagai antara kuasa ekonomi di rantau asia.

Dalam konteks pendidikan pertumbuhan pesat kampus dan universiti baru menyerlahkan kemampuan negara sebagai sebuah negara yang cemerlang dalam bidang pendidikan. Kita menawarkan pelbagai bidang pengajian yang berasaskan teknologi tinggi.

Sungguhpun begitu, sebagai rakyat yang cintakan negara kita perlu bersikap jujur dan menyatakan kebenaran. Kita wajar mempunyai sikap kritis dalam menilai setiap aktiviti pembangunan yang dilakukan dinegara kita. Sikap kritis yang ada pada setiap rakyat akan menjadikan negara kita lebih maju. Pemimpin yang bersedia di kritik dan menerima kritikan secara konstruktif adalah pemimpin yang berjiwa besar.

Dalam menilai pembangunan kita tidak seharusnya melihat pembangunan dalam konteks material semata – mata. Paling penting perlu dilihat ialah dalam konteks pembangunan ’sahsiah rakyat’ yang menjadi agen utama dalam membangunkan negara ini.

Selama 52 tahun merdeka kita wajar bertanya apakah indeks prestasi sahsiah rakyat Malaysia ?

Antara persoalan lain yang perlu kita lontarkan ialah :-

Sejauh mana akhlak rakyatnya ?
Sikap golongan muda terhadap golongan tua ?
Amalan terhadap alam sekitar masyarakat malaysia?
Sikap pemanduan rakyat Malaysia
Pembasmian golongan penagih dadah ?
Budaya ilmu masyarakat Malaysia sudahkah ia berjaya ?

Pada hemat saya ia memerlukan suatu jawapan yang panjang untuk difikirkan bersama. Kita mungkin telah merdeka dari sudut kemunduran dari segala kemudahan bekalan asas untuk kehidupan tapi kita masih terbelenggu dalam penjajahan mental, sikap, pemikiran, psikologi, hiburan, bahasa dan budaya asing yang mengelirukan.

Kerana kita bukan sekadar mahu membangunkan negara ini. Tetapi kita mempunyai misi dan visi yang besar iaitu untuk membina suatu tamadun manusia yang kuat, tahan, ampuh dan beriman kepada Allah swt.

Dalam konteks Islam kemerdekaan yang sebenar ialah apabila kita bebas dari segala belenggu kegelapan yang memenjara hati, akal, iman dan perasaan kita. Kita memerlukan perubahan yang radikal dalam pandangan hidup kita. Memurnikan hati dengan zikir, dan mencerahkan minda dengan fikir.

Jiwa merdeka adalah jiwa yang mengalami pencerahan!

11.54 malam 31.Ogos.2009.

No comments: