Transformasi Tenaga Baharu Dari Perspektif Pembangunan Lestari


Oleh : Abdul Rahman Mahmud

Laporan Brutland pada tahun 1987 mendefinisikan pembangunan lestari sebagai “Pembangunan yang memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa mengabaikan atau menafikan keperluan generasi akan datang”. Dalam konteks sumber tenaga utama yang digunakan pada masa kini terdapat dua persoalan yang perlu diajukan kepada penggubal dasar, ahli ekonomi, jurutera dan saintis iaitu sejauh manakah sumber tenaga yang digunakan kini releven dengan prinsip pembangunan lestari ? Adakah sumber tenaga utama yang digunakan kini dapat menampung keperluan generasi akan datang?

Menurut pandangan Dr. Jose Goldemberg terdapat dua konsep penting yang diketengahkan dalam definisi pembangunan lestari dalam laporan Brutland. Iaitu yang pertama ialah konsep ‘keperluan’ yang secara khususnya merujuk kepada keperluan asas untuk kehidupan manusia pada masa kini dan akan datang. Kedua ialah konsep atau idea mengenai mengenai keterbatasan atau dalam bahasa inggeris dikenali sebagai ‘limitation’. Iaitu keterbatasan sesuatu sumber yang dipengaruhi oleh teknologi, dan organisasi sosial serta kemampuanya untuk memenuhi keperluan generasi kini dan akan datang.

Apabila kita membicarakan tentang penggunaan ‘tenaga’ dari persepektif pembangunan lestari kita perlu mengenalpasti tentang kemampuan sesuatu sumber tenaga itu untuk menampung keperluan generasi masa kini dan akan datang. Secara umumnya, dunia kini menggunakan bahan api fosil seperti minyak petroleum, arang batu dan gas asli sebagai sumber utama tenaga dunia. Adakah ketiga – tiga sumber utama ini memenuhi definisi pembangunan lestari? Dalam hal ini Dr. Jose Goldmber menyenaraikan empat kriteria utama yang perlu diambil kira untuk sesuatu sumber tenaga itu diiktiraf sebagai sumber tenaga lestari.

Pertama dari sudut fizikal, yakni ia mestilah mempunyai jaminan bekalan tenaga yang mencukupi bagi memenuhi keperluan masa kini dan akan datang. Ini kerana keperluan tenaga pada masa akan datang sudah tentu akan meningkat. Dianggarkan peningkatan permintaan sumber tenaga adalah sebanyak dua kali ganda pada masa akan datang. Ini berdasarkan perkembangan populasi manusia yang dijangka akan mencecah jumlah 9.2 bilion orang pada tahun 2050.

Kriteria yang kedua ialah dalam konteks impaknya terhadap alam sekitar. Sejauh manakah sesuatu sumber tenaga itu dianggap bersih dan tidak mencemarkan alam sekitar perlu diambil perhatian. Ia juga bermaksud sesuatu sumber tenaga yang digunakan itu seharusnya tidak memberikan implikasi yang buruk terhadap masalah alam sekitar di peringkat tempatan, wilayah dan juga global. Tenaga lestari jua mestilah tidak menimbulkan dan menambah bebanan terhadap masalah alam sekitar yang dihadapi kini seperti pemanasan global dan perubahan iklim.

Kriteria ketiga ialah sesuatu sumber tenaga lestari itu seharusnya tidak mencetuskan sebarang ketegangan diantara wilayah dan negara. Ia mestilah jauh daripada sebarang risiko keselamatan dan konflik disebabkan peningkatan persaingan yang sekaligus gagal menyamaratakan pengaggihan sumber tenaga.

Kriteria keempat bagi sumber tenaga lestari harus dilihat dalam konteks kesaksamaan ataupun keadilan sosial. Dimana sumber tenaga ini perlu mampu diakses dan digunakan oleh semua peringkat masyarakat global seiring dengan kemajuan yang dicapai.

Jika ditinjau mengenai penggunaan sumber tenaga utama pada masa ini iaitu arang batu, minyak dan gas asli hampir kesemua sumber tenaga utama ini tidak memenuhi empat kriteria ini. Pada ketika ini ketiga – tiga sumber tenaga utama ini merupakan 80.1 % dari keseluruhan tenaga dunia, manakala bagi nuklear adalah sebanyak 6.3 % dan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 13.6%.

Bahan api fosil yang digunakan sebagai sumber tenaga utama dunia ini akan kehabisan dalam beberapa dekad mendatang berikutan peningkatan permintaan di seluruh dunia. Sehingga kini dilaporkan minyak mempunyai jangka hayat tampungan selama 41 tahun lagi, gas asli 64 tahun dan arang batu 155 tahun. Permintaan bagi bekalan tenaga utama dunia ini dijangka akan meningkat sebanyak 1.6 % pada tempoh 1980 hingga 2030.

Walaupun arang batu dilihat mempunyai jangka hayat tampungan yang lebih panjang ini tidak bermakna ia boleh dipertimbangkan sebagai sumber utama tenaga dunia untuk dua generasi akan datang, Ini bermakna ia masih tidak dapat memenuhi konsep pembangunan lestari yang merujuk kepada ”memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa mengabaikan atau menafikan keperluan generasi akan datang”.

Tambahan pula pembakaran bahan api fosil akan menghasilkan masalah alam sekitar yang serius, sebagai contohnya ia akan memberi impak terhadap perubahan iklim. Dalam masa yang sama kos pengeluaran akan meningkat apabila simpanan sumber tenaga semakin kehabisan, maka ini akan merangsang kenaikan kos bagi tenaga disebabkan peningkatan kos operasi bagi mencari sumber bekalan tenaga yang semakin berkurangan. Akhirnya ini akan menyebabkan masalah keselamatan bekalan sumber tenaga, serta turut menghasilkan ketegangan dan ketidakstabilan politik disesetengah wilayah di dunia.

Minyak petroleum dan arang batu mempunyai potensi tinggi terhadap pencemaran alam sekitar. Pembebasan gas karbon dioksda melalui penggunaan minyak petroleum dalam kenderaan sudah menjadi pengetahuan umum, manakala penggunaan arang batu turut membebaskan gas – gas pencemar udara. Walau bagaimanapun dalam konteks penggunaan gas asli sebagai sumber tenaga ia dilihat mempunyai potensi mencemar yang agak rendah. Tetapi ketiga – tiga sumber tenaga ini masih dilihat tidak berkemampuan untuk memenuhi keperluan generasi akan datang.

Pada hemat saya tenaga lestari bolehlah disebutkan sebagai sumber tenaga yang boleh memenuhi keperluan manusia pada masa kini tanpa mengabaikan atau menafikan keperluan generasi akan datang. Sumber tenaga lestari yang digunakan juga seharusnya bersih dan bebas dari menghasilkan sebarang pencemaran terhadap alam sekitar.

Jesteru itu dunia kini amat memerlukan suatu transformasi sumber tenaga lestari yang memenuhi empat kriteria seperti yang disebutkan tadi. Persoalnya mampukah manusia melakukan transformasi ini. Bagi menjawab persoalan ini ‘inovasi’ sumber tenaga harus diberikan keutamaan. Istilah inovasi sebenarnya berakar dari asal kata bahasa Latin 'innovare' yang bererti 'mengubah, memperbaharui' itu berkait rapat dengan aktiviti merekacipta sesuatu karya, peralatan, kemudahan, perisian, sistem atau idea. Menurut pandagan Dr. Zaini Ujang Inovasi sebenarnya boleh dilakukan sesiapa saja dengan syarat mereka berani.

No comments: